![]() |
| MAXIMUS (dari kiri atas) Zakk,Faizal, Apek, Nijero, (duduk) Ijal. |
SEMAKIN ramai peminat mengenali kumpulan Maximus yang kini popular dengan lagu Biar Mati Cinta Ini dan Katakan Padaku yang selalu diputarkan di radio sejak kebelakangan ini.
Biarpun terpaksa bersaing dengan kumpulan-kumpulan yang sedia ada, nampaknya rezeki kumpulan Maximus tetap ada memandangkan saban hari makin ramai peminat yang mula mengenali mereka.
Ada yang suka, ada juga yang kurang senang dengan kehadiran mereka dalam industri muzik tanah air. Tapi itu sebenarnya langsung tidak meninggalkan luka pada Maximus malah membuatkan mereka semakin tabah.
Perjalanan yang dilalui oleh mereka penuh berliku dan jika diselak kembali sejarah kumpulan ini, mereka telah pun wujud sejak tahun 2004 lagi.
Memang ada kumpulan yang pertama kali ditubuhkan dan terus mengecapi populariti. Tapi langkah Maximus tidaklah sehebat kumpulan yang lain.
Tak semestinya langkah yang dihayun itu pantas. Ada kalanya laluan Maximus juga penuh berliku. Tapi itu bukan penghalang kepada setiap anggota kumpulan untuk terus memahat nama Maximus ke peringkat tertinggi pada masa akan datang.
Dianggotai oleh lima anak muda, mereka yakin jalan yang dilalui ini sebenarnya masih jauh untuk ditempuhi. Mujurlah ada syarikat rakaman Gothic Record memberikan sepenuh perhatian kepada mereka untuk membina empayar yang besar seperti kumpulan-kumpulan lain.
Menurut Armize Abdul Rohni atau Nijero, tahun 2009 merupakan tahun bertuah buat mereka memandangkan nama Maximus makin dikenali ramai.
"Rasanya tahun ini lebih baik jika dibandingkan dengan tahun terdahulu. Kami juga dapat rasakan yang tahun ini memberikan satu perspektif baru kepada Maximus untuk terus bertahan dalam industri ini," kata Nijero ketika ditanya mengenai status Maximus sekarang.
Akui pemain gitar ini lagi, walaupun ramai artis sudah tidak mahu menerbitkan sebarang album bimbang kurang mendapat sambutan, tapi hal sebaliknya berlaku pada kumpulan ini.
"Sudah lama kami menunggu peluang untuk mengeluarkan album. Mana mungkin kami menolaknya. Biarpun ramai yang tidak mahu mengambil risiko, tapi kami tetap yakin dengan strategi ini.
"Album yang diberi nama Maximus Prolog 2009 sudahpun 100 peratus siap. Kemungkinan selepas hari raya nanti barulah ia dilancarkan," kata Nijero ketika ditemui di Studio Utusan baru-baru ini.
Selain Nijero, Maximus juga turut dibarisi Zulkarnain Zainal (Apek, vokalis),
Mohamed Zaid (Zakk, drum), Tengku Mohd Faizal (Faizal, bass) dan Shahreeza (Ejal, gitar kedua).
l Perkembangan sihat
Saban hari kemunculan banyak kumpulan-kumpulan muzik sedikit sebanyak memeriahkan lagi industri seni tanah air. Ada yang menggelar diri sebagai indie dan tidak kurang juga yang mahu dikenali sebagai kumpulan arus perdana.
"Kalau semua orang sibuk nak jadi band indie takkan kami juga nak jadi band indie," kata Nijero tatkala ditanya mengenai status kumpulannya itu.
"Buat apa kita nak kecoh pasal aliran masing-masing. Pada saya sudah cukup baik kalau orang Malaysia dapat menerima pemuzik tempatan daripada menyanjung orang luar.
"Saya dapat rasakan perkembangan yang sihat dalam industri muzik tempatan sekarang. Orang kita sudah boleh menerima kehadiran band-band seperti kami," jelasnya lagi.
Akui Nijero lagi, muzik sudah dianggap seperti darah daging mereka sendiri. Tapi untuk membina dan memperkasakan nama Maximus bukan satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan dalam masa yang singkat.
Sebab itu mereka tidak pernah menolak sebarang undangan biarpun kadang kala tak dibayar oleh pihak penganjur.
"Bila kena tipu nak buat macam mana. Dah bukan rezeki kami. Tapi sudah memadai kalau peminat suka dengan muzik kami," kata Nijero mewakili rakan-rakan yang lain.
Bagi peminat yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai Maximus boleh layari www.myspace.com/maximusmuzik.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: