Tuesday, January 26, 2010

Ziana ‘Asah’ Suara Sebelum Ajar Protégé

SETELAH mengumumkan dia bakal bergelar mentor dalam program realiti Mentor musim keempat pada tahun ini, penyanyi dan pelakon Ziana Zain akui dirinya sudah bersedia untuk berkongsi ilmu dengan protegenya.

Penyanyi yang baru muncul dalam persada seni ini pada awal bulan ini selepas melahirkan sepasang kembar pada enam bulan lalu berkata mungkin protegenya nanti lebih bagus daripadanya.

“Memanglah saya mempunyai cara nyanyian tersendiri dan bersedia untuk berkongsi ilmu dalam bidang muzik ini tetapi tidak bermakna saya sudah cukup bagus.

“Mungkin saya boleh berkongsi dari segi pengalaman dengan protégé,” ujarnya ketika dihubungi mStar Online baru-baru ini.

Biarpun begitu, Ziana tetap merasakan dirinya tidak boleh mendabik dada dengan ilmu yang ada sementelah telah memegang gelaran penyanyi senior.

Ibu kepada empat orang anak iaitu pasangan kembar berusia enam bulan Siti Nour Kaseh dan Muhammad Ariel, Muhammad Aiman, 10, dan Muhammad Ammar, 7 ini dalam nada merendah diri berkata dia tidak kisah untuk belajar sesuatu daripada protegenya.

“Saya nak belajar juga dari protégé kerana ilmu orang baru melambangkan ilmu daripada orang lama.

“Mungkin saya boleh belajar daripada mereka beberapa teknik menyanyi. Kiranya perkongsian ini lebih kepada win win situation. Jangan rasa kita adalah mentor, kita sudah senior,” tambahnya.

Sama ada protégé lelaki atau wanita, Ziana berkata dia tidak kisah asalkan mereka mempunyai karektor dan identiti sendiri.

“Untuk menjadi seorang penghibur, kita perlu mempunyai sifat humor dan pandai menghiburkan orang lain.

“Protégé tidak boleh memikirkan untuk menjadi seperti mentor sebaliknya memikirkan bagaimana untuk berjaya seperti mentor. Dia perlu memikirkan cara mendapatkan nada suaranya sendiri,” beritahunya lagi.

Pelakon filem Sembilu, Maria Mariana dan Qabil Khushry Qabil Igam ini berkata, dia tidak semestinya perlu mengajar satu persatu tentang vokal tetapi lebih kepada memberikan panduan untuk menyanyi.

“Saya akan cuba memberikan panduan selangkah demi selangkah untuk menjadi penyanyi yang lebih bagus dan bertahan lama,” ulasnya dalam nada bersemangat.

Selepas bercuti lebih setahun daripada melakukan apa-apa aktiviti seni, Ziana berharap tahun ini menjadi tahun permulaan yang baik untuk kerjayanya.

“Ekonomi saya baru nak mula. Saya sedang kumpul stamina dan ‘mengasah’ suara untuk menyanyi semula,” tuturnya penuh ceria.

Program Mentor 4 dijangka bermula pada Februari atau Mac depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: