Penat lelah ibu bapa tidak akan sia-sia apabila melihat anak-anak mereka meraih kecemerlangan dalam pelajaran terutama pada majlis konvokesyen.
Itulah yang dirasai oleh ibu bapa lebih daripada 240 pelajar Institut Profesional Baitulmal (IPB) apabila anak-anak melihat mereka menggenggam segulung sijil dan diploma pada Majlis Kovokesyen IPB yang ke-tujuh di sini baru-baru ini.
Malah, segelintir daripada mereka kelihatan menitiskan air mata gembira dan tidak kurang juga yang tersenyum lebar apabila nama anak mereka dipanggil ke pentas untuk menerima segulung ijazah daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Antara mereka termasuk Mohd Farique Zubir Al-Bakri, graduan diploma jurusan perakauanan yang berjaya menggondol Anugerah Pingat Menteri.
Jejaka berumur 23 tahun ini melalui banyak onak dan duri sebelum dapat mengecapi kejayaan.
Ketika ditemui, anak kedua daripada empat orang adik-beradik ini menceritakan pahit manis yang terpaksa dilaluinya lantaran masalah kewangan yang dihadapinya.
“Ayah kahwin lambat dan oleh itu, beliau sudah bersara apabila saya melanjutkan pelajaran ke IPB.
“Saya terpaksa bekerja sebagai fasilitator secara sambilan supaya dapat menampung sedikit sebanyak kos pengajian meskipun mendapat tajaan penuh daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan,” jelasnya.
Mohd Farique yakin sepenuhnya restu kedua-dua orang tua merupakan rahsia kejayaannya dalam melakukan ini setiap perkara.
“Saya percaya doa dan bimbingan ibu bapa yang menjadikan saya mencapai tahap ini,” katanya dengan penuh rendah diri semasa berucap di pentas selepas menerima anugerah tersebut.
Farique sekarang merupakan pelajar ijazah tahun keempat di fakulti perakaunan UiTM Melaka.
Sementara itu, seorang lagi pelajar Norhafizah Hamid, yang mendapat diploma dalam jurusan perakaunan LCCI diumumkan sebagai penerima Anugerah Lembaga Pengarah.
Bakal akauntan berumur 21 tahun yang sedang melanjutkan pelajaran dalam perakauanan (CAT) di IPB itu memberitahu, cabaran utama yang dihadapinya adalah untuk menyesuaikan diri apabila terpaksa bertukar aliran daripada aliran sains kepada jurusan sekarang.
“Perakaunan adalah bidang baru buat saya semasa menjejakkan kaki di IPB. Tetapi kerana minat, saya dapat menguasainya dengan bantuan rakan-rakan sekelas yang pandai akaun,” tambahnya.
Sifat semula jadi anak kedua daripada tiga orang adik-beradik ini yang akan melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh dan tidak cepat mengalah merupakan kunci utama kejayaannya. Pelajar ini juga memberitahu, kejayaan yang diperolehinya adalah hasil ketekunan dan azam yang ditanam untuk tidak menyusahkan ibu bapa.
“Saya tidak mahu membebankan kedua-dua ibu bapa dengan kos pengajian yang tinggi. Dan sebab itulah saya memilih untuk melanjutkan pelajaran di IPB,” kata anak kelahiran Selangor ini.
Tambahnya, pensyarah-pensyarah di IPB juga banyak memberikan tunjuk ajar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: