Hotel De Palma Ampang menjadi hotel pertama di negara ini mempunyai surau untuk solat Jumaat.
JARANG kita mendengar mengenai hotel yang menyediakan surau kepada pelanggan dan juga penduduk setempat untuk menunaikan solat Jumaat.
Namun, apa yang ditampilkan oleh Surau Nurul Hikmah di Hotel De Palma Ampang, Jalan Ampang, Selangor sedikit berbeza.
Di sebalik hotel yang sering dilabelkan dengan pelbagai perkara negatif hotel ini tampil dengan elemen syiar Islam iaitu menyediakan surau taraf solat Jumaat kepada pelanggan hotel dan juga kariah berhampiran.
Pengerusi Surau Nurul Hikmah dan juga Pengurus Besar Kumpulan De Palma Hotel, Datuk Mohd. Ilyas Zainol Abidin, 57, memberitahu, beliau cuba membawa kelainan pada De Palma Hotel dengan hotel yang lain.
"Lagipun saya sudah berpengalaman selama 30 tahun dalam industri ini dan umur semakin lanjut. Mungkin ini merupakan salah satu cara saya berdakwah.
"Malah sambutan yang diberikan orang ramai cukup baik dengan 20 peratus jemaah terdiri daripada tetamui hotel sendiri," katanya sambil tersenyum.
|
|
De Palma Ampang merupakan hotel pertama di negara ini yang mempunyai surau untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat.
"Kami mendapat keizinan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menjadikan Surau Nurul Hikmah sebagai surau untuk solat Jumaat pada 10 Oktober 2008.
"Kami mempunyai empat orang imam yang mempunyai tauliah daripada JAIS selain surau itu dapat menampung sehingga 1,400 jemaah pada satu masa," katanya yakin.
Bicaranya lagi, pihaknya turut menjemput penceramah luar selain mengadakan bacaan hadis selepas solat Subuh, kuliah agama selepas Zuhur dan aktiviti solat sunat hari raya serta melaksanakan ibadat korban dan tahlil.
"Keempat-empat imam bertugas Surau Nurul Hikmah juga mempunyai tauliah untuk menjadi jurunikah selain membaca khutbah Jumaat.
"Malah mereka akan bergilir-gilir menjadi imam solat berjemaah pada waktu solat yang lain yang menjadikan surau ini tiada bezanya dengan surau di luar," katanya lagi.
Bufet RM9.90
Ilyas menambah, di samping menunaikan solat Jumaat, jemaah juga dapat menikmati masakan nasi beriani ayam dan daging serta minuman pada harga RM9.90 sahaja.
"Kami menyediakan persekitaran yang selesa kepada ahli kariah menunaikan solat Jumaat dengan adanya pendingin dingin di ruang solat.
"Mereka juga dapat makan nasi beriani sebelum atau selepas solat pada harga istimewa. Saya lakukan ini sebagai menghargai pengunjung dan juga pelanggan hotel," katanya.
|
|
Ilyas tidak dapat melupakan pengalaman semasa pertama kali surau hotel yang berusia 14 tahun itu mendapat kebenaran sebagai surau solat Jumaat.
"Selepas selesai khutbah kedua, bilangan kariah masih tidak mencukupi untuk solat Jumaat. Risau saya dibuatnya jika dibatalkan malu saya selain tidak sempat ke masjid dan surau lain.
|
|
"Tetapi syukur jemaah datang pada saat akhir hingga cukup syarat 40 orang untuk solat Jumaat.
"Kini jemaah boleh mencapai lebih 1,000 orang pada satu masa dan pada cuti umum dalam 500 orang kerana kebanyakannya terdiri daripada pekerja pejabat di sekitar hotel ini.
Celik al-Quran
"Laungan azan juga berkumandang di bahagian pekerja hotel, di luar serta tetamu di kafe dapat melihat secara langsung khutbah dan solat Jumaat yang disiarkan menerusi paparan televisyen dalaman," bicaranya yakin.
Bagi pendakwah, Kamal Ashaari, 39, bekas imam dan pernah menjadi ahli panel bagi program keagamaan Al- Kuliyyah dan Laman Nurani serta program agama di radio memberitahu, beliau telah lebih tiga kali menyampaikan khutbah Jumaat dan memberi tazkirah di Surau Nurul Hikmah.
"Ini sekali gus menolak tanggapan hotel sebagai tempat maksiat semata-mata. Malah hotel ini turut menyediakan waktu solat, risalah agama dan hadis kepada pelanggannya.
"Malah mereka menggalakkan pelanggan menunaikan solat berjemaah di surau yang disediakan," ujarnya.
Razwan Resat, 57, salah seorang imam surau tersebut memberitahu, Surau Nurul Hikmah juga akan mengadakan program celik Al-Quran tidak lama lagi dengan kos yuran yang berpatutan
"Kita akan jemput ustaz serta ustazah yang mahir untuk mengajar dan terbuka kepada semua warga Ampang dan penduduk berhampiran," katanya.
Imam muda, Burhanuddin Suhaimi, 22, pula pada mulanya sangsi untuk menerima tawaran
|
|
"Tapi lama-kelamaan saya dapat membiasakan diri malah ditawarkan menjadi imam tetap.
"Pengalaman menarik pula dapat berkenalan dengan pelancong dari Bosnia yang menetap di De Palma Hotel selama sebulan pada Oktober tahun lepas.
"Dia tidak faham bahasa Inggeris jadi perbualan menggunakan bahasa isyarat.
"Lucunya dia juga gemar memakai kain pelekat untuk solat membuatkan saya mengambil masa seminggu mengajarnya sebelum dia mahir," katanya ketawa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: