Wednesday, January 27, 2010

Eksklusif sentuhan wanita


Pilihan adunan warna lembut seperti ungu mendamaikan suasana di spa.


SAAT kaki melangkah masuk ke pejabat urusan D'Navechee Beauty (M) Sdn Bhd yang terletak di Wangsa Maju, hati terasa begitu tenang dan seronok. Dihias sebegitu indah, syarikat pemasaran pelbagai peringkat ini mencerminkan jiwa pemilik dan Pengarah Urusannya, Datuk Azlina Che Abdullah yang sukakan kepada keindahan.

Tersergam di bangunan kedai tiga tingkat, kedudukan syarikat ini yang dibuka pada bulan Oktober 2008 bertentang dengan Masjid Usamah bin Zaid dengan seni binaannya yang cantik tambah menyejukkan hati dan jiwa.

Sering diungkapkan orang bahawa pejabat umpama 'rumah kedua' kerana sebahagian besar masa lazimnya dihabiskan di tempat kerja.

Justeru ia sepatutnya menjadi tempat yang menenangkan dan dapat mengurangkan stres berkerja. Peranan ini boleh dimainkan melalui penataan hiasan dalaman daripada pilihan perabot hinggalah warna cat dinding.

Konsep ini yang terserlah di pejabat Azlina yang membawa aura ketenangan pada setiap orang yang melangkah masuk ke dalamnya tanpa menjejaskan peranan hakikinya sebagai tempat berkerja.

Susun atur perabot dan pemilihan warna cukup dititik beratkan. Bukan saja menenangkan bahkan menyerlahkan ciri kemewahan dan 'eksklusiviti'.

Lebih penting apa yang ditampilkan merupakan aspirasi pemiliknya yang ingin dikongsi bersama kakitangan dan pengunjung yang datang.

Tingkat bawah bangunan tersebut menempatkan butik produk D'Navechee, santai dengan susun atur perabot dan hiasan-hiasan. Di tingkat yang sama turut menempatkan pejabat Azlina dan kakitangan syarikat.

Berhadapan dengan pintu masuk utama pejabat ini menempatkan meja penyambut tetamu. Menuruni empat anak tangga di sebelah kiri ialah ruang butik D'Navechee yang menghimpunkan pelbagai produk seperti kain ela, baju yang sudah siap, tudung dan aksesori.

Di tengah-tengah ruang ini diletakkan tempayan besar di dalam petak kolam kecil yang di dalamnya terdapat beberapa ekor ikan emas. Air yang mengalir keluar daripada tempayan menghasilkan bunyi yang menenangkan mereka yang berada di sini.

Sofa panjang yang ditempah khas dengan kusyen berfabrik jalur diletakkan pada bahagian tepi ruang ini dan berhadapan dengan tempayan tadi. Sambil berurusan dengan kakitangan butik, pelanggan juga boleh bersantai sambil menonton televisyen yang diletakkan di sebelah kiri.

Di bahagian belakang butik ini ialah pejabat Azlina yang nampak mewah dengan susun atur perabot yang menarik. Pejabat ini cukup luas dan menempatkan meja pejabat, dua buah kerusi kulit, sebuah meja bulat, dua buah kerusi berwarna merah jambu dan sebuah sofa panjang tiga dudukan.

Di sinilah Azlina menjalankan tugasannya atau menerima tetamu dan rakan-rakan rapat yang berurusan dengannya. Memang tenang berada di sini sambil melihat dan mendengar bunyi air yang mengalir daripada bingkai marmar hitam yang dipasang di dinding.

Di sini juga terdapat spa DNV di mana pelanggan yang membeli produk atau berurusan boleh pula mendapatkan rawatan spa yang disediakan di tingkat dua. Pelanggan perlu menaiki beberapa anak tangga untuk ke spa di tingkat dua yang dibuka daripada pukul 9.30 pagi hingga enam petang.

Spa yang eksklusif untuk wanita sahaja ini menawarkan rawatan yang lengkap daripada hujung rambut hingga ke hujung kaki. Di antara rawatan yang boleh diperoleh ialah rawatan wajah, rawatan badan, rambut, kuku, solekan dan pakej rawatan Puteri.

Warna ungu menjadi warna tema di sini dan boleh dilihat daripada tingkat bawah hingga ke tingkat tiga. Sementelah warna ungu menjadi warna kesukaan Azlina.

Spa yang luas dan selesa sudah pasti membuatkan pelanggan ingin berada lama di sini. Di ruang rehat spa ini pelanggan boleh berehat selepas mendapatkan rawatan di atas sofa panjang atau duduk di dua buah kerusi yang juga berwarna ungu.

Walaupun Spa DNV menyediakan beberapa buah katil rawatan yang boleh menerima beberapa pelanggan pada satu-satu masa namun pelanggan perlu membuat temujanji dahulu. Ini bagi mempastikan setiap pelanggan mendapat layanan mesra daripada lima orang terapi.

Di sini terdapat dua buah katil khusus untuk pelanggan yang mendapatkan rawatan badan, dua buah katil untuk rawatan muka, bilik jakuzi, mandi wap dan juga terdapat ruang bagi yang ingin membuat rawatan kuku kaki dan tangan.

Tingkat tiga pula menempatkan pusat latihan di mana seminar, latihan niaga atau bengkel diadakan di sini pada masa-masa tertentu. Kebanyakan perabot yang terdapat di sini adalah berwarna putih agar sekitaran nampak lebih teratur dan tersusun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: