Friday, April 23, 2010

Sepetang bersama Pewanis meriah


Tuanku Tengku Fauziah menandatangani plak sempena Majlis Sepetang Bersama Pewanis.


Seronok, meriah, terhibur, itu yang dapat dilihat pada wajah-wajah ahli-ahli Persatuan Wanita Islam Malaysia (Pewanis) apabila dapat berkumpul bersama dalam satu majlis minum petang.

Majlis yang dinamakan Sepetang Bersama Tuanku Tengku Fauziah Al-Marhum Tengku Abdul Rashid ini diserikan dengan kehadiran Raja Perempuan Perlis itu.

Seramai kira-kira 500 orang tetamu yang terdiri daripada ahli-ahli Pewanis sendiri serta tetamu jemputan memeriahkan majlis yang diadakan di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur.

Merah jambu menjadi warna tema pada petang itu di mana ahli-ahli Pewanis menggayakan baju kurung batik berwarna merah jambu. Ramai juga tetamu jemputan yang turut mengenakan pakaian dengan warna tema itu.

Pewanis yang ditubuhkan sejak setahun lalu diinspirasi dan diasaskan oleh Datuk Azlina Che Abdullah yang juga pengasas syarikat DCL.

Objektif penubuhannya adalah bagi mengembangkan lagi ekonomi wanita-wanita Islam dengan mencari wanita di ceruk kampung yang mengeluarkan produk tempatan tetapi gagal mengembangkan produk mereka ke tahap yang lebih baik. Pewanis akan bertindak memasarkan produk mereka melalui persatuan itu.

Dalam ucapannya, Azlina berkata, di antara aktiviti Pewanis ialah menyediakan kelas bimbingan agama kepada ahli, kelas tuisyen kepada anak ahli yang tidak berkemampuan, mendirikan rumah kebajikan orang tua bagi menempatkan warga emas terbiar dan disisihkan oleh anak-anak serta keluarga.

Sementara itu, Tuanku Tengku Fauziah memuji Pewanis yang aktif menjalankan aktiviti kemasyarakatan kerana aktiviti-aktiviti sebegini dapat membendung gejala negatif.

Tambah baginda, rumah orang tua yang akan dibina oleh Pewanis nanti diharap akan dapat memberi kesedaran kepada generasi muda agar lebih menyayangi warga emas.

Majlis ini juga turut diserikan dengan persembahan tarian daripada penari-penari cilik Pak Ngah, nyanyian daripada Tuanku Tengku Fauziah, ahli-ahli Pewanis dan Datuk Yusni Hamid serta pertunjukan fesyen daripada Butik De Zzaine.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: