TRONG: Ketika kanak-kanak sebayanya bebas berlari dan bermain, Mohd Ihsan Mohd Tahir, 11, hanya mampu melihat saja berikutan penyakit kulit kronik yang dialami membataskan dirinya menikmati keriangan seperti rakan lain.
SIMPATI...(dari kiri) Rosli, Mohd Zahir dan Dr Vasan menziarahi Mohd Ihsan yang menahan kesakitan akibat penyakit kulit dihidapinya.
TRONG: Ketika kanak-kanak sebayanya bebas berlari dan bermain, Mohd Ihsan Mohd Tahir, 11, hanya mampu melihat saja berikutan penyakit kulit kronik yang dialami membataskan dirinya menikmati keriangan seperti rakan lain.
Mohd Ihsan yang menghidap penyakit berkenaan sejak dilahirkan bukan saja tidak mampu berdiri dan berjalan, malah sukar meluruskan kaki disebabkan masalah tulang sendi kakinya.
Ibunya, Norazahariyah Mohamad, 44, berkata anak keempat daripada lima beradik itu dilahirkan dengan keadaan kulit kedua-dua tangannya tertanggal dan kulit kaki daripada lutut ke bawah pula tiada.
“Pada awalnya, saya dan suami terkejut serta sedih melihat keadaannya ketika dilahirkan dan luluh hati saya mendengar tangisannya ketika menahan kesakitan.
“Keadaannya itu memaksa Hospital Taiping meletakkannya dalam inkubator selama dua bulan sebelum dibenarkan pulang,” katanya kepada media ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tengah di sini, semalam.
Norazahariyah sebelum itu menerima sumbangan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Mohd Zahir Abdul Khalid; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Trong, Datuk Rosli Husin dan Pakar Ortopedik Hospital Pantai Ipoh, Datuk Dr S Vasan.
Katanya, anak sulungnya, Mohd Syamil Mohd Tahir yang dilahirkan pada 1994 juga menghidap penyakit sama tetapi meninggal dunia selepas 12 hari dilahirkan.
“Doktor pernah memberitahu saya ada kemungkinan anak saya yang lain menghidapi penyakit ini dan saya menerimanya sebagai dugaan dan ujian Tuhan.
“Mohd Ihsan sering menggaru akibat kegatalan hingga kulitnya berair dan berdarah menyebabkan penyakitnya semakin merebak teruk,” katanya yang bekerja sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tat Beng di sini.
Walaupun mengalami kekurangan dari segi fizikal, namun keupayaannya untuk belajar dan berfikir sama seperti kanak-kanak lain dan dia kini menuntut di Kelas Pendidikan Khas, Sekolah Kebangsaan Sungai Tinggi.
Bapa Mohd Ihsan, Mohd Tahir Mohd Khalid, 48, berkata pekerjaannya sebagai nelayan tidak mampu untuk menampung kos perubatan anaknya itu yang memerlukan perbelanjaan lebih RM1,000 sebulan.
“Pendapatan saya bergantung kepada rezeki ketika turun ke laut dan jika cuaca tidak mengizinkan, kurang pendapatan untuk bulan berkenaan.
“Walaupun isteri saya bekerja tetapi gajinya tidak cukup untuk menampung perbelanjaan kami anak-beranak kerana tiga anak lain masih bersekolah,” katanya.
Katanya, dia pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun hingga kini belum menerima jawapan.
Sementara itu, Mohd Zahir berkata pihaknya akan memberi kerusi roda elektronik kepada Mohd Ihsan bagi memudahkannya bergerak tanpa bantuan sesiapa.
“Saya difahamkan, Mohd Ihsan mempunyai sebuah kerusi roda, namun diletakkan di sekolah bagi memudahkannya bergerak.
“Selain itu, saya sudah berbincang dengan Hospital Pantai Ipoh supaya dapat menjalankan rawatan kepada Mohd Ihsan bagi mengenal pasti punca penyakitnya dan mencari penawar,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: