Monday, January 11, 2010

Pendakian jana RM100,000


PARA peserta yang menyertai program pendakian amal bergambar di puncak Gunung Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Sekumpulan pendaki dengan pelbagai latar belakang telah berjaya menempuh perjalanan yang tidak stabil, cuaca sejuk dan pendakian yang sukar diramal untuk satu tujuan murni.

Para pendaki yang menyertai ekspedisi ke Gunung Kinabalu itu sanggup mengharungi segala kesukaran semata-mata untuk menjana sumbangan sebanyak RM100,000 untuk rumah kebajikan Shelter Home for Children.

Pendakian amal yang dianjurkan oleh Shelter itu bertujuan mengumpul dana dan membantu kanak-kanak pelarian di negara ini.

Pengarah Eksekutif Shelter Home for Children, James Nayagam berkata, respons dan penyertaan orang ramai terhadap pendakian amal itu sungguh baik. Oleh kerana faktor logistik, pihaknya hanya menerima 40 orang pendaki. Walau bagaimanapun, beliau juga merancang untuk menganjurkan pendakian seterusnya dalam jangka masa yang terdekat kerana ingin memberi peluang kepada pendaki yang tampil tetapi gagal menyertainya.

"Kerelaan orang ramai menyertai pendakian amal seperti ini walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil ini membuatkan kami cukup terharu. Duit yang dikumpul akan dibelanja untuk pendidikan, kesihatan dan penjagaan kanak-kanak pelarian," kata James.

Salah seorang pendaki yang dikenali sebagai Wong Lee Choo memberitahu, walaupun julung kali mendaki gunung yang tertinggi di Malaysia itu, namun kerjasama dan sikap saling membantu antara pendaki yang lain mendorongnya mengharungi banyak halangan sepanjang ekspedisi itu.

Dia juga percaya bahawa semua kanak-kanak pelarian berhak memperoleh masa depan yang cerah dan bagus.

Seorang lagi pendaki pula menyatakan bahawa pendakian itu memang sesuatu yang menyeronokkan dan penuh bermakna kerana tujuannya yang ikhlas. Pendakian itu juga memberi peluang kepadanya untuk menjadi suara membela nasib kanak-kanak pelarian.

Jelas Carolyn Loo Su Vern, dia berasa bangga di atas usaha murni itu.

"Panorama indah dari puncak Gunung Kinabalu membuatkan kami lupa kepenatan, kesakitan dan kesukaran yang dialami sepanjang mencecah puncak ini.

"Pengalaman mendaki ini menjadi lebih istimewa kerana dapat membantu kanak-kanak ini," kata pendaki seterusnya, Chong Yee Thean.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: