Tuesday, January 5, 2010

Warga emas ditipu rakan jadi mangsa ah long

KUALA LUMPUR – Akibat mempercayai kawan yang baru dikenali, seorang warga emas kerugian hampir RM180,000 setelah rakannya itu melarikan diri dan gagal dihubungi.

Lebih menyedihkan, rakannya yang dikenali Ah Soon, 53, sanggup meniru tanda tangan mangsa berumur 72 tahun sebagai penjamin pinjaman wang ah long tanpa pengetahuannya.

Bermula Ogos tahun lalu, kehidupan mangsa yang memiliki sebuah kilang kejuruteraan di Cheras diganggu hampir 10 ah long bagi menuntut pembayaran wang pinjaman dibuat rakannya itu.

Ah long bukan sekadar memaksanya membayar malah pemberi pinjam wang tidak berlesen itu turut menggantung bangkai awam di luar rumahnya dan menyimbah cat berwarna kuning serta merah sebagai ugutan.

Mangsa yang khuatir akan keselamatan nyawa dan keluarganya itu membuat empat laporan polis berhubung kejadian.

Terdahulu, mangsa telah membayar wang kepada empat ah long sebanyak RM25,000 dan memaklumkan kepada mereka bahawa dia tidak terlibat dengan urusan rakannya itu.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong berkata, mangsa mengenali Ah Soon dari seorang rakannya sejak Disember 2008 dan lelaki itu meminta pertolongan daripada mangsa berikutan mengalami masalah perniagaan.

“Mangsa memberi pinjam wang RM149,000 dengan niat membantu rakannya yang dalam kesusahan itu,” katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.

Beliau berkata, pada awal Januari lalu, rakannya sekali lagi meminta bantuan daripadanya dengan alasan sekiranya tidak, wang pinjaman itu tidak dapat dibayar berikutan keuntungan lambat diperolehi.

“Kali ini bukan wang yang dipinta tetapi 10 cek kosong berserta tanda tangan dan berpunca daripada itulah rakannya itu meniru tanda tangannya sebagai penjamin,” katanya.

Menurutnya, selepas itu, mangsa tidak mendapat sebarang khabar berita dari rakannya itu dan dia menyedari rakannya itu mengkhianatinya setelah ah long memburunya.

Dalam pada itu, Chong berkata, tahun lalu, pihaknya menerima aduan sebanyak 487 kes berkaitan ah long dengan kerugian RM30 juta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: