Terlalu kecewa dengan dakwaan bekas kekasihnya Linda Onn yang dia kaki pukul, Fahrin menitiskan air mata. Pelakon terkenal ini juga minta Linda memohon maaf secara terbuka.
SIKAP berdiam diri bukan lagi jalan terbaik bagi pelakon dan pengacara Fahrin Ahmad, 31, menghadapi segala kemelut kisah percintaannya.
Tindakan mengemukakan notis tuntutan dalam tempoh tujuh hari terhadap bekas kekasihnya, penyampai radio Suria FM, Linda Onn, merupakan jalan terakhir bagi Fahrin membersihkan semula namanya dari persepsi negatif masyarakat.
Dakwaan kononnya dia seorang yang panas baran dan kaki pukul dalam satu kenyataan Linda baru-baru ini merupakan tamparan hebat kepadanya sehingga dia terpaksa mengambil keputusan yang agak sukar itu.
"Keputusan ini sangat berat. Saya ambil masa yang agak panjang untuk membawa perkara ini ke mahkamah. Saya lebih suka berdiam diri, namun keadaan tersebut tidak dihargai.
"Apabila keadaan semakin tidak terkawal dan menjejaskan imej dan kredibiliti saya sebagai duta kepada tiga produk terkenal Shell, Celcom dan Garnier, saya rasa tiada jalan lain selain bagi amaran kepada dia (Linda Onn).
Fahrin terlalu sebak mengenangkan bagaimana dia diaibkan oleh dua orang bekas kekasihnya
Fahrin menzahirkan rasa kesal dengan dakwaan dia seorang lelaki yang panas baran. Pelakon drama TV itu turut mengakui, dia menghadapi tekanan emosi sejak kebelakangan ini kerana dakwaan itu.
"Kesan kenyataan itu sangat besar kepada emosi, kerjaya dan keluarga saya. Bayangkan bagaimana perasaan saya bila orang bertanyakan hal ini kepada ibu saya yang terlantar sakit di hospital?.
"Bagaimana jika saya nak berkahwin dan macam mana tanggapan keluarga perempuan terhadap saya? Bagaimana pula tanggapan produk-produk iklan yang ambil saya sebagai duta? Bagaimana dengan rezeki dan masa depan saya nanti?," ujar Fahrin sambil menahan sebaknya.
Namun Fahrin bersyukur, keluarganya tetap berdiri di belakangnya, memberi sokongan padu.
"Alhamdulilah keluarga saya kuat menerima dugaan ini. Saya tidak berdendam dengan mereka. Kalau boleh saya tidak mahu perkara ini dipanjangkan lagi," ujarnya yang berkali-kali berharap perkara ini tidak dipanjangkan.
Ketika ditanya tentang perkara-perkara buruk seperti yang didakwa dalam kenyataan penyampai radio tersebut, Fahrin berkata dia tidak seperti yang laporkan media dalam kenyataan tersebut.
"Saya sangat kecewa, saya tidak marah dengan mereka tetapi kenapa sampai hati buat saya begini. Kata saya kaki pukul, panas baran...., saya tidak macam itu," ujar pengacara Sehati Berdansa ini.
Dia turut memberitahu bahawa keburukan-keburukan yang diceritakan oleh bekas-bekas kekasihnya itu telah mengaibkan dirinya.
"Percintaan bersama Linda dan Scha Al-Yahya adalah dua percintaan yang berbeza. Jalan ceritanya juga berbeza tapi bila mereka sudah berkawan baik, mereka bercerita tentang keburukan saya. Cuba suruh mereka cari 10 kebaikan saya, mesti ada.
"Tapi saya tetap berbangga berkawan dengan mereka dan kerjaya mereka yang semakin meningkat," katanya.
Sedih bila keluarga turut menerima impak dari dakwaan tersebut.
Dalam pada itu, Fahrin turut mengakui serik untuk menjalinkan hubungan cinta dengan mereka di kalangan selebriti setelah melalui hal-hal sebegini.
"Mula-mula dulu saya anggap ini adalah jodoh. Tapi setelah apa yang saya lalui dan apa yang telah ditunjukkan tuhan, mungkin lepas ini bukan dengan rakan artis lagi," ujarnya mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: