Monday, January 25, 2010

46 cedera pesawat terhempas di Iran


BEBERAPA anggota bomba memadam kebakaran sebuah pesawat penumpang Iran yang terhempas di Lapangan Terbang Mashhad, semalam.

TEHERAN - Sebuah pesawat syarikat penerbangan Iran yang membawa 157 penumpang dan 13 anak kapal terbabas di landasan di timur laut Iran semalam dengan menyebabkan 46 penumpang cedera, lapor stesen televisyen di negara itu.

Jurucakap Jabatan Penerbangan Awam Iran, Reza Jafarzadeh berkata, tiada mangsa yang terbunuh di dalam nahas tersebut dan beliau tidak memberitahu punca ia berlaku.

Menurutnya, pesawat milik Taban Air itu berlepas dari Lapangan Terbang Abadan kelmarin tetapi mendarat di Lapangan Terbang Isfahan di tengah Iran kerana cuaca buruk di Mashhad yang merupakan destinasi pendaratan sebenarnya.

"Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Isfahan pada pukul 5.35 pagi waktu tempatan semalam walaupun cuaca buruk dan jarak penglihatan yang minimum.

"Juruterbang membuat pendaratan kecemasan kerana terdapat seorang penumpang yang sakit. Nahas itu berlaku sewaktu mendarat," kata Reza.

Menurutnya, pesawat buatan Rusia itu mengalami kemusnahan yang teruk selepas terhempas di Lapangan Terbang Mashhad.

Sebuah stesen televisyen melaporkan sebahagian pesawat itu terbakar dan sayap kirinya turut berkecai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: