Monday, January 25, 2010

Penerbit AJL24 Minta Maaf, Unsur ‘Freemason’ Bukan Dirancang

KENAPA pula saya nak rancang benda tu (unsur Freemason) kerana ia tiada kena-mengena dengan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-24,” soal penerbit Ahmad Shaifullizam Arshad atau Gbam ketika dihubungi berhubung isu set pentas AJL24 yang dikatakan mirip kepada gerakan Freemason dan Illuminati.

Dakwaan ini tercetus ekoran pendedahan yang dibuat dalam blog milik seorang pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Jordan, Mohammad Sufian Talib, 22, mengenai unsur-unsur negatif yang ditemui sepanjang majlis itu berlangsung pada 10 Januari lalu di Stadium Putra Bukit Jalil.

Blog jejakitinggalanrasul.blogspot.com itu menunjukkan bukti-bukti gambar gerakan Freemason dan Illuminati yang dikatakan banyak mempunyai persamaan dengan set pentas program yang ditonton oleh 4.6 juta penonton itu.

Bagi Gbam, mungkin semua perkara itu berlaku secara kebetulan. Tambahnya, persembahan opening dan interlude sahaja yang dirancang oleh TV3, sebaliknya untuk persembahan artis datang daripada idea mereka sendiri.

“Mengenai pakaian Datuk Siti Nurhaliza, tiada kena-mengena dengan kami kerana kami hanya memberitahu konsep kepadanya.

“Saya rasa mungkin sebab program ini dilihat oleh ramai penonton dan dikatakan sebagai event of the year...mungkin satu kebetulan. Kita tidak ketengahkan unsur anti-Islam,” jelas penerbit yang pertama kali menggalas tanggungjawab itu setelah mengimpikan untuk bergelar produser AJL sejak 10 tahun lalu.

Dalam nada kesal, Gbam berkata blog itu tidak patut menyebarkan dakwaan negatif seperti itu terhadap majlis yang bertemakan Music Unfolds itu.

“Tak baik orang tuduh saya dengan mengatakan penerbit tidak sensitif dengan agama Islam. Kalau perkara ini dirancang, saya nak tahu siapa ‘mastermind’ dia kerana tak masuk akal juga,” tuturnya.

Walaupun sebelum ini Gbam pernah mengatakan dia sanggup turun ke persada Hollywood seperti menyaksikan persembahan American Idol secara langsung untuk mendapatkan idea, namun tidak semestinya dia meniru bulat-bulat konsep yang diterjemahkan dalam program itu.

Katanya: “Saya hanya melihat cara mereka menyusun kedudukan kamera, lampu. Kalau saya meniru konsep persembahan seolah-olah kreativiti itu telah saya copy dan paste.

AJL24 melibatkan satu produksi yang besar dan dipecahkan kepada bahagian masing-masing. Misalnya, team pakaian, team baju, dan artis pun ada team mereka sendiri.”

Beberapa kali Gbam menegaskan yang konsep yang mirip gerakan Freemason dan Illuminati itu bukan dirancang dan ia berlaku secara kebetulan.

“Mungkin ia adalah satu kebetulan. Saya pun tak tahu sangat pasal Freemason. Yang saya tahu, ia pernah ditonjolkan dalam filem dari Hollywood tapi saya tak ‘gila’ untuk merancang perkara seperti itu.

“Mungkin ia satu kebetulan. Bukan saya tak sensitif. Tetapi pada masa akan datang, saya akan lebih berhati-hati dan sensitif. Secara tak langsung saya nak minta maaf juga.

“Yang baik datang dari Allah dan yang buruk datang dari kelemahan saya sendiri,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.

Menurut sebuah akhbar, Freemason dan Illuminati adalah pertubuhan rahsia ke arah pembentukan New World Order dan mereka bergerak untuk mengawal dunia secara keseluruhan.

Antara yang mirip kepada lambang yang terdapat pada logo Freemason adalah set pentas ketika persembahan Siti.

Sufian juga berkata: “Yang kedua, anda juga mungkin dapat lihat apa persamaan penari-penari ini dengan salah satu dari kerabat-kerabat firaun yang dipercayai oleh mereka mempunyai suatu yang berkuasa?

“Yang ketiga, Alyah yang merupakan finalis AJL 24 mengenakan gaun merah ala-ala ‘Lady In Red’ yang merupakan simbolik yang digunakan dalam menjayakan organisasi ini serta bagaimana mesej bawah sedar digunakan seperti yang dipertontonkan dalam filem Devil’s Advocate, The Matrix dan dokumentari The Arrivals bahagian 13.

“Anda mungkin tahu mengenai The Master Carpet, turut dikenali sebagai Checkered Floor yang digunakan dalam upacara tertentu oleh gerakan Freemason yang bertentangan dengan agama Islam.”

Sufian yang mewakili kumpulan pengkaji daripada gabungan Jejaki Tinggalan Rasul (JTR), Free Our Mind (FOM) dan Nur Toharah (NT) mengulas persamaan yang ditonjolkan oleh ramai pemain gitar seperti band Hujan dan Bunkface yang menggunakan tali pemegang gitar yang mirip kepada The Master Carpet.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: