Wednesday, January 6, 2010

Pewaris empayar Johnson mati


GAMBAR fail menunjukkan mendiang Casey (kiri) bersama kekasih lesbiannya, Tequila menghadiri satu parti di Hollywood pada 8 Disember tahun lalu.

LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Pewaris empayar produk kebersihan diri Johnson & Johnson, Casey Johnson yang berumur 30 tahun ditemui mati di kediamannya kelmarin, kata seorang jurucakap keluarga berkenaan dan polis.

Dia merupakan anak perempuan Woody Johnson iaitu pemilik kelab bola sepak Amerika, New Yorks Jets.

Casey, seorang gadis yang gemar berparti dan berkelakuan liar, telah bertunang dengan kekasih lesbiannya iaitu peserta program realiti televisyen, Tila Tequila baru-baru ini.

Sebelum ini, Casey pernah menjalin hubungan dengan seorang wanita, Courtenay Semel yang merupakan anak bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yahoo!, Terry Semel.

Seorang jirannya dilaporkan mendapati seorang amah Casey keluar dari kediamannya dan menjerit: "Dia sudah mati."

Sementara itu, seorang jurucakap Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) berkata, mayat wanita itu ditemui pada pukul 11.50 pagi waktu tempatan di kediamannya di sini.

"Kami masih melakukan siasatan. Beberapa pegawai polis menyatakan dia mati kerana sebab biasa tetapi kami masih berusaha mendapatkan maklumat yang lebih terperinci," kata jurucakap polis, Sarah Faden.

Menurutnya, tarikh kematian Casey masih belum dipastikan manakala punca kematiannya hanya akan diketahui beberapa minggu lagi setelah ujian forensik dan keracunan dilakukan.

Bagaimanapun, laman web hiburan TMZ.com melaporkan bahawa Casey yang menghidap kencing manis dipercayai mengambil pil penenang telah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu.

Beberapa pengawal keselamatan menemui sejumlah pil di dalam dompet wanita itu pada satu majlis bulan lalu.

Semasa menghadiri majlis itu, Casey tiba-tiba rebah manakala Tequila terus menjerit: "Dia ada diabetes, dia memerlukan ubatnya."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: