Monday, January 11, 2010

Nasib malang pelarian Somalia


ASHA Ali Maow (kiri) dan suaminya, Hasan Ali Hasan bersama tiga anak mereka terpaksa tinggal di dalam sebuah bilik apartmen yang sempit dan hidup dalam serba daif.

YOUSSUF Abdullahi Mohammud berumur 16 tahun ketika tiba di Nepal pada 2007, tetapi kini dia menjadi mangsa sindiket perdagangan manusia yang kononnya berjanji membawanya ke Eropah dari negara asalnya, Somalia.

Anak sulung daripada lima adik-beradik itu menjelaskan, selepas bapanya dibunuh oleh militia Somalia, dia membayar AS$4,000 (RM13,586) kepada sindiket tersebut untuk dibawa ke England, sambil berharap dapat mencari rezeki bagi menyara keluarganya.

Malangnya, Youssuf dihantar ke sebuah negara antara paling miskin di dunia yang masih bergelut dengan perang saudara berdarah selama sedekad. Hari ini dia masih terkandas bersama puluhan rakyat Somalia yang mengalami nasib serupa.

"Apabila kali pertama tiba, saya menyangka berada di Eropah kerana saya tidak pernah melihat orang kulit putih," Youssuf memberitahu seorang wartawan agensi berita di sebuah kafe kecil di ibu negara Nepal, Kathmandu.

"Di Somalia, kami tiada siaran stesen televisyen Barat menyebabkan saya menyangka rakyat Nepal juga sebagai orang Barat sebelum menyedari realiti sebenar," katanya. Kafe itu menjadi tumpuan warga Somalia untuk menghabiskan masa lapang.

Youssuf kini antara 80 rakyat Somalia di Nepal yang tidak mampu pulang ke negara asal atau mendapatkan status pelarian kerana negara itu tidak pula menandatangani konvensyen pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pemangku wakil Suruhanjaya Tinggi PBB mengenai Pelarian (UNHCR) di Nepal, Diane Goodman berkata, agensi itu tidak dapat berbuat apa-apa di Nepal bagi membantu rakyat Somalia yang amat bergantung kepada bantuan kemanusiaan.

Situasi tegang

"Walaupun tidak menandatangani konvensyen pelarian 1951 atau protokol 1967 mengenai status pelarian, Nepal meneruskan ihsan atas sebab kemanusiaan dengan menjadi tuan rumah kepada ramai pelarian sejak berdekad-dekad," katanya.

"UNHCR hanya mampu menyediakan bantuan kewangan secara bulanan, penjagaan kesihatan dan pendidikan asas," tambah beliau. Namun, pelarian Somalia terpaksa bergelut untuk hidup di Nepal dengan elaun sekecil AS$60 (RM204).

Kebanyakan mereka biarpun tahu situasi masih lagi tegang di tanah air sendiri, pelarian Afrika itu lebih rela pulang ke Somalia daripada terus tinggal begitu lama di banjaran Himalaya.

Asha Ali Maow, seorang ibu kepada tiga anak berusia 31 tahun tiba di Nepal pada 2006 selepas sindiket perdagangan manusia dibayarnya untuk membawanya ke Eropah, namun dia dibiarkan terkandas di negara itu.

Wanita itu meninggalkan Somalia selepas kumpulan bersenjata datang ke rumahnya dan memberitahu mereka telah membunuh suami Asha dan mengancam untuk melakukan perkara yang sama ke atasnya.

Ketika sarat mengandung anak kedua, wanita malang itu terbang ke New Delhi, India sebelum ditinggalkan sindiket tersebut di sana yang memaklumkan Asya perlu meneruskan perjalanan ke Nepal kononnya untuk bertemu seseorang di sana.

"Saya ada menyimpan nombor telefon sindiket itu. Apabila tiba di Nepal, saya cuba menghubungi mereka namun tiada jawapan," katanya yang tinggal di sebuah apartmen kecil satu bilik. "Saya berasa takut tinggal keseorangan bersama anak-anak."

Asha bernasib baik dapat mendaftarkan diri dengan UNHCR yang membolehkan dia menerima bayaran bulanan dan menyewa sebuah apartmen kecil.

Dua tahun kemudian, suaminya yang didakwa sudah mati tiba-tiba muncul di rumahnya dan dipercayai terselamat dalam satu serangan di Somalia sebelum dia berusaha menjejaki semula Asha di Nepal.

"Ia satu kejutan besar. Saya ketawa dan menangis pada masa sama malah saya berasa takut kerana menyangka saya bertemu hantu suami saya," kata Asya.


RAKYAT Somalia terpaksa hidup dalam pelarian di Nepal ekoran negara mereka tidak menandatangani konvensyen pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Di sebalik kegembiraan keluarga itu dapat bersatu semula tahun lalu, Asha berkata, kehidupan mereka amat daif apabila terpaksa tidur, makan dan menghabiskan banyak masa dalam sebuah bilik kecil.

"Memang sukar untuk hidup dengan elaun sara diri yang kami terima. Bayangkan untuk bekalan air, kami perlu membayar 1,200 rupee (RM54) walaupun kadang-kadang tidak mendapat bekalan air," kata Asha.

Hakikatnya, tidak jelas bagaimana begitu ramai pelarian Somalia boleh berada di Nepal meskipun ada yang berpendapat kelemahan undang-undang imigresen mungkin menjadi punca.

Bantuan kewangan

Namun kerajaan Nepal berkata, mereka bersimpati dengan nasib warga Somalia yang tidak memiliki sumber yang cukup untuk menanggung mereka dan bimbang akan menjadi hab transit jika isu itu berjaya ditangani.

"Pelarian urban di Nepal bukan masalah kerajaan dan kami tiada kuasa ke atas mereka selain percaya dapat dibantu," kata setiausaha rendah di Kementerian Dalam Negeri, Basanta Bhattarai kepada AFP.

"Bagaimanapun, kami telah meminta UNHCR memastikan pelarian itu dihantar pulang supaya bilangan mereka tidak bertambah," katanya.

Ironinya, pelarian terbabit memang berhasrat mahu pulang namun takut berbuat demikian kerana mereka akan didenda AS$6 (RM20) sehari kerana tinggal melebihi tempoh visa yang dibenarkan.

Walaupun kanak-kanak yang dilahirkan pelarian itu tidak tertakluk di bawah peraturan imigresen, sesetengah keluarga menganggarkan mereka perlu membayar denda ribuan dolar jika mahu kembali ke negara asal.

Ramai pelarian seperti Youssuf masih muda yang hanya bergantung ihsan daripada bantuan kewangan pihak luar tetapi mujur mereka berpelajaran dan fasih berbahasa Inggeris sekali gus memudahkan golongan itu bekerja.

"Di Somalia, sekurang-kurangnya saya ada saudara-mara. Namun di sini saya sendiri tidak tahu apa yang saya buat," kata Osman Badri Tahir, 19, yang datang ke Nepal empat tahun lalu dari Mogadishu selepas ibu bapanya terbunuh.

"Sebagai seorang pelarian, anda sebenarnya cuma ada tiga pilihan sama ada dihantar balik, hidup berintegrasi di negara ini atau cari negara lain. Malangnya, kami tiada semua pilihan itu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: