Wednesday, January 27, 2010

Ilham moden, tenang & selesa


SELAIN sofa, permaidani turut memainkan peranan penting untuk hiasan ruang tamu.


KONSEP moden menjadi pilihan usahawan wanita, Mona Din untuk menghiasi kediamannya. Walaupun tampil dengan hiasan dalaman serba sederhana, kediaman 12 bilik itu tetap mempunyai ciri yang istimewa.

Pengusaha Serenity Spa dan Hajaba itu ternyata berada di kelas tersendiri apabila berjaya menghasilkan dekorasi yang menyuntik ketenangan.

Melangkah masuk ke kediaman mewah tersebut, kita terasa nyaman dengan hiasan warna putih pada dinding.

Pasti tetamu juga terpikat dengan penggunaan cermin di beberapa sudut yang menampilkan nilai eksotik kediaman berkenaan.

Lantai marmar putih pula menghasilkan ruang yang lebih luas.

Sebagai pereka fesyen jenama Hajaba, Mona ternyata hebat di gelanggang dekorasi apabila berjaya menata rias kediamannya dengan perabot yang kemas dan selesa. Kediamannya banyak menghasilkan hiasan yang menitik beratkan keselesaan dan ketenangan.

Dekorasi yang menarik tidak perlu terlalu sarat dengan hiasan dan dilengkapi perabot mewah.

Segenap ruang lebih istimewa jika diberi sentuhan bersesuaian serta selesa keadaannya.

hiasan

Menjenguk hiasan dalaman rumah berkonsepkan selesa dan tenang itu, pelbagai kelainan cuba diketengahkan Mona termasuk warna perabot seperti sofa yang tertumpu kepada warna gelap.

Kombinasi putih dan hitam menghasilkan suasana yang moden tetapi merehatkan minda.

Selain sofa fabrik kain, pilihan perabot moden seperti kulit juga menjadi penyeri kediaman Mona.

Rekaan menarik tingkap mesra alam yang merungkaikan batasan pemandangan luar menghiasi segenap ruang.

Malah, penggunaan langsir moden menjadikan dekorasi kediamannya ringkas.

Di sudut rehat menghadap kolam renang, rekaan set kerusi agak unik. Pilihan corak bunga ros tampak mewah dan eksklusif.

Sedikit hiasan bunga pada meja di ruang santai tersebut menjadi penghias yang ringkas,

Sekali pandang, ruang yang dipenuhi konsep keselesaan dan ketenangan itu tidak ubah hotel bertaraf lima bintang lengkap dengan sudut tertentu.

Lebih menarik, hiasan lukisan abstrak yang mempunyai nilai estetika menghiasi ruang dinding kediaman ini.

Selain itu, dua ruang utama diwujudkan sebagai sudut untuk meraikan tetamu. Setiap satu ada kelainan tersendiri. Persamaannya hanya satu iaitu televisyen dan tempat duduk moden menghiasi ruang berkenaan ternyata menjadi titik tumpu.

Ruang santai keluarga sengaja direka untuk lebih kelihatan luas dan nampak lebih selesa serta tidak mengganggu kehadiran tetamu.

Di sinilah tempat untuk berkumpul dan menghabiskan masa terluang sambil menonton televisyen atau mendengar radio.

Warna

Menjenguk pula ruang dapur yang dilengkapi kabinet dapur serta meja makan khas jelas menunjukkan seisi keluarga itu mementingkan kebersihan dan keselesaan.

Penataan warna terang dan harmoni yang ditampilkan secara langsung memperlihatkan konsep pilihan Mona menepati segalanya.

Warna merah mungkin agak garang tetapi pilihan ini menampakkan ciri moden sesebuah ruang.

Susunan meja makan dengan set pinggan, sudu dan cawan yang kemas seperti berada di sebuah restoran mewah.

Melangkah ke bilik tidur anak-anaknya, masing-masing memilih warna tema berbeza. Anak lelakinya gemar bermain dengan warna yang agak jarang diguna dalam penataan bilik tidur.

Ternyata ia memberi mood berlainan kerana tampil dengan warna yang menghasilkan perasaan yakin dan berani.

Pilihan warna merah, oren dan hitam sesuai untuk mereka yang inginkan suasana yang bertenaga.

Bagi si kecil, hiasan cadar bercorak kartun berjaya menceriakan ruang bilik.

Susunan anak patung ternyata sesuai untuk tata rias bilik anak gadis.

Sementara itu, tidak lengkap jika bilik anak-anak tidak mempunyai meja belajar.

Dalam hal ini, Mona bijak menyusun atur meja dan rak agar bilik nampak kemas.

Di ruang bilik tetamu, Mona masih menghasilkan susunan yang kemas dan mewah. Seperti mengalu-alukan mereka yang hadir, dia memberi keselesaan kepada tetamu yang menginap di rumahnya. Keluarga yang berkunjung pasti selesa dengan susun atur bilik yang lengkap. Katil, kerusi berehat dan meja solek menghiasi ruang bilik tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: