Wednesday, January 27, 2010

“Celupar saya bertempat”



Program realiti Raja Lawak yang sudah memasuki musim keempat sudah mula mendapat tempat. Bukan sahaja persembahan peserta-pesertanya yang telah menunjukkan peningkatan, malah program tersebut juga mendapat respons apabila salah seorang jurinya Din Beramboi dikatakan bermulut celupar serta komen-komennya sentiasa menyentap peserta serta penonton.

Namun, bagi penyampai radio Era.fm itu, setiap komen yang diberikannya kepada peserta adalah ikhlas dengan niat untuk memberi nasihat. Tidak terlintas di hatinya untuk menyakitkan hati mana-mana peserta termasuklah penonton.

“Setiap minggu, kami juri-juri akan cuba sehabis baik untuk memberikan komen yang dapat meningkatkan lagi mutu persembahan peserta. Saya dengan cara saya. Bob Lokman dan Afdlin Shauki dengan cara masing-masing.

“Saya tak berasa hati pun bila orang cakap saya ni celupar. Ketika terkeluar perkataan ‘anjng’ itu, ia secara spontan sahaja. Tidak ada niat untuk mengutuk peserta tersebut. Saya hanya bergurau. Saya tidak maksudkan apa-apa daripada kata-kata saya itu. Cuma, mungkin ada orang yang tak puas hati.

“Saya mohon maaf sekiranya apa yang terkeluar daripada mulut saya tu tak disenangi beberapa pihak. Bukan mudah nak jaga hati semua orang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurut Din Beramboi atau nama sebenarnya Meor Ahmad Fuad, segala teguran yang diberikan terhadapnya selama ini akan cuba diperbaiki agar ia tidak berulang lagi.

“Saya terima setiap teguran untuk saya. Ini bermakna, kehadiran saya dalam industri ini mendapat perhatian. Tapi, saya tak boleh nak ubah semuanya. Saya tetap saya dan hanya perbaiki kelemahan diri.

“Untuk memberi komen kepada peserta, rasanya saya akan kekalkan imej saya selama ini cuma akan lebih berhati-hati agar tidak ada lagi hati yang tersinggung dengan kata-kata saya,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai ada di antara peserta Raja Lawak musim ini yang dikatakan masih tidak menunjukkan peningkatan biarpun sudah lebih empat minggu, Din berkata, peserta Raja Lawak yang dipilih adalah peserta terbaik yang datang semasa uji bakat.

“Sesi uji bakat dibuat di merata-rata tempat. Inilah yang terbaik di antara yang datang ke sesi uji bakat. Saya ingin maklumkan, semua peserta kali ini, kami pilih berdasarkan kredibiliti mereka untuk berlawak.

“Ada antara mereka ini tidak ada akademik yang tinggi. Jadi, apa yang penonton boleh harapkan? Mereka memang boleh berlawak cuma mungkin gugup di pentas menyebabkan mereka tidak dapat menyampaikan lawak mereka dengan baik.

“Bukan sahaja peserta, ada antara mereka yang sudah biasa di pentas lawak atau pentas lain pun ada kalanya gugup ketika di pentas. Bagi saya keadaan ini normal. Jangan terus menyalahkan mereka ini.

“Mereka memang tak ada pengalaman berlawak di depan orang ramai dan tak pernah mendapat pendedahan seperti sekarang ini.

“Tugas saya, Bob dan Afdlin adalah memberi ilmu sebaik mungkin kepada mereka. Berilah mereka masa dan ruang untuk terus belajar,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: