Tuesday, January 26, 2010

Habuan Pra-GP Joran 2010 meningkat



KUALA LUMPUR: Penganjur Karnival GP Joran 2010 bercadang menaikkan hadiah wang tunai bagi kedua-dua kategori Laut dan Pantai dalam usaha menarik lebih ramai penyertaan pemancing baru dan menjadikan memancing sebagai satu aktiviti menguntungkan.

Karnival di Pantai Puteri dijangka tarik ramai peserta

KUALA LUMPUR: Penganjur Karnival GP Joran 2010 bercadang menaikkan hadiah wang tunai bagi kedua-dua kategori Laut dan Pantai dalam usaha menarik lebih ramai penyertaan pemancing baru dan menjadikan memancing sebagai satu aktiviti menguntungkan.

Pengurus Projek Khas Berita Harian, Mohd Mizal Hasbullah, berkata bagi merealisasikan cadangan berkenaan perbincangan sedang dijalankan dengan sebuah syarikat ternama di negara ini yang berminat untuk menjadi penganjur bersama pertandingan berprestij itu.

“Karnival Pra-GP Joran 2010 di Pantai Puteri, Melaka bakal mencatatkan sejarah berhubung peningkatan hadiah wang tunai berkenaan,” katanya.


Mizal berkata, dengan peningkatan hadiah wang tunai pada Karnival Pra-GP Joran 2010, diharapkan ia dapat mencatatkan rekod penyertaan paling ramai dengan sasaran penganjur golongan remaja.

“Kita pernah mencatatkan rekod penyertaan teramai di Pantai Puteri pada tahun 2000 dengan lebih 2,200 peserta. Diharapkan pada 2010 catatan itu dapat dipadamkan dengan jumlah terbaru, ia secara tidak langsung membuktikan GP Joran masih relevan pada kaki pancing di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, Pantai Puteri di Melaka dipilih sekali lagi sebagai gelanggang Karnival Memancing Pra-GP Joran 2010 pada 28 Februari ini, selepas diputuskan pada mesyuarat khas di Balai Berita, di sini, baru-baru ini, berdasarkan kejayaan penganjuran Pra-GP Joran beberapa tahun lalu.

“Pemilihan pantai yang panjangnya lebih 2.5 kilometer itu kerana ia memiliki pelbagai kemudahan termasuk sistem pengangkutan yang efisien bagi kemudahan orang ramai. Paling penting ialah jadual pasang surut air laut di pantai berkenan menjadi faktor utama tarikh itu dipilih untuk penganjuran kali ini.

“Mengikut jadual pasang surut yang dikeluarkan Jabatan Hidrografi, Pantai Puteri yang terletak di Tanjung Kling akan mengalami air pasang di tahap maksimum pada jam 7.50 pagi iaitu 10 minit sebelum pertandingan bermula. Selepas itu, ia akan surut secara berperingkat sehingga ke tahap minimum pada jam 2.42 petang,” katanya.

Mizal berkata, tarikh itu juga jatuh pada Ahad iaitu cuti hujung minggu dan secara tidak langsung membolehkan peserta membawa keluarga masing-masing untuk bersantai pada pertandingan memancing yang berkonsepkan karnival kekeluargaan.

“Sebenarnya karnival bermula pada Sabtu dengan pelbagai program bagi memeriahkan karnival dua hari itu. Antaranya pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, karaoke untuk dewasa, sukan rakyat, pameran hasil kraftangan penduduk setempat, jualan murah barangan penaja dan persembahan artis tempatan.

“Bagi menyertai pertandingan berkenaan, tiada yuran dikenakan, sebaliknya pemenang akan menerima hadiah sumbangan penaja. Karnival ini secara tidak langsung akan mendekatkan lagi hubungan kekeluargaan sesama peserta di samping menyertai aktiviti yang disediakan,” katanya.

Pemilihan Pantai Puteri buat kali ke-10 juga disebabkan perairannya yang kaya pelbagai spesies ikan seperti gelama, kerapu, pari, sembilang, malong dan daun baru. Selain pantainya yang cantik, lokasi memancing sentiasa menerima kunjungan daripada penduduk tempatan serta pelancong domestik untuk bermandi manda pada hujung minggu.

Untuk pengetahuan, penganjur masih mengekalkan empat lokasi utama Karnival GP Joran 2010 iaitu di Pantai Puteri, Melaka, Kuala Pahang, Pekan (Pahang), Kuala Sedili, Kota Tinggi (Johor) dan Teluk Lipat, Dungun (Terengganu). Bagaimanapun, lokasi Grand Slam masih dalam pertimbangan penganjur, memandangkan beberapa negeri mula menyatakan hasrat untuk menjadi tuan rumah.

Bagi memeriahkan karnival beberapa penaja seperti TCE Takcles, Adabi, UFL Coleman, Hot Perfume, Gardenia dan Noraini’s Cookies akan mempamerkan produk terkini mereka.

Sebarang pertanyaan mengenai pertandingan memancing Pra-GP Joran, hubungi Unit Joran: 03-22822323 sambungan 4240/4241/4242.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: