Tuesday, March 15, 2011

15 idea bisnes dapat pembiayaan

RADZIF...platform terbaik
RADZIF...platform terbaik

SME Bank komited membantu usahawan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini dengan melancarkan program inovatif, IQ-Dagang bagi merealisasikan idea yang diperkenalkan PKS sama ada dalam bentuk kejuruteraan semula ataupun idea melalui proses kajian dan pembangunan.

Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata program IQ-Dagang bermula Oktober tahun lalu dan sehingga Januari 2011, sebanyak 116 idea perniagaan diterima dan daripada jumlah itu, 15 idea perniagaan dapat dimajukan sehingga layak mendapat kemudahan pembiayaan.


Beliau berkata, di bawah program itu pihaknya akan menyediakan khidmat nasihat daripada Kaunselor Bisnes SME Bank yang berpengalaman seterusnya membimbing usahawan atau bakal usahawan untuk bersama memajukan idea terbabit.

“Pendaftaran untuk IQ-Dagang ini dibuka empat kali setahun dan sesiapa mempunyai idea perniagaan terutama yang berpotensi untuk dikembangkan dialu-alukan menyertai program ini.


“Malah, kami menerima sebanyak mungkin idea daripada PKS kerana ini platform terbaik bagi mereka yang ingin membentuk perniagaan dan jenama yang boleh bersaing dalam pasaran domestik serta global,” katanya pada majlis pelancaran IQ-Dagang di Kuala Lumpur, semalam.


Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.Mohd Radzif berkata, SME Bank menyasarkan idea atau rancangan perniagaan dalam 12 industri Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang dikenal pasti dengan tumpuan awal pada enam industri strategik iaitu minyak dan gas, pendidikan, pembinaan, kesihatan, makanan, pengangkutan dan logistik.


Menurutnya, golongan sasaran bagi program itu adalah terdiri daripada bakal dan PKS baru yang meliputi perniagaan bersaiz kecil dan sederhana. SME Bank juga menerima pendaftaran melalui mana-mana cawangannya di seluruh negara.“Setiap cadangan bernas akan SME Bank usahakan bersama PKS bagi membentuk perniagaan yang mantap dan mereka yang berminat boleh menghantar idea atau rancangan perniagaan melalui laman web atau menghubungi pusat panggilan kami,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: