Monday, January 4, 2010

Syarikat makan isi, PBT hirup kuah - Firma iklan untung banyak manakala PBT hanya peroleh hasil yang kecil


PENGIKLAN perlu membayar sehingga RM40,000 setahun untuk billboard bersaiz 3 x 12 meter sedangkan yuran yang dikenakan DBKL untuk iklan bersaiz itu hanya RM3,460.


KUALA LUMPUR - Kita mungkin biasa melihat kewujudan banyak papan iklan gergasi (billboard) berdiri gah di bandar-bandar utama atau di tepi-tepi lebuh raya di negara ini untuk mengiklankan pelbagai produk serta perkhidmatan kepada orang ramai.

Ternyata konsep pengiklanan seperti itu memberi impak besar dalam industri pengiklanan negara kerana berupaya menarik perhatian ramai. Ribuan mata pasti terpandang ke arahnya setiap kali melalui sesebuah kawasan atau lebuh raya.


SYARIKAT pengiklanan berupaya memperoleh pendapatan sehingga ratusan juta ringgit melalui iklan billboard.

Hakikatnya, pengusaha atau syarikat pengiklanan itu sebenarnya betul-betul mampu 'buat duit' kerana bentuk pengiklanan itu tidak memerlukan modal yang besar atau bayaran yang tinggi kepada pihak berkuasa tempatan sedangkan untung yang diperoleh berlipat kali ganda.

Sebagai contoh, sebuah syarikat pengiklanan yang menguruskan lebih daripada 20 klien besar di ibu negara difahamkan berupaya menjana pendapatan lebih RM100 juta hanya dalam tempoh setahun.

Namun, tahukah anda bahawa perolehan yang dikaut itu adalah 16 kali ganda lebih tinggi berbanding dengan caj yang syarikat terbabit bayar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tempoh yang sama.

Sebagai contoh, sebuah syarikat hanya membayar yuran kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebanyak RM35,760 bagi papan iklan bersaiz 12 x 24 meter setahun manakala RM3,460 bagi saiz 3 x 12 meter sedangkan mereka mengenakan bayaran sehingga RM480,000 setahun bagi saiz 12 x 24 meter manakala sehingga RM40,000 bagi billboard bersaiz kecil.

Itulah senario yang berlaku sejak berdekad-dekad lamanya. Bagi DBKL, kutipan hasil pembayaran yuran lesen paparan iklan luar oleh syarikat iklan berdaftar secara puratanya setiap tahun dianggarkan hanya berjumlah RM6 juta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: