Tuesday, March 31, 2009

Erra sebak bercampur syukur selamat lahirkan Aleesya

PETALING JAYA: Perasaan sebak bersatu tatkala sebelum dan selepas aktres Erra Fazira melahirkan puteri sulungnya Engku Aleesya Engku Emran pada pukul 11.40 pagi tadi di Damansara Specialist Center, di sini.

“Saya bersyukur kerana penantian sudah berakhir dan selamat melahirkan Aleesya. Saya tak sangka berat Aleesya adalah 4.04 kg dan melahirkannya secara normal,” luah Erra ketika dihubungi tadi.

Erra bersalin secara normal dengan dibantu oleh Konsultan Obstetrician & Gynaecologist, Dr. Gunasegaran PT Rajan yang dipilih olehnya sendiri.

Erra tidak kisah untuk menambah cahaya mata lagi selepas setahun lagi.

Jelas Erra, tipulah jika dia katakan tidak sakit dan mudah untuk bersalin.

Bagaimanapun, semua itu tidak menghalang Erra untuk menambah anak lagi selepas ini.

“Saya tak kisah untuk mempunyai anak lagi tetapi biarlah Aleesya besar sedikit dalam masa setahun lagi.

Wajah suami Erra, Engku Emran sentiasa ceria semasa membuat sidang media mengenai kelahiran Engku Aleesya petang tadi di Damansara Specialist Center.

"Kalau boleh biarlah Aleesya ada pasangan untuk bermain,” beritahunya yang dijangka akan mula bekerja pada Jun depan.

Erra juga mengulas sedikit tentang kenyataan suaminya, Ketua Pegawai Operasi Suria fm, Engku Emran Engku Zainal Abidin yang kurang bersetuju untuk membenarkan Aleesya berlakon dalam sekuel drama Mertua Vs Menantu.

“Hal ini merupakan persetujuan kami bersama dan saya rasa memang tidak elok untuk anak saya berlakon kerana dia masih kecil.

“Saya juga tak galakkan anak untuk terlibat dalam industri seni ini dan doakan dia meminati bidang lain.

"Bagaimanapun, kami tetap akan sokong apa-apa yang dia minati nanti,” komennya yang akui memilih nama Aleesya kerana nama itu lembut dan sedap didengar selain maksudnya ‘yang dilindungi’.

Sementara itu, Erra juga berharap agar semua pihak bersabar untuk melihat wajah Aleesya yang akan ditunjuk semasa majlis cukur jambulnya nanti.

“Saya menghormati semua orang dan mahu bersikap adil, jadi saya rasa lebih baik kalau kita buat sekali. Tetapi, kalau kawan-kawan terdekat nak tengok, saya tak kisah jika mereka nak datang melawat,” jelas Erra yang lebih gemar jika Aleesya memanggilnya 'mum'.

Emran potong rambut bayar nazar kerana Aleesya

Erra kini bergelar ibu.

PETALING JAYA: Sama seperti maksud nama Aleesya iaitu 'yang dilindungi', bayi itu masih disorok daripada tatapan ramai.

Agak sukar untuk umum menatap gambar anak aktres jelita Erra Fazira dan Ketua Pegawai Operasi Suria fm Engku Emran Engku Zainal Abidin selepas Engku Aleesya selamat dilahirkan pada pukul 11.40 pagi tadi.

Walaupun berkali-kali dipujuk, Emran tetap berkeras tidak membenarkan pihak media merakamkan gambar anaknya pada hari ini kerana dia dan Erra telah bersepakat untuk menunjukkan anak mereka semasa majlis cukur jambul selepas Erra selesai berpantang nanti.

“Agak sulit juga untuk saya membenarkan pihak media merakamkan gambar Aleesya hari ini kerana doktor juga menasihatkan kami supaya tidak menganggu keadaan bayi demi menjaga privasinya yang masih kecil,” kata Emran dalam satu sidang media di lobi Damansara Specialist Center, di sini.

Emran ketika dikelilingi oleh rakan media sewaktu melakukan sidang media di lobi Damansara Specialist Center pada petang tadi.

Tambahnya, Erra dan Aleesya akan berada di hospital dalam tempoh dua hari ini dan dijaga oleh ibunya dan ibu Emran dalam masa dua bulan ini di kediaman mereka.

Ditanya tentang perasaannya setelah bergelar bapa, Emran berkata dia berasa teruja sehingga tidak dapat diluahkan dengan kata-kata.

"Saya rasa seperti ajaib lebih-lebih lagi apabila melihat satu nyawa dilahirkan di depan mata," ulas Emran yang berada hampir tujuh jam dalam bilik itu.

Tambahnya, dia bersyukur apabila Erra mudah bersalinkan Aleesya dengan mengambil masa kira-kira 20 minit.

Kelahiran Aleesya disambut oleh Konsultan Obstetrician & Gynaecologist Dr. Gunasegaran PT Rajan yang dipilih oleh Erra sendiri.

Emran sentiasa tersenyum ceria sewaktu ditemubual.

Engku Aleesya dilahirkan seberat 4.04 kg secara normal di hospital tersebut.

Emran juga sempat menceritakan tentang pengalaman Erra yang menangis gembira selepas selamat melahirkan puteri sulung mereka itu. Sebelum ini, Emran pernah bernazar untuk memotong rambut pendek selepas Erra selamat melahirkan bayi sulungnya itu. Jadi, dia akan membayar nazarnya itu pada hari ini.

Harap Aleesya jadi anak solehah

Sebelum ini produser David Teo pernah memberitahu niatnya untuk mengambil anak Erra dan Emran berlakon dalam sekuel drama lakonan Erra, Mertua Vs Menantu yang sedang disiarkan di Astro Prima untuk musim akan datang.

Emran masih belajar-belajar untuk bergelar bapa.

Erra sebelum ini belum memberikan kata putus kerana mahu produser meminta kebenaran daripada suaminya sendiri.

Ditanya tentang tawaran itu, Emran berkata dia kurang bersetuju dengan tawaran tersebut.

“Saya rasa tak sesuai jika dedahkan Aleesya kerana dia masih kecil. Saya minta produksi supaya mencari bayi lain.

“Kalau boleh saya juga tidak menggalakkan anak untuk menceburi dunia seni ini.

“Biarlah ibunya sahaja yang menjadi artis kerana industri seni ini bukannya manis sepanjang masa.

“Banyak kerja lain lagi yang dia boleh terokai. Selebihnya saya serahkan kepada mak dia untuk nasihatkan.

“Mana tau Aleesya akan bergelar seorang pemain golf yang berjaya kerana ibunya suka bermain golf sewaktu hamil,” luah Emran yang berharap supaya Aleesya menjadi anak yang solehah.

Menurut Emran, Erra dijangka akan berehat selama dua bulan daripada karier seninya.

Erra dimasukkan ke hospital pada pukul 11.30 malam tadi setelah mengalami kesakitan.

Dimaklumkan, sebelum itu Erra dan Emran masih sempat berjalan-jalan di pusat membeli-belah One Utama, di sini sambil menikmati makan malam.

Terdahulu, Emran sempat memberitahu berita gembira kepada mStar Online dalam satu Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) pada pagi tadi: 'Alhamdulillah, Suria FM sudah mempunyai seorang pendengar baru Engku Aleesya, yang selamat dilahirkan pada 11.40 pagi.' Erra pernah mengalami keguguran pada awal 2008 ketika usia kandungannya dua minggu.

Erra berkenalan dengan Emran pada Jun tahun 2007. Pasangan itu kemudian memilih 7 September 2007 untuk mengikat tali pertunangan.

Pada 25 Oktober pula, pasangan itu dinikahkan di Restoran Puteri, Sungai Penchala. Erra tidak meminta wang hantaran, sebaliknya meminta senaskah al-Quran sebagai ganti.

ABPBH 2008: Nikmat dihargai




Satu pencapaian besar walaupun sekadar finalis ABPBH2008

SERING populariti dikaitkan dengan paparan kisah hangat dan kontroversi yang pantas melonjakkan nama seseorang insan seni.

Seakan membawa konotasi negatif, populariti juga acap kali dilihat sebagai ujian yang menduga sejauh mana anak seni itu mampu menangani seterusnya mempertahan kekuatan dan keperkasaan mereka untuk mara ke puncak.

Bagaimanapun, barisan nama yang sedang mekar dan mengharum dalam industri hiburan tempatan ini meniti laluan sebaliknya.

Mereka tidak bersandar kepada populariti kosong yang akhirnya memusnahkan kepercayaan khalayak kepada kemampuan sebenar.

Sebaliknya setiap mereka merasai semua nikmat itu atas usaha dan dedikasi jitu apabila mengambil keputusan untuk melangkah dalam onak serta duri dunia hiburan.

NUBHAN, Aizat, Liyana dan Juliana bakat muda di pentas seni tanah air.

Bagi finalis Artis Baru Wanita Popular, Scha Al Yahya melihat pencalonannya dalam ABPBH 2008 sebagai penghargaan dan perakuan peminat terhadap usaha serta kerja kerasnya selama ini .

Pencalonan itu juga kata Scha, memberi makna yang cukup besar kerana selain memberi bonus untuk melonjakkan karier seninya malah turut melambangkan keakraban kolaborasinya dengan pihak media.

“Ia memberi kepuasan kepada Scha kerana bukan mudah untuk membolosi Top 5 daripada senarai panjang nama yang dicalonkan untuk kategori ini. Ia juga pencapaian terbesar sekali gus membuat Scha terharu kerana peminat menghargai dan menerima kehadiran Scha dalam bidang ini,” katanya.

Pencalonan itu juga dianggapnya sebagai kuasa ‘tendangan penalti’ kerana namanya hanya menyerlah sekitar hujung tahun lalu apabila drama bersiri, Awan Dania menerima pujian ramai.

KEMUNCULAN Farid Kamil dan Lisa Surihani jadi perhatian.

“Pencapaian ini adalah sesuatu yang di luar dugaan kerana pada penilaian Scha, masih terlalu awal untuk Scha berada dalam senarai besar itu. Scha sangat berterima kasih kepada peminat yang melihat bakat yang ada dalam diri ini,” katanya terharu kerana filem seperti Antoo Fighter dan Histeria membantu menyerlahkan lagi namanya kepada pencinta seni.

Suatu yang cukup memberi makna kepada pelakon dan pengacara berusia 26 tahun ini, pencalonan itu juga memberinya ruang untuk berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlu bersandar kepada populariti aktor, Fahrin Ahmad yang dikaitkan dengan dirinya.

“Scha mahu menjadi diri Scha secara individu dan alhamdulillah, semua itu tercapai menerusi pencalonan ini,” katanya.

Andai dulu, segala kemanisan sebagai anak seni popular hanya menjadi igauannya tetapi kini, jalan ke puncak sedang terbentang untuk si kecil molek, Stacy atau nama sebenarnya, Stracy Angie Anam.

Tidak ramai yang tahu sebelum segala kemanisan itu dikecapi, Stacy terlebih dulu menahan pelbagai kepahitan dan kepedihan untuk menggenggam cita-citanya.

“Saya pernah menyertai pelbagai pertandingan sampai ada yang datang bertanya, tidak malukah mahu turut serta lagi? Ada yang pernah berkata, carilah kerja lain kerana mungkin rezeki saya bukan sebagai anak seni.

“Tetapi saya cekalkan hati dan teruskan berusaha kerana kejayaan tidak akan datang bergolek di depan mata. Syukur kerana laluan untuk ke arah itu sudah mula terbuka sejak menjuarai Akademi Fantasia 7,” kata Stacy.

Mendaki tangga kejayaan sebenarnya turut membuatkan penyanyi berusia 18 tahun ini diburu kebimbangan. Stacy gusar jika melakukan kesilapan yang akhirnya memusnahkan segala kerja kerasnya selama ini.

Disebabkan itu, kata Stacy, dia sentiasa berdoa semoga Tuhan memberinya kekuatan untuk menempuh segala dugaan dan tidak lupa mereka yang berada di keliling yang membantu menjulang kariernya.

“Saya sentiasa berhati-hati dalam setiap tingkah laku, malah penghargaan demi penghargaan membuatkan saya mahu lebih berusaha untuk terus memberikan yang terbaik kepada semua.

“Pencalonan dalam ABPBH 2008 ini memberi semangat kepada saya malah mencabar diri untuk melakukan yang lebih baik. Semua ini bagaikan mimpi buat saya,” katanya.

Tidak kejar populariti

NAMA Juliana Evans sudah lama berlegar di kalangan peminat seni hiburan, namun gadis ini lebih senang memilih jalan hidup bersederhana.

Limpahan serta kilauan cahaya populariti tidak pernah melekakannya sebaliknya Juliana senang memilih untuk menjalani kehidupan seperti gadis lain sebayanya.

“Saya cukup bimbang apabila terlalu pantas naik, jatuhnya juga akan cepat. Jadi biar perjalanan karier saya perlahan. Lagipun saya tidak mahu terlalu dibuai populariti kerana masih ada tanggungjawab lain iaitu sebagai pelajar,” katanya.

Gadis berdarah campuran Melayu-Inggeris berusia 19 tahun ini mula mengacara sejak berusia 12 tahun. Namun katanya, di kalangan peminat namanya lebih menyerlah sebagai pelakon.

Disebabkan itu katanya, dia tidak menduga apabila namanya membolosi senarai Top 5 kategori Pengacara TV Wanita Popular.

“Sangka saya akan tersenarai dalam kategori Artis Baru Wanita Popular tetapi lain pula yang berlaku. Pencalonan ini membuatkan saya cukup berbangga tambahan pula kategori itu membariskan ramai nama besar dan berpengalaman.

“Saya begitu terharu kerana akhirnya segala usaha yang ditumpahkan membuahkan hasil. Berbaloi biarpun terpaksa merintis jalan panjang untuk sampai ke tahap ini,” katanya.

Tiada jalan pintas tanpa pengorbanan. Itu yang dirasai anggota baru The Fabulous Cats, Wangi Julianda yang terpaksa menahan kerinduan terhadap keluarga di Bandung demi memburu cita-citanya.

Suara nakal yang mempertikai kemasukannya dalam kumpulan itu tidak diendahkan. Sebaliknya Wangi mahu terbang tinggi bersama kumpulan yang cukup dikenali dengan lagu Bawaku Terbang.

Detik manis Liyana Jasmay dan Kenchana Dewi

BATU Pahat Mall barangkali meninggalkan kenangan paling manis buat dua nama yang begitu sinonim dengan dunia lakonan.

Liyana Jasmay dan Kenchana Dewi terharu apabila menerima kejutan meraikan ulang tahun kelahiran bersama peminat di sekitar Johor.

Kenchana yang menyambut ulang tahun minggu lalu, hampir menitiskan air mata kerana terharu dengan kejutan yang dilakukan.

“Sangka saya kejutan itu untuk orang lain. Jadi saya pun beriya-iya menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi tanpa disedari ia adalah kejutan untuk saya juga,” katanya.

Biarpun diduga dengan sedikit kontroversi, namun Kenchana tenang menghadapinya. Baginya, semua itu asam garam kehidupan yang tidak perlu terlalu dipedulikan kerana ia hanya menjejaskan mutu kerjanya.

Liyana pula baru meraikan hari ulang tahunnya yang ke-21 pada 28 Mac lalu, sehari sebelum siri promosi jelajah ABPBH 2008 di Batu Pahat Mall berlangsung.

Sekadar meraikannya bersama keluarga, sambutan hari kebebasan itu juga membawa makna besar kepada gadis kecil molek ini.

Single pertamanya, Ku Tak Perlu Cinta sudah mula berkumandang di corong radio membuatkan dia teruja meniti pengalaman baru sebagai penyanyi.

“Ia sesuatu yang berbeza kerana Nana dapat bertemu satu kelompok pencinta seni yang baru. Pengalaman ini cukup menyeronokkan,” katanya yang tidak kekok untuk beraksi di pentas biarpun sebelum ini namanya cukup menyerlah dalam bidang lakonan.

Menyertai siri promosi jelajah ABPBH 2008 juga membuka ruang untuk Liyana mendekati ramai pemuzik berbakat serta berkongsi pandangan mengenai industri muzik.

“Ia permulaan untuk saya berkenal-kenalan dan berharap laluan sebagai penyanyi pada masa akan datang akan lebih mudah.

“Disebabkan masih baru dalam bidang ini, saya mengharapkan tunjuk ajar daripada mereka yang berpengalaman serta membimbing untuk saya turut mencipta kejayaan nanti,” katanya.

ABPBH 2008: Tabik Batu Pahat


AZNIL bukan saja berjaya menghiburkan peminat malah turut memberikan hadiah.

Destinasi kelima siri jelajah ABPBH 2008 terus dapat sambutan hangat ketika hari kemuncaknya semakin hampir

ANDAI kembara penjelajahan promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2008) sebelum ini hanya bertandang seketika tanpa membawa agenda besar di bandar yang pesat membangun di selatan tanah air, Batu Pahat namun suasana itu berubah, pada Ahad petang yang lalu.

Barangkali sebelum ini, kehangatan suasana siri promosi ABPBH hanya akan dirasai jika memandu ke Johor Bahru atau Melaka, namun hela nafas lega warga Batu Pahat mula kedengaran pada petang yang cukup mendamaikan itu. Malahan sejak jam 10 lagi, sudah ramai yang mengunjungi kompleks ini seolah-olah tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat 10 finalis di pertandingan akhir Bintang Idola Berita Harian (BIBH), iaitu sebahagian daripada acara penjelajahan promosi ABPBH2008 di Batu Pahat.

Bandar yang barangkali dulu kurang diberi perhatian untuk promosi acara hiburan besar dan berprestij seperti ABPBH, kini Batu Pahat mampu mendabik dada apabila tarikan kuat yang ada di lokasi ini berjaya membawa nama popular mendekati warga di situ.

Memilih Batu Pahat Mall sebagai destinasi kelima siri promosi jelajah ABPBH 2008, selepas Village Mall, Sungai Petani; Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang, Johor Bahru; Mydin Mall, Kuala Terengganu dan Kuantan Parade, Pahang sebenarnya membawa makna yang besar kepada acara hiburan popular ini.

Apakan tidak, acara yang memasuki edisi ke-22 penganjurannya ini berjaya mengumpul 20 artis popular dan sedang mencipta nama untuk bersama memeriahkan siri promosi kedua di Johor selepas Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang, pada 7 dan 8 Mac lalu.

ADAKAH Mawi dapat membawa pulang Nissan Sylphy?

Pada awalnya, kebanyakan finalis tertanya-tanya sesama sendiri sejauh mana Batu Pahat Mall mampu menghangatkan bahang ABPBH 2008 yang kian terasa.

Namun segala keraguan dan kegusaran yang bersarang di hati mereka seakan dibawa pergi tatkala kesemua finalis melangkah ke pintu masuk pusat beli belah itu.

Ternyata pusat membeli belah ini juga berkongsi keghairahan menanti detik kemuncak acara yang akan berlangsung penuh gemilang di Arena Of Stars, Genting Highlands pada 12 April depan.

Dibanjiri lebih lebih 6,000 peminat yang bertali arus memenuhi segenap penjuru di ruang legar Batu Pahat Mall, membuktikan betapa perjuangan serta kesungguhan anak seni untuk memartabatkan karya kreatif masing-masing dipandang serius oleh mereka yang menghargai serta mencintai seni.

NUBHAN bergambar kenangan bersama peminat dalam kereta Grand Livina.

Pastinya di sini, di Batu Pahat Mall memahatkan memori paling manis untuk dikenang, bukan saja kepada pencinta industri hiburan malah barisan finalis ABPBH 2008 yang begitu teruja menanti detik untuk bersama peminat tersayang.

Biarpun siri promosi bermula, bagaimanapun aura kehangatan ABPBH 2008 terus meresapi sebaik rombongan yang sebelum itu menjamu selera di MK Café & Bistro, The Summit melangkah ke ruang legar Batu Pahat Mall.

Riak wajah teruja jelas terpancar di wajah nama yang menyertai acara ini kerana tidak menyangka kehadiran mereka disambut penuh meriah di Batu Pahat Mall.

Lantaran keterujaan untuk menyaksikan wajah kesayangan yang selama ini hanya ditatap di dada akhbar atau kaca televisyen dan layar lebar, peminat mula berebut untuk bersalaman dengan bintang kegemaran mereka.

Dalam suasana yang kurang selesa, selain kawalan ketat dipertingkatkan untuk keselamatan finalis namun siri promosi ABPBH 2008 berjalan lancar seperti yang direncanakan.

Bayangan kepuasan kepada semua finalis

SEPERTI kata Stacy yang namanya dicalonkan dalam kategori Artis Baru Wanita Popular dan Penyanyi Wanita Popular serta pertama kali menyertai siri promosi ABPBH 2008, dia mengakui akan suasana baru yang ditempuhinya.

Stacy dalam nada teruja mengakui, agak terkejut dengan sambutan di luar dugaan sekali gus menyuntik semangat untuk memberikan yang terbaik kepada penonton.

Membawakan dua lagu, Stacy menggamat suasana apabila beraksi lincah ketika menyampaikan lagu Pakai Buang dan Gagap diiringi dua penari yang dibawa khas dari Kuala Lumpur.

“Jika saya tahu sambutan hebat seperti ini, pastinya saya tidak ingin melepaskan peluang mengadakan persembahan di semua destinasi siri promosi ABPBH 2008.

“Disebabkan terlalu seronok dengan promosi ini, saya dari awal sudah menyatakan persetujuan untuk bersama pada siri promosi terakhir di Klang Parade pada 4 dan 5 April nanti,” katanya.

Keseronokan yang sama turut dikongsi finalis Artis Baru Wanita Popular, Lisa Surihani yang melihat siri promosi ABPBH 2008 membuka ruang untuk dirinya lebih mendekati peminat.

Biarpun masih kekok dengan suasana baru itu, Lisa tidak melepaskan peluang untuk bermesra dengan peminat lantaran kesempatan itu jarang diperoleh tatkala berada di ibu kota.

Dek menghargai peminat juga, finalis Pengacara TV Lelaki Popular dan Penyampai Radio Lelaki Popular, Aznil Nawawi turut bermurah hati mempersembahkan dua lagu popularnya, Toyol dan Jangan Cepat Marah.

Lebih menarik, Aznil turut bermurah hati dengan bersedekah kepada peminat cilik yang turut sama memeriahkan persembahannya.

Biarpun jumlahnya tidak besar, namun penghargaan itu membuktikan betapa Aznil menghargai mereka yang selama ini begitu setia menyokong perjuangan seninya.

Siri promosi kali ini juga menarik anak jati Johor yang pernah tiga kali dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular, Mawi untuk turun padang .

Ditemani isteri tercinta, Ekin, Mawi mengambil kesempatan itu untuk memperkenalkan rangkaian lagu terbaru yang dipetik daripada album, Allah Habeebi.

Berlangsung lebih empat jam, siri promosi itu turut menyaksikan kehadiran nama popular dan berpengalaman seperti Saiful Apek, Fahrin Ahmad, Vanidah Imran, Farid Kamil, The Fabulous Cats dan Kenchana Dewi.

Tidak melepaskan peluang untuk bersama pada acara yang meninggalkan momen indah kepada semua finalis ialah barisan bintang muda yang sedang mencipta nama seperti Ayu (OIAM), Aiman, Faizal Tahir, Liyana Jasmay, Juliana Evans, Nubhan, Aizat dan Estranged.

Antara lagu yang diperdengarkan kepada peminat pada petang itu adalah Sampai Syurga dan Gemuruh daripada Faizal Tahir, Hanya Di Mercu (Ayu OIAM), Hanya Kau Yang Mampu (Aizat), Ada Untukmu dan Jatuh Cinta Lagi (Nubhan) serta Yang Pernah (Estranged).

Corat- coret:

  • BIARPUN masih belum pulih sepenuhnya daripada gastrik yang dialami, Farhana yang menganggotai The Fabulous Cats tetap memberikan komitmennya pada siri promosi ABPBH 2008. Dia yang menghidap gastrik sejak dua minggu lalu begitu mengambil berat soal pemakanan kerana mahu tampil bertenaga di pentas.

  • KENCHANA Dewi menjadi penghibur sepanjang perjalanan dengan pelbagai cerita dan gelagatnya yang sentiasa mengundang tawa. Ada saja cerita yang dikongsi termasuk pengalaman seram. Ingatkan dia berani, rupanya tidak. Kata Kenchana, sepanjang menyertai siri promosi ABPBH 2008, ada saja yang menjadi mangsa untuk menemaninya kerana takut tidur sendirian.

  • DISEBABKAN ABPBH 2008 juga Kenchana Dewi terpaksa mengamalkan diet yang ketat kerana bimbang berat badannya naik menjelang tarikh acara. Dia tidak lagi menyentuh nasi malah sanggup menahan selera kerana tidak mahu menghampakan pereka pakaiannya.

  • STACY tidak datang sendirian sebaliknya membawa bersama dua penari latar untuk mengiringi persembahannya. Sebagai mana ligat dan lincah dia di pentas, begitulah Stacy di luar. Dia tidak betah duduk lama di dalam bas lalu ada saja aktiviti yang dilakukan untuk menghilangkan rasa bosan.

  • BAGAI suatu kebetulan, ketika sesi bersiar-siar bersama kenderaan yang mendapat tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, Mawi berpeluang menaikinya bersama tiga adik beradik kembar perempuan. Menariknya, dua daripada adik beradik itu begitu meminati isteri Mawi, Ekin.

  • VANIDAH Imran tidak datang tangan kosong. Bersama tenaga pasukan majalah Cosmopolitan yang diketuai Pengarangnya, Izza Safinaz Ibrahim, Vanidah turut sama mempromosikan majalah itu yang menjadikan wajahnya sebagai penghias muka depan untuk keluaran April.

  • PENYANYI kecil molek, Ayu sebenarnya seorang yang kuat melatah. Pantang diusik, ada saja perkataan yang terpacul dari bibirnya. Tidak hanya Ayu yang mempunyai tabiat itu, dua finalis lain iaitu Stacy dan Fizo Omar juga kuat melatah. Jika tidak percaya, cuba usik mereka.

  • ADA peminat yang sanggup turun dari Singapura untuk menatap wajah artis kesayangan mereka lebih dekat. Kesungguhan mereka itu berbaloi apabila diberi peluang beramah mesra serta bergambar dengan selebriti pilihan.

  • THE Fabulous Cats terutama Cat Farish meluahkan perasaan terkilan apabila album mereka, Hyperkosmik tidak dipertandingkan dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-16 kerana label naungan, Metadome tidak menjadi ahli Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).
  • Dengarnya...: Pelakon kena gari di lokasi


    BEBERAPA hari lalu, seorang kawan Cik Normah mendapat panggilan telefon daripada lelaki yang mengaku mempunyai cerita hangat untuk ruangan ini. Kawan Cik Normah yang manja itu pun apa lagi, pasanglah telinga sambil pen laju saja menulis apa yang diceritakan pemanggil budiman itu.

    Kononnya, si pemanggil itu ada kena mengena dengan sebuah produksi drama. Tujuan dia menelefon kawan Cik Normah itu adalah untuk berkongsi cerita mengenai seorang pelakon yang juga penyanyi, khabarnya digari dan diangkut oleh sepasukan abang polis dari lokasi penggambaran drama berkenaan, ke sebuah balai polis di Shah Alam.

    Bukan setakat artis lelaki itu saja yang ditahan, sebaliknya adik lelakinya kena angkut sekali. Khabarnya, kedua-dua lelaki ini terbabit dalam pergaduhan. Lelaki yang dipukul itu pula ialah suami seorang wanita yang kononnya asyik dibawa oleh adik artis terbabit.

    Si suami sudah lama bagi amaran supaya mereka tidak mengusung isterinya ke sana sini. Namun, amaran si suami tidak dipeduli. Lalu, si suami pun pasang strategi dengan mengikut adik artis itu dan isterinya ke mana mereka pergi. Akhirnya, dia sampai di kawasan Bukit Jelutong, di mana dia berdepan dengan adik artis itu dan isterinya. Si pelakon tadi pun ada bersama di sana.

    Kedua-dua lelaki tadi dikatakan memukul suami malang berkenaan. Tidak puas hati dengan insiden itu, si suami melaporkan kejadian terbabit kepada pihak polis. Dua hari kemudian, si pelakon yang pernah membintangi sebuah filem popular itu ditahan polis bersama-sama adiknya untuk siasatan.

    Difahamkan, penggambaran drama yang dilakonkannya juga terganggu seketika akibat penahanan berkenaan. Tetapi, apabila si pelakon tadi datang semula ke lokasi, lain pula cerita yang dibawanya. Kononnya, si suami tadi sudah meminta maaf daripadanya dan menyesal kerana membuat laporan polis.

    Si suami juga, katanya, sudah berhasrat menceraikan isterinya itu.

    Kru penggambaran dengar sajalah cerita si pelakon itu walaupun dalam hati mereka mungkin berkata: "Yang kau dua beradik pergi angkut isteri orang ke sana sini, untuk apa? Bukankah ramai lagi perempuan bujang yang wujud di Malaysia?"

    Khabarnya, si pelakon dan adiknya mendakwa mereka boleh menjadikan wanita itu seorang pelakon juga, kerana mereka kenal produser filem dan drama. Jadi, si isteri orang itu pun ikutlah dengan harapan untuk menjadi popular, agaknya. Nah, sekarang you all memang popular! Tercapailah cita-cita kan?

    Mawarku ke seluruh negara


    MAJLIS pelancaran Mawarku disempurnakan oleh Kaharudin.

    Diwujudkan untuk melindungi warisan seni tari dan muzik Melayu

    SEMUANYA tercetus dari sembang kosong bersama rakan seperjuangan dan sealiran yang pernah sama-sama bergelar penari dan pemuzik tradisional Kumpulan Budaya Negara (KBN).

    Hasil luahan teman-teman yang merasakan diri mereka terpinggir berbanding mereka yang menceburkan diri dalam bidang seni lain seperti menyanyi dan menari, lalu timbullah idea untuk menubuhkan Pertubuhan Warisan Seni Tari dan Muzik Melayu (Mawarku).

    Bukan niat untuk mencabar mana-mana pertubuhan yang sedia ada, pengasas Mawarku, Zulkifli Zain ketika ditemubual Hip berkata Mawarku ditubuhkan atas dasar untuk membela nasib penari, pemuzik tradisional serta memartabatkan seni busana Melayu supaya ia tidak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

    “Idea untuk menubuhkan pertubuhan ini timbul sewaktu kami berbual dengan bekas artis kumpulan KBN. Ketika itu masing-masing meluahkan perasaan terkilan kerana golongan penari dan pemuzik tradisional bagai diketepikan.

    “Kalau apa-apa acara terutama yang membabitkan anugerah, biasanya hanya mereka yang terbabit dengan bidang nyanyian dan lakonan saja akan diberi perhatian manakala penyanyi tak ubah sebagai tempelan semata-mata sedangkan penari suatu ketika dulu adalah duta kecil untuk Malaysia apabila mereka sering diundang mengadakan persembahan di luar negara.

    NASIB penari tradisional perlu pembelaan.

    “Jadi dengan penubuhan Mawarku ini kita harap, golongan penari, pemuzik tradisional dan pencinta busana Melayu tanah air akan lebih terbela dan pada masa yang sama ilmu yang mereka miliki itu akan dapat dikongsi bersama serta dimanfaatkan generasi muda masa kini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Mawarku yang berlangsung di Taman Budaya, Jalan Bandar Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Majlis pelancarannya itu disempurnakan Penasihat Jawatankuasa Penaja Mawarku, Datuk Kaharudin Mo’min. Hadir sama Presiden Mawarku, A Shazily Ismail Bakti.

    Tambahnya, perhimpunan pertama yang dilakukan sebelum penubuhan Mawarku berlangsung di pusat peranginan Bukit Tinggi juga menjadi platform penting yang menunjukkan betapa kebanyakan mereka menyokong usaha Zulkifli itu.

    Sambil melahirkan perasaan kecewanya dengan situasi yang menimpa golongan penari ketika ini, tegas pelakon yang terkenal dalam drama bersiri Opah ini, Mawarku diharap mampu membawa anjakan baru kepada cabang seni yang tidak kurang pentingnya itu.

    “Kalau kita lihat, tidak banyak program mengenai golongan penari diketengahkan. Kali terakhir saya tonton adalah program Aslirama yang pernah disiarkan oleh RTM berpuluh tahun dulu. Program itu memperkenalkan jenis-jenis tarian tradisional di Malaysia.

    “Tapi kini, kita sudah tak dapat lagi melihat program seperti itu. Mungkin selepas ini dengan sokongan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan program seperti ini akan dapat dihidupkan kembali,” jelas suami kepada pelakon Normala Omar ini.

    Zulkifli berkata, penubuhan Mawarku juga akan dikembangkan ke seluruh negara.

    “Kita akan menubuhkan Mawarlu di peringkat negeri dan buat masa ini kita sedang mengumpulkan orang-orang lama yang berkenaan serta ahli baru yang berminat dengan bidang ini. Setakat ini ahli berdaftar kita sudah mencecah 200 orang. Saya jumlah ahli akan bertambah dari masa ke semasa,” katanya.

    Beliau menambah tidak mustahil suatu hari nanti Mawarku mampu memainkan peranan seperti persatuan artis lain.

    “Bukan sekadar membela ahli sendiri, mungkin satu hari nanti Mawarku juga mampu memberi sumbangan yang berguna dengan cara menggembleng tenaga untuk membantu pihak yang memerlukan,” katanya dengan penuh keyakinan.

    Tidak mahu jadi anugerah suam-suam kuku


    NANCIE, Abdul Khalid dan Nurhayati sudah merangka pelbagai persiapan untuk FFM22 KK 2009.

    Festival Filem Malaysia ke-22 pertingkat siri promosi tarik banyak penyertaan

    ENGGAN lagi kekalutan dalam pencalonan berlaku, Jawatankuasa Kerja Pengurusan Penyertaan & Penjurian Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22) memperkuatkan siri promosi untuk menarik lebih banyak penyertaan pada festival tahun ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pengurusan Penyertaan & Penjurian FFM22 KK 2009, Nancie Foo berkata, penyertaan terutama membabitkan kategori Filem Animasi Terbaik, Filem Pendek Terbaik, Filem Dokumentari Terbaik dan Filem Digital Terbaik agak dingin sebelum ini membuatkan mereka bekerja keras untuk memastikan perkara itu tidak kembali berulang.

    Sehubungan itu, kerja promosi dimulakan lebih awal termasuk menghebahkannya menerusi pelbagai medium termasuk laman web, kempen serta hebahan di radio dan televisyen selain mengunjungi pusat pengajian tinggi untuk mempertingkatkan jumlah penyertaan.

    “Banyak penerbitan bermutu terbiar kerana tidak mempunyai ruang untuk memperkenalkan hasil karya mereka. Tahun lalu, promosi agak lewat dilakukan menyebabkan kami terpaksa menggerakkannya dengan lebih agresif pada saat akhir untuk menarik penyertaan.

    “Tahun ini kami bermula lebih awal untuk membangkitkan kesedaran di kalangan pengamal filem supaya merebut peluang keemasan pada acara tahunan berprestij ini,” katanya.

    Ditemui pada sidang media mengumumkan penyertaan FFM 22 KK 2009 kini dibuka di Dewan Cempaka Sari, Kompleks Studio Merdeka, Hulu Klang, Nancie berkata, siri promosi yang agresif termasuk menerusi akhbar utama dijangka mampu meningkatkan penyertaan sekali ganda pada tahun ini.

    “Tahun lalu kami cuma menerima 42 penyertaan untuk Filem Dokumentari Terbaik, manakala 31 penyertaan untuk Filem Pendek Terbaik dan 13 untuk Filem Animasi Terbaik.

    “Jumlah itu agak kecil membuatkan kami terpaksa meletakkan sepenuh kesungguhan supaya kategori ini juga diberi tumpuan selain filem cereka komersial pada festival akan datang.

    “Usaha itu termasuk bekerjasama dengan Multimedia Development Corporation (MDeC) untuk menarik penyertaan lebih besar dalam penerbitan filem animasi,” katanya.

    FFM22 KK 2009 anjuran bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PPFM) dan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) akan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah dari 5 hingga 8 Ogos depan.

    Membawakan tema, Filem Malaysia Ke Persada Dunia, FFM22 KK 2009 sehingga ini menerima 20 penyertaan awal daripada filem yang ditayangkan dan diluluskan dari Ogos 2008 hingga Julai 2009.

    Untuk menggalakkan lebih banyak filem bertanding, tarikh tutup penyertaan bagi semua kategori dipanjangkan sehingga 5 Julai ini.

    Perkenal kategori Filem Komedi Terbaik

    BUAT pertama kali, FFM22 KK 2009 turut memperkenalkan kategori baru, Filem Komedi Terbaik yang diletakkan di bawah Anugerah Cipta dan bukan dalam kategori utama, Anugerah Perdana.

    Menjelaskan perkara itu, Nancie berkata, anugerah itu diperkenalkan berikutan penyertaan menggalakkan bagi penerbitan genre komedi pada festival tahun lalu.

    “Kami melihat pada kesan jangka panjang kerana bimbang jika pada masa akan datang penyertaan berkurangan membuatkan kami terpaksa merombak kembali senarai kategori.

    “Untuk menghidupkan kategori ini, kami berharap menerima penyertaan daripada sekurang-kurangnya 10 filem. Ia diperkenalkan sebagai memberi galakan kepada penerbit kerana banyak filem komedi bermutu diterbitkan tetapi tidak diiktiraf.

    “Pengenalan kategori ini juga disebabkan oleh populariti genre komedi di kalangan peminat filem tempatan membuatkan jawatankuasa terfikir wajar anugerah itu diwujudkan.

    “Mungkin boleh diadakan Anugerah Khas Juri untuk mengiktiraf penggiat industri filem komedi, namun kami tidak mahu ia dilihat sebagai anugerah kasihan lalu menghadirkan kategori Filem Komedi Terbaik,” katanya.

    FFM22 KK 2009 mempertaruhkan 13 Anugerah Perdana, 12 Anugerah Cipta dan lima Anugerah Khas Juri. Kemuncak acara itu turut mengiktiraf pencapaian dan sumbangan karyawan veteran menerusi Anugerah Veteran (Lelaki dan Wanita), Anugerah Veteran (belakang tabir - Lelaki atau Wanita) serta Anugerah Filem Box Office.

    Ia dijangka dihadiri lebih 5,000 tetamu termasuk 600 delegasi yang dibawa khas dari Kuala Lumpur untuk acara yang mendapat kerjasama kerajaan Sabah menerusi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

    Sidang media itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Urus Setia FFM 22 KK 2009, Abdul Khalid Maulod dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pengurusan Penyertaan & Penjurian FFM22, Nurhayati Othman.

    Info:

    Kategori untuk Anugerah Perdana:

    Filem Terbaik

    Pengarah Filem Terbaik

    Pelakon Lelaki Terbaik

    Pelakon Wanita Terbaik

    Lakon Layar Terbaik

    Cerita Asal Terbaik

    Sinematografi Terbaik

    Penyunting Terbaik

    Skor Muzik Asal Terbaik

    Filem Dokumentari Terbaik

    Filem Animasi Terbaik

    Filem Pendek Terbaik

    Filem Digital Terbaik



    Kategori untuk Anugerah Cipta:

    Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik

    Pelakon Pembantu Wanita Terbaik

    Penataan Seni Terbaik

    Penataan Bunyi Terbaik

    Pelakon Kanak-Kanak Terbaik

    Pengarah Harapan Terbaik

    Pelakon Harapan Lelaki

    Pelakon Harapan Wanita

    Lagu Tema Asal Terbaik

    Pereka Kostum/Busana

    Poster Terbaik

    Filem Komedi Terbaik

    Dengarnya...: Dekna dapat cahaya mata



    Dekna

    TAHNIAH terlebih dulu Cik Normah ucapkan kepada pelakon jelita, Erra Fazira yang selamat melahirkan cahaya mata perempuan, jam 11.40 pagi semalam. Alhamdulillah kerana semuanya berjalan lancar. Malah Cik Normah dapat tahu, kedua-dua ibu dan anak sihat. Tahniah Erra dan suaminya, Engku Emran.

    Khabar gembira itu bukan saja diterima pasangan popular itu. Sebaliknya, ada satu lagi pasangan yang turut menerima kehadiran orang baru dalam hidup mereka. Barangkali ramai yang sudah lupa kepada bintang AF5, Dekna atau nama sebenarnya, Aryanna Najwa Ahmad.

    Sejak program realiti itu berakhir, Dekna seakan menyepikan diri. Tidak tahu apa yang berlaku, mungkin kecewa dengan perjalanan kariernya, Dekna seakan membawa diri dan perlahan-lahan popularitinya beransur pergi. Cuma kali terakhir, Cik Normah mendapat tahu Dekna melangsungkan perkahwinan dengan anggota polis, Fazli Ayob, tahun lalu.

    Terbaru, ketika Cik Normah sibuk membeli belah di Pavilion, Sabtu lalu, tiba-tiba seorang teman menelefon menyampaikan satu khabar gembira mengenai Dekna. Teman itu memberitahu Cik Normah, Dekna selamat menimang cahaya mata beberapa hari lalu.

    Kurang pasti pula apa jantina bayi itu. Maklum ketika berita itu disampaikan, Cik Normah asyik membelek sepasang gaun tenun rekaan pereka terkenal untuk digayakan di majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di Arena Of Stars, Genting Highlands nanti.

    Dalam perbualan itu, teman Cik Normah turut memberitahu, bintang AF5 itu sedang berehat di kampung kelahirannya di Pulau Pinang. Seronok Cik Normah mendengar berita ini.

    Maklum Cik Normah sendiri sudah lama mengimpikan saat untuk bergelar ibu. Mungkin belum rezeki Cik Normah untuk menimang cahaya mata. Tak apa, sekurang-kurangnya Cik Normah masih berpeluang untuk menggayakan gaun sendat seperti yang pernah dipakai penyanyi terkenal Indonesia, Yuni Shara. Jangan ada yang cemburu pula!!!

    MUH menang lagi


    KUMPULAN Meet Uncle Hussain bergambar bersama trofi dan replika cek selepas muncul juara bagi kategori Persembahan Terbaik dan Lagu Terbaik pada pertandingan akhir Hit 1 Musim ke-6.

    Bolot dua anugerah dalam Pertandingan Hits 1 RTM di Kuantan

    LAGU Untukmu daripada kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH) terus cemerlang di persada muzik tanah air apabila kali ini ia dipilih pula sebagai Lagu Terbaik Hit 1 di Pertandingan Akhir Hits 1 musim keenam terbitan RTM yang berlangsung di Auditorium Darul Makmur, Kuantan, Pahang, Ahad lalu.

    Kemenangan itu membolehkan kumpulan ini membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000 dan piala iringan.

    Bukan itu saja, aksi mantap dengan gimik menarik iaitu menggunakan dua vokalis berbeza (seorang miming) di awal persembahan MUH membuahkan hasil apabila mereka dipilih sebagai pemenang pemenang Persembahan Terbaik yang menyediakan hadiah wang tunai RM5,000.

    Tepukan gemuruh dan jeritan penonton tidak menghalang MUH untuk memberikan yang terbaik kepada hadirin sewaktu menghayati seni kata lagu yang cukup bermakna terutama sewaktu bait `dua hati yang tak mungkin bersatu'.

    Ini adalah satu lagi pencapaian terbaik MUH selepas Lagu Untukmu dipilih sebagai Lagu Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) pada Januari lalu.

    Tempat kedua di Pertandingan Akhir Hits 1 dimenangi lagu Marabahaya nyanyian Pop Shuvit yang membawa pulang wang tunai RM20,000, manakala lagu Tanpa daripada Sixth Sense menduduki carta lagu Paling Popular berdasarkan undian SMS pada malam itu dengan markah 36.3 peratus.

    Semua hadiah disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Saffian Ismail.

    MUH pada sidang media sejurus selepas majlis berakhir tidak sangka memenangi dua kemenangan serentak kerana persaingan yang cukup hebat dari finalis lain.

    Lan, Taja dan Tass sependapat bahawa penyertaan mereka bukan sekadar untuk menang tetapi sebagai medan menguji penerimaan penonton terhadap muzik yang dibawakan.

    "Kami yakin tanpa album, masih boleh pergi jauh dan peminat mampu menilai muzik kami. Kehadiran penyanyi berkumpulan hari ini semakin mendapat tempat di hati peminat seni suara," kata Taja yang bertindak menjadi jurucakap MUH.

    Bagi Pop Shuvit, walaupun Marabahaya yang menjadi popular menerusi drama bersiri di sebuah stesen TV swasta iaitu Impak Maksima Vs Mat Rempit sekadar muncul tempat kedua, mereka tetap berbangga kerana lagu itu antara lagu lama terpilih dalam senarai carta.

    "Bagi kami, kemenangan buka `trend' muzik hari ini tetapi penerimaan peminat lebih diutamakan dan juri malam ini membuktikan bahawa kumpulan seperti kami sedang menguasai dunia muzik tanah air," kata vokalisnya, Moots.

    Pop Shuvit terlebih dulu mencipta nama di Jepun, Thailand dan Singapura dengan gabungan muzik hip hop dan rock. Mereka juga dipilih sebagai penerima Anugerah Kembara di Anugerah Industri Muzik Ke-15 (AIM15) kerana berjaya mencipta nama ke peringkat antarabangsa. Enam lagu lain yang turut bersaing di Pertandingan Hits 1 RTM dengan mempertaruhkan nama besar penggubah dan penulis lirik ialah Cinta Si Rama-Rama nyanyian Hattan dengan iringan gitar Edrie Hashim sebagai penggubah dan penulis lirik; Bila Aku Sudah Tiada nyanyian Hujan (Noh Hujan/Noh Hujan); Panas nyanyian Ifa Raziah (Cat Farish/Cat Farish); Nyata dan Maya yang disampaikan Projek Pistol (Edrie Hashim/Ad Samad); Tiada Maaf nyanyian Daniel Lee (Johan Farid Khairuddin (JFK) & Omar K/JKF & Omar K) dan Puteri Cinta Hati nyanyian Kumpulan Kristal (Razlan/Razlan & Sheilance).

    Pertandingan akhir itu yang diterbitkan oleh Nurkhuzaimah Abd Aziz menggandingkan Nabila Huda dan E'one sebagai pengacara dan peserta diadili oleh Shafinaz Selamat, Sharon Paul, Iman Wan, Jari dan Johari Teh sebagai ketua juri disiarkan secara langsung menerusi TV2.

    Pertandingan ini turut diserikan dengan persembahan daripada penyanyi dan pemuzik jemputan seperti Ramli Sarip, Man Kidal, Lah Ahmad dan Nurul.

    Hits 1 adalah rancangan pertandingan carta lagu Melayu popular yang diadaptasikan daripada Carta Radio Muzik FM pada setiap minggu.

    Lagu yang dicalonkan, akan berkumandang dan menjadi pilihan ramai di stesen radio Muzik FM akan dicalonkan untuk bertanding di dalam rancangan Hits 1 dengan menggunakan klip video yang disiarkan di TV.

    Hits 1 musim keenam bukan saja bersiaran langsung dari studio malah memilih lokasi menarik seperti Lumut, Perak; Kemaman Terengganu dan Miri, Sarawak. Program ini memperlihatkan sokongan padu penonton yang tidak pernah jemu mengundi lagu kegemaran mereka untuk layak ke peringkat akhir.

    Hasil undian penonton, Hits 1 berjaya membariskan 10 lagu paling popular yang mendapat undian tertinggi pada setiap pusingan (satu daripadanya menarik diri).

    Finalis Hits 1 kali ini meletakkan 6 kumpulan berentap bersama artis seorang solo wanita dan lelaki dan duo yang turut menjanjikan yang terbaik.

    Kumpulan Fabulous Cats mencari Band Pengiring


    altTHE FABULOUS CATS kini sedalam dalam pencarian band iringan untuk semua persembahan mereka di dalam negara dan Indonesia.Ini adalah untuk memantapkan lagi persembahan The Fabulous Cats (TFC).

    Dalam laman Facebook, TFC menyatakan antara kriteria yang mereka cari ialah:-


    1) Pemain Bass dan Drum
    -Lelaki 23 tahun keatas dan bawah 29 tahun
    -Kemahiran bermain bermacam jenis muzik.
    -Warga negara dibuka
    -Menetap diKuala Lumpur

    2) Pemain Piano
    -Perempuan 22 tahun keatas dan bawah 27 tahun
    -Boleh menyanyi
    -Paras rupa yang menarik dan boleh menari
    -Menetap diKuala Lumpur
    -warganegara Malaysia

    Sekiranya anda berasakan anda mempunyai apa yang mereka cari, email ke thefabulouscats747@gmail.com.

    Melodi: Roslan Shah dapat sokongan artis


    altNama Roslan Shah tiba-tiba jadi hangat ekoran paparan aksi menolak wartawan Melodi dalam siaran hari Ahad, 29 Mac lalu.

    Malah aksi Roslan Shah yang dalam keadaan marah dan tak mahu memberi kerjasama kepada wartawan program itu juga turut diperkatakan.

    Semasa program tersebut disiarkan Roslan tidak sempat menonton kerana ada komitmen kerja sebagai pengacara program Road Show 2009 Soyo, URTV dengan kerjasama Mangga Online di Jitra Mall, Jitra, Kedah.

    Roslan juga tidak mengaktifkan telefon bimbitnya kerana tidak mahu kerja altterganggu kerana sudah menjangkakan bakal menerima banyak panggilan apabila isu itu dipaparkan.

    Selepas show tamat dan dia mengaktifkan telefon bimbitnya. Benar ratusan SMS diterima daripada kewan-kawan, peminat dan keluarga.

    "Saya ingat orang memandang serong kepada saya selepas isu itu disiarkan, nampaknya peminat dan rakan-rakan menyokong saya.

    "Ada yang menyokong apa yang saya buat kerana ada yang menyimpan rasa geram selama ini, apabila saya melakukannya mereka menyokong saya," kata Roslan.

    Tertipu tawaran show

    Menurut Roslan, dia enggan memberi kerjasama kerana tiada apa perkara yang perlu dijelaskan dalam isu adegan cium dia dan Fizz Fairuz dalam drama Mabuk Astrogen.

    "Gambar yang tersiar itu ialah satu babak saya lemas dan Fizz Fairuz memberikan bantuan pernafasan dari mulut ke mulut, bukannya bercium ghairah. Saya tak nampak di mana salahnya adegan itu kerana altitulah cara memberikan bantuan pernafasan," kata Roslan kepada Mangga Online.

    Roslan menjelaskan pada hari ikejadian tu dia mendapat panggilan telefon daripada seorang wanita yang menyamar untuk berbincang dengannya pasal satu tawaran.

    "Saya terkejut apabila keluar dan mendapati wartawan Melodi dan jurugambarnya sedang menunggu saya dan terus bertanyakan soalan kepada saya.

    "Saya naik marah hari itu kerana soalan mereka yang berbentuk provokasi yang sengaja mahu lihat saya naik angin. Tapi apabila tempisan saya membuatkan wartawan itu jatuh, saya sudah meminta maaf kepadanya," kata Roslan.

    Roslan juga berterima kasih kepada peminat dan rakan-rakan yang menyokongnya apabila isu cium dengan Fizz diperbesarkan oleh media.

    "Tunggulah apabila drama itu disiarkan nanti, ada atau tidak adegan cium. Apabila drama sudah ditayangkan barulah adil kalau nak komen," katanya lagi.

    Baju sama: Siapa lebih bergaya?Datuk Siti Nurhaliza atau Zamzarina






    altSiapa lebih bergaya apabila menggayakan kot yang sama? Macam satu cita rasa pula mereka dalam memilih busana.

    Lihatlah gaya Datuk Siti Nurhaliza dan pengacara RTM yang sensasi, Zamzarina apabila menggayakan pakaian yang sama.

    Bezanya pakaian yang digayakan di dalam kot mereka. Siti memilih kemeja putih dan baju kecil berwarna hitam di dalamnya.

    Zamzarina pula gayakan dengan t-shirt putih di dalam. Kedua-duanya memadankan dengan seluar panjang berwarna hitam.

    Siti menambah aksesori rantai leher bermanik besar warna putih sebagai pelengkap gayanya, manakala Zam pula pilih loket empat persegi yang berpermata hitam.

    alt

    Radhi tinggalkan OAG




    TIDAK tertahan menanggung masalah rumah tangga dengan isteri tercinta, Shazlin Sharif, 30, Radhi nekad untuk 'hidup' bersendirian, lantas meneruskan kehidupan seperti biasa. Bukan ingin menoktahkan status sebagai seorang suami dan bapa, sebaliknya Radhi membuat pengakuan untuk meninggalkan sementara kumpulannya iaitu Old Automatic Garbage (OAG) setelah 15 tahun bersama.

    "Dengan perasaan berat hati, saya ingin buat pengumuman untuk mengundurkan diri seketika daripada OAG.

    "Selepas membuat perbincangan dengan anggota kumpulan OAG yang lain, Malaysian Unplugged Live @ Istana Budaya OAG Showcase bakal menjadi konsert pertama serta terakhir akustik kami," jelas Radhi yang kelihatan sugul ketika ditemui pada sidang media konsert berkenaan di Dewan Lambang Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur Jumaat lalu.

    Barangkali ada peminat yang beranggapan Radhi seolah-olah bersikap mementingkan diri sendiri dan tidak matang tanpa memikirkan perasaan anggota kumpulannya yang lain.


    RADHI bakal muncul dengan lagu-lagu berunsurkan kejiwaan.


    Menolak kenyataan itu, Radhi bagaimanapun mengakui sudah memikirkan semasak-masaknya tentang keputusan tersebut.

    Walaupun dia sendiri berat untuk berjauhan dengan OAG, namun dia harus pasrah apabila 'berpisah' seketika dengan Fizul, Nizam, Eric dan Zul.

    "Saya undur diri daripada OAG sementara waktu kerana mahu menguruskan karier solo dan bukannya sebab kami bergaduh atau sudah tidak sehaluan lagi.

    "Saya kena laksanakan keputusan ini sekarang kerana sudah 15 tahun kami bersama.

    "Saya memerlukan perubahan dalam karier dan kehidupan, apatah lagi niat saya disokong seratus-peratus teman-teman OAG lain.

    "Bermula zaman saya masih remaja hingga ke saat ini, sudah bermacam-macam pengalaman dilalui. Sekarang, saya hendak masuk studio rakaman sambil merakam lagu-lagu luahan jiwa Radhi yang kini berumur 30 tahun.

    "Elemen asli dan alternatif diserapkan dalam album terbaru saya kelak. Oleh itu, saya harap perubahan saya ini yang akan menampilkan genre muzik yang berbeza boleh diterima dengan baik oleh peminat.




    "Jika ingin tahu lebih lanjut, tunggu dan lihat sahaja," tutur Radhi yang berhasrat untuk menghasilkan album yang berkonsep kolaborasi serta penghargaan untuk seniman di tanah air selepas bergerak secara solo.

    Radhi menegaskan, tidak salah sekiranya dia mahu bertukar angin dengan menjadi seorang penyanyi yang mendendangkan lagu berentak balada.

    "OAG tidak bubar. Cuma ambil masa juga untuk kami bersatu kembali selepas ini lebih-lebih lagi setiap anggota kami punya kerjaya tetap sendiri.

    "Mereka tidak hanya jadi pemuzik, sebaliknya menguruskan kerja masing-masing. Dua anggota OAG juga sudah berkahwin.

    "Jadi mereka juga hendak bahagikan masa dengan keluarga, malah mereka amat memahami situasi saya. Barangkali hidup kami selepas ini lebih teratur setelah OAG direhatkan.

    "Saya juga dapatlah bercuti panjang dan berehat di kampung halaman di Sarawak selepas ini setelah bergerak secara solo," ujarnya tersenyum.

    Ditanya apakah perpisahan seketika dengan isterinya menjadi faktor utama dia mahu melepaskan OAG serta bergerak solo?

    Ringkas sahaja jawapan daripada pemilik nama penuh Mohd. Radhi Razali itu: "Saya kecewa dengan masalah peribadi dan bidang seni."

    Pernah cuba bunuh diri

    Berwajah cukup tenang, Radhi mengulas lanjut. Menurutnya, sejak OAG masih berada di bawah naungan Positive Tone, dia turut dilamar syarikat rakaman EMI untuk muncul solo pada tahun 2000.

    "Waktu itu saya masih belum bersedia untuk meneruskan kerjaya sendirian disebabkan saya masih selesa bersama OAG, bahkan muzik kami masih relevan dan diterima baik oleh peminat.

    "Kini dengan peningkatan usia, saya rasa perlu untuk terokai bidang muzik. Sebelum ini, ramai yang melihat saya selalu gembira seolah-olah tidak pernah ada sebarang masalah.

    "Sekarang, apabila berdepan dengan masalah rumah tangga dan sentiasa hidup dalam kesedihan, saya mulai dapat banyak idea untuk menghasilkan lagu-lagu berentak perlahan.




    "Jadi, saya enggan lepaskan peluang yang ada. Dengan situasi ini, saya dapat meluahkan sepenuh perasaan menerusi sebuah album fizikal.

    "Bertuah rasanya apabila saya dianugerahkan bakat oleh Allah untuk meluahkan perasaan sedih dan dukacita saya melalui lagu.

    "Agaknya kalau tiada bakat ini, entah bagaimana keadaan saya semasa sedang bertarung melawan perkara ini.

    "Sampai satu waktu, saya macam ada keinginan untuk bunuh diri akibat terlampau sedih dan tertekan dengan masalah ini.

    "Dengan adanya kawan-kawan dan anak, Mohd. Rifdhi Muslim yang kini berusia tiga tahun, saya bersyukur sangat apabila masih kuat untuk meneruskan kehidupan.

    "Lantaran itu, saya enggan mempersia-siakan peluang yang ada sekali gus mencipta lagu yang lahir menerusi perasaan sendiri," ungkapnya sambil tersenyum tawar.

    Sepanjang tempoh bermuram-durja seorang diri tanpa ada isteri dan anak di sisi, Radhi banyak menghasilkan karya lagu yang berkaitan dengan putaran hidupnya.

    Dia tidak kisah jika dilabelkan sebagai penyanyi lagu 'jiwang' (kejiwaan) oleh peminatnya selepas ini. Salah satu lagu yang dimaksudkan adalah Infiniti.

    "Lagu ini dihasilkan dalam keadaan saya tengah berperang dengan masalah peribadi. Infiniti membawakan pengertian, tidak berakhir dan tiada penghujungnya.

    "Sama halnya apabila saya berharap agar rumah tangga yang dibina ini berkekalan hingga ke akhir hayat.

    "Setiap perkara yang terjadi ada jalan penyelesaian sendiri. Lagu ini memang begitu bermakna untuk rumah tangga saya dan Shazlin," ujarnya.

    Enggan bergelar bapa tunggal

    Radhi secara luarannya kelihatan cukup santai dan gila-gila. Namun, tiada siapa mengerti jiwanya luka berdepan dengan masalah rumah tangga.

    Radhi mengakui masih menyayangi Shazlin dan mahu mengekalkan hubungan suami isteri hingga ke akhir hayat.

    Si isteri sebelum ini membuat pendedahan sudah tawar hati dan cuma ingin berbaik atas nama sahabat.

    Radhi memberitahu, dia dan pasangannya sudah tidak tinggal sebumbung, selepas berakhirnya program realiti Sehati Berdansa lebih setahun yang lalu.


    PENARIKAN diri Radhi direstui oleh anggota lain OAG termasuk Fizul (kiri) dan Eric (kanan).


    "Saya dan isteri masih lagi berhubungan, malah saya juga masih berjumpa dengan anak saya sepanjang tempoh perpisahan seketika ini.

    "Cuma hubungan saya dan Shazlin sudah tidak lagi serapat seperti dahulu. Memang tiada sebarang sebarang masalah besar yang berlaku, bahkan dia amat memahami kerja saya sebagai penyanyi.

    "Kali terakhir kami bertemu pada bulan lepas. Selepas itu kami tidak lagi berjumpa, sebaliknya sekadar berhubung menerusi perkhidmatan panggilan telefon video.

    "Saya mahu memberi masa kepada kedua-dua pihak mencari langkah penyelesaian. Cuma mungkin kami belum nampak lagi penyelesaian terbaik untuk rumah tangga ini," luah Radhi.

    Sempat menambah, Shazlin sebelum ini pernah meminta cerai daripadanya, namun Radhi masih belum memutuskan sebarang keputusan.

    "Saya selalu terdengar kawan-kawan yang berdepan dengan masalah rumah tangga. Apabila si isteri mohon cerai, mereka terus ceraikan dengan segera.

    "Mereka tidak peduli langsung tentang keruntuhan rumah tangga sebab berpendapat golongan artis mudah mencari pengganti. Tetapi perkara ini tidak berlaku kepada saya.

    "Kalau boleh saya ingin ulang kembali saat-saat manis semasa bercinta. Saya sudah tidak terdaya untuk hidup dalam situasi sebegini.

    "Semoga Tuhan membantu memulihkan kembali keamanan dan kerukunan rumah tangga kami," pinta Radhi yang tidak menginginkan status bapa tunggal terjadi kepada dirinya.

    Konsert pertama dan terakhir OAG

    Meskipun sudah muncul solo, Radhi tetap menzahirkan riak teruja apabila berbicara tentang konsert OAG yang bakal direalisasikan di Istana Budaya, tidak lama lagi.

    Selain OAG, pemuzik lain yang turut membuat persembahan selama dua hari itu ialah Bunkface, The Times, Projek Pistol, Auburn, Cili dan Dance To The Radio.

    Menurut Radhi, mini konsert itu dianggap amat signifikan dalam hidupnya dan juga pemuzik indie lain yang ingin menunjukkan bakat mereka dalam dunia seni.

    Sebagai kumpulan yang menamatkan seketika episod kerjaya mereka, sudah pastilah OAG bakal memberikan persembahan yang mantap dan bertenaga.

    "Saya bangga apabila muzik kami diangkat ke Istana Budaya, yang merupakan pentas gah dalam bidang hiburan tempatan.

    "Andai sebelum ini ada sesetengah golongan yang sentiasa memandang rendah muzik kami, namun akhirnya kami boleh membuktikan kepada masyarakat untuk menonjolkan bakat.

    "Sudahlah pemuzik bebas seolah-olah tenggelam dan lemas di negara sendiri apabila kami sering dilabel itu dan ini.

    "Dengan terlahirnya mini konsert ini, saya harap ia mampu membuka mata orang ramai untuk menghargai muzik kami.

    "Kami akan menampilkan elemen tradisional sambil melambangkan adat dan budaya masyarakat di Malaysia.

    "Contohnya pakai sarung dan capal. Selain itu, OAG mahu berikan persembahan santai dan mesra bersama peminat sambil mempersembahkan sebuah lagu terbaru OAG iaitu British Di Bawah Tanah Air, sebelum kami mengundur diri seketika dalam dunia seni," jawabnya panjang lebar.

    Sebelum memberi kata akhir, Radhi sempat memberi isyarat inginkan mini konsert akustik itu bakal berjalan dalam situasi selamat tanpa ada sebarang kekecohan.

    "Sebelum ini, konsert yang menampilkan OAG ada berlaku keadaan huru-hara termasuk pasu bunga pecah dan kerusi rosak, namun kali ini saya pinta supaya mini konsert akustik tersebut diadakan dengan aman dan tenang

    "Kami ingin tunjuk bakat manakala peminat pula dapat hayati lagu-lagu yang OAG serta kumpulan lain persembahkan pada hari itu," akhiri Radhi.

    I'm a mother - Erra Fazira


    ERRA melalui detik-detik mencemaskan sebelum berjaya bergelar seorang ibu.


    PADA tarikh 30 Mac 2009, pukul 11.40 pagi bertempat di Hospital Pakar Perubatan Damansara, lahir seorang bayi perempuan seberat 4.04 kilogram. Banyak hati yang berbunga bahagia untuk menatap bayi dengan ketinggian 51.5 sentimeter itu.

    Alasannya cukup relevan. Ini kerana bayi istimewa itu merupakan puteri sulung kepada primadona filem Melayu, Erra Fazira Wan Chik dan suami tercinta, Engku Emran Engku Zainal Abidin.

    Sememangnya ramai yang menunggu sekian lama bilakah primadona jelita itu bergelar ibu buat pertama kalinya.

    Apatah lagi di kalangan media. Apabila khabar bahawa Erra,35, telah melahirkan zuriat pertamanya yang kemudian diberikan nama yang cukup indah - Engku Aleesya, lima hari lewat daripada tarikh yang dijangka doktor, para wartawan mula berkumpul di hospital berkenaan.

    Gerombolan wartawan yang tiba di sana pada pukul 1 petang seolah tidak sabar menatap wajah Engku Aleesya, namun Emran yang ditemui bagaimanapun memohon dengan baik agar dirinya ditemu bual sekitar pukul 3 petang kerana mahu menguruskan hal dua permata hatinya itu.

    Selepas ditemu bual, Emran tidak menolak memberi keizinan kepada beberapa teman wartawan untuk menziarahi Erra dan Aleesya.

    Namun, Erra dan Emran bagaimanapun tidak mengizinkan wajah puteri mereka dirakamkan. "Kami sudah berjanji dengan keluarga. Jadi saya perlu berpegang kepada janji. Insya-Allah, wajah Aleesya akan dapat disaksikan pada majlis cukur jambul nanti," luah Erra meminta agar semua pihak memahami dan memberi sedikit privasi kepada anggota keluarga barunya itu.


    SELEPAS menempuh pelbagai dugaan, kelahiran Engku Aleesha bakal melindungi dan memastikan kerukunan rumah tangga Erra dan Emran berkekalan selagi hayat dikandung badan.


    Tambah pasangan ini, mereka mahu bersifat adil kepada semua media, dan janji untuk 'menayangkan' anak mereka pada majlis cukur jambul selepas 44 hari nanti akan tetap dikotakan.

    Meminta maaf kepada semua pihak, Erra sendiri sebenarnya sudah tidak sabar untuk menunjukkan gambar anaknya kepada orang ramai terutama peminatnya.

    Erra yang kemudian berkongsi kegembiraannya menyambut kedatangan media dengan nada ghairah menjerit kecil berkata, "I'm a mother (saya seorang ibu)". Cerianya tidak ditahan-tahan.

    Malah dalam setiap bicaranya, mata Erra bercahaya. Lambang kebahagiaan tidak terperi.

    "Ini satu pengalaman yang seronok dan baik. Lepas bersalin, saya ada rasa pening dan hendak muntah. Tapi itu semua berbaloi. Disebabkan sudah melebihi lima hari, saya tidak mahu mengambil risiko.

    "Saya takut bayi terlalu besar dan juga takut tali pusat akan melilit kepalanya. Macam-macam saya fikir, maka saya dinasihatkan melalui prosedur induce (ubat untuk mempercepatkan pembukaan rahim)," ujar Erra.

    Memilih nama Engku Aleesya, Erra menyukai maksud Aleesya dan bunyi sebutannya amat lembut. "Saya suka maksud Aleesya. Maksudnya ialah yang dilindungi. Semua ahli keluarga bersetuju dengan nama ini. Kami ada tiga nama lain tetapi nama yang lain pula agak keras nadanya. Kami sukakan nama yang ringkas sahaja," tambah Erra.

    Emran yang terlebih dahulu ditemu bual turut berkongsi pengalaman menjadi bapa dengan media. Dia memberitahu, sepanjang proses bersalin, dia berada di sisi Erra dan sempat merakamkan detik-detik paling manis dalam hidupnya dengan kamera video.

    "Sebenarnya hari Sabtu lagi Erra sudah sakit. Bila jumpa doktor dan menjalani ujian skrin, doktor mengatakan Erra belum bersedia untuk melahirkan anak lagi. Kemudian, semalam (29 Mac) Erra semakin sakit dan masuk hospital pada pukul 11 malam. Pada pukul 3 pagi, Erra dinasihatkan untuk mengambil suntikan epidural dan dua jam kemudian Erra dimasukkan ke dalam wad.


    ANTARA reaksi wajah seorang Emran yang baru sahaja bergelar bapa.


    "Pintu rahim Erra semakin membesar pada pukul 7.30 pagi dan pada pukul 10 pagi, Erra sudah bersedia untuk bersalin. Tidak sampai 20 minit doktor berada dalam bilik bersalin, Erra selamat melahirkan Aleesya pada pukul 11.40 pagi," jelas Emran mengenai anaknya yang dilahirkan secara normal itu.

    Sebak melihat Aleesya

    Tidak mengalami sebarang komplikasi, Erra memberitahu dirinya berasa sebak saat anaknya diletakkan atas badannya. Malah pada mulanya dia tidak tahu bagaimana untuk mendukung anaknya yang masih diselaputi bendalir.

    Suaminya pula berasa cemas ketika berada di bilik bersalin kerana tidak pernah melihat Erra dalam keadaan yang begitu sakit. "Memang saya berasa cemas dan hiba tetapi saya masih mahu melihat saat anak saya dilahirkan. Rasanya seperti mimpi lagi.

    "Ini satu keajaiban yang sangat sukar untuk dijelaskan dalam perkataan. Semasa menyaksikan Erra bersalin juga saya berasa insaf dan semakin menyayangi Erra," kata Emran yang akan bercuti selama seminggu untuk menemani Erra dan Aleesya.

    Menyifatkan mulut anaknya seperti mulut Erra yang muncung dan kulitnya berwarna putih dengan sedikit merah jambu, Emran masih belum boleh melihat wajah anaknya itu iras wajahnya atau Erra. Wartawan yang berpeluang melihat anaknya, akui bayi itu memiliki mulut seperti Erra dan memiliki sepasang mata yang bundar.


    APABILA primadona melahirkan anak sulung. Pihak media terpaksa bersabar selama 44 hari sebelum dapat merakamkan foto Engku Aleesya.


    Emran yang sudah bersedia dari segi fizikal dan mental sebenarnya mahu tiga atau empat orang anak. Maka memandangkan usia Erra, Emran mahu Erra lahirkan anak lagi dalam masa terdekat. "Kalau boleh jangan rehat lama sangat. Usia Erra pun bukan muda lagi," terang Emran.

    Bakal mengamalkan pantang tradisional di rumah dengan ditemani ibu dan ibu mertua serta nenek Erra, Rahimah Sakul, Erra dan Emran mempunyai pendirian sama untuk tidak mendedahkan anak mereka kepada dunia seni. Jika boleh, pasangan itu mahu anak mereka terlibat dalam bidang lain.

    "Ayah dia minat golf. Kalau boleh dia nak anaknya jadi pemain golf profesional. Kami sebenarnya tidak galakkan dia menjadi artis. Namun, jika itu minat dia, kami tidak halang," kata Erra.

    Sambung Emran, "Rasanya ibu dia boleh nasihatkan dia baik buruk dunia seni. Kami tahu tidak senang untuk menjadi artis. Saya hanya mahu membawa dia bermain golf."

    Erra mahukan anaknya memanggil dirinya, mom dan Emran pula mahu dirinya dipanggil ayah. Bersifat terbuka dalam cara mendidik anak, Emran mahu menghormati anaknya. "Walaupun dia merupakan anak saya, saya akan hormati dia. Anak saya akan mempunyai pendirian dan hak sendiri sebagai seorang manusia."

    Terlalu awal untuk bercerita mengenai hal publisiti anaknya, jika berkebolehan, Emran mahu anaknya membesar seperti orang biasa. Erra juga belum lagi bersedia untuk membawa anaknya ke lokasi penggambaran atau tempat kerja.

    "Bulan Jun nanti saya akan mula bekerja dengan produksi Mertua VS Menantu. Selepas itu juga saya akan mula merakamkan album baru. Maka, masa itu anak saya masih kecil. Jadi tidak sesuai untuk bawa dia ke lokasi," beritahu Erra mengenai anaknya yang akan dijaga ibu serta ibu mentuanya.

    Barbie berwajah Katrina




    AKTRES jelita Bollywood, Katrina Kaif mencipta sejarah apabila wajahnya terpilih untuk diabadikan sebagai wajah anak patung yang menjadi ikon kanak-kanak di seluruh dunia, Barbie. Biarpun pemilihannya itu dikatakan tidak menyumbang sebarang kepentingan kepada India, namun Katrina menegaskan dia sangat teruja.

    "Saya berasa diberikan penghormatan dan dalam masa yang sama sangat teruja. Meminjamkan wajah kepada anak patung yang pernah menjadi permainan kesayangan ketika kanak-kanak dulu memang sesuatu yang di luar dugaan saya. Dan sudah tentu saya sangat gembira. Apatah lagi tahun ini Barbie meraikan ulang tahunnya yang ke-50," ujar Katrina kepada IANS.

    Tambahnya: "Biarpun ia tidak menyumbang kepada India khususnya di peringkat global, namun saya berasa bangga kerana saya merupakan bangsa India pertama yang terpilih untuk diabadikan menjadi wajah Barbie. Bayangkan saya dipakaikan dengan kostum Barbie dan diedarkan di seluruh dunia."

    Menurut Katrina lagi, pemilihan dirinya itu membuktikan dia digemari golongan kanak-kanak. "Saya tidak akan dipilih untuk menjadi wajah Barbie sekiranya golongan kanak-kanak tidak menyukai saya. Atas sebab inilah saya merasa cukup teruja dipilih," tuturnya lagi.

    Aktres berusia 24 tahun itu mengayakan kostum Barbie versi dirinya pada pertunjukan fesyen yang didedikasikan buat Barbie sempena Minggu Fesyen Lakme di Mumbai pada 27 Mac lalu.

    Terbuka soal seks


    GUL (kiri) mahu menguji kecenderungan seksualnya.


    Dia cukup dikenali sebagai aktres yang memiliki sikap penuh terbuka. Justeru, aktres Gul Panag tidak kisah untuk mengakui dia juga berfikiran terbuka mengenai seks.

    "Saya memiliki teman lelaki pertama ketika berusia 13 tahun. Jadi, saya fikir saya adalah heteroseksual. Tapi, saya terbuka untuk menguji mengenai status seksualiti saya. Lagipun, kita tidak akan tahu mengenainya kalau tidak mencuba terlebih dahulu," tegasnya.

    Dalam pada itu, Gul mengulas mengenai aktres jelita, Raima Sen yang baru muncul dengan filem terbarunya, Straight. Filem itu mengisahkan mengenai seorang lelaki yang keliru mengenai orientasi seksualnya lakonan Vinay Pathak. Raima melakonkan watak kekasih lelaki tersebut.

    "Raima kelihatan menggiurkan dalam filem itu. Saya cuba bayangkan Raima dan kekasihnya yang homoseksual itu hidup penuh harmoni bersama saya," ujarnya dalam nada bergurau.

    Dalam pada itu, Gul mengakui dia pernah jatuh cinta dengan lelaki yang dianggapnya hebat tetapi terkejut apabila mendapati lelaki itu sebenarnya gay.

    "Ramai lelaki yang saya jumpa kelihatan sangat jantan. Namun, akhirnya saya kecewa apabila mendapati mereka sebenarnya adalah gay," ujarnya.

    Terjumpa senjata Jepun


    SENJATA dan peluru lama dipercayai tinggalan tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua yang ditemui di Jalan Kota Tinggi-Mersing baru-baru ini.


    JOHOR BAHRU – Sekumpulan lelaki tidak menyangka objek-objek pelik yang pada mulanya mereka sangka ranting-ranting kayu, rupa-rupanya senjata peninggalan zaman Jepun.

    Sebelum itu, mereka ke sebuah kawasan lapang di tepi jalan Batu 14 Jalan Kota Tinggi-Mersing, Kota Tinggi petang Jumaat baru-baru ini.

    Bagaimanapun, tidak lama kemudian mereka terkejut apabila tiba-tiba ternampak kelibat seperti dahan-dahan kayu di situ.

    “Setelah didekati, rupa-rupanya ada sebanyak 18 batang besi berkarat bersalut tanah yang merupakan senjata lama,’’ kata Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd. Shariff di sini semalam.

    Menurut Mokhtar, ketika ditemui pada pukul 4.30 petang kesemua senjata berbentuk laras senapang itu masih boleh digunakan.

    Bagaimanapun, tiada kejadian tidak diingini berlaku ketika kumpulan lelaki itu menemuinya.

    Difahamkan, lokasi tersebut merupakan tempat persembunyian penduduk tempatan membuat serangan hendap terhadap tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua.

    Menurut Mokhtar lagi, turut ditemui di sekitar tempat tersebut ialah 20 butir peluru lama di sebuah lubang.

    Lagi peserta wanita tersingkir


    Fifi tenang menerima keputusan undian penonton.


    SABAN minggu peminat-peminat setia rancangan realiti One In A Million Musim 3 (OIAM 3) menyaksikan penyingkiran demi penyingkiran peserta berlaku.

    Penyingkiran peserta dalam program realiti ini bukan merupakan satu perkara yang baru, kerana memang begitu format OIAM ia diperkenalkan lagi.

    Berbeza dengan dua musim yang pertama, penyingkiran peserta di OIAM3 dilihat sedikit menarik apabila seorang demi seorang peserta wanita menjadi mangsa disingkirkan daripada program realiti yang menawarkan hadiah wang tunai RM1 juta.

    Bermula dengan penyingkiran Ayu, Han, Pija dan Anith, minggu lepas menyaksikan giliran Fifi mengikut jejak langkah kawan-kawannya yang lain apabila diumumkan sebagai peserta yang mendapat undian terendah sebelum persembahan minggu keenam berlangsung.

    Penyingkiran Fifi, menjadikan hanya tinggal dua orang lagi peserta wanita berjuang untuk merebut hadiah lumayan yang disediakan iaitu Ester dan Amylea.

    Bagi juri tetap OIAM, Paul Moss, tidak terkejut dengan keputusan tersebut, memandangkan persembahan Fifi dengan lagu Pria Terhebat pada minggu sebelumnya paling kurang menyerlah berbanding peserta-peserta lain.

    Paul Moss juga tidak menafikan bakat yang ada pada Fifi, memandangkan Fifi pernah membuat persembahan yang boleh dibanggakan terutamanya pada minggu kedua dan ketiga.

    "Cuma mungkin persembahan minggu kelima agak kurang memuaskan seterusnya menyebabkan Fifi mendapat undian terendah," ujarnya.

    Syafinaz juga turut sependapat dengan rakannya, Paul Moss, dan percaya bakat Fifi mampu mewarnai lagi dunia hiburan kelak.

    Ketika diminta mengulas sama ada penonton bias terhadap peserta lelaki berbanding wanita, Syafinaz berkata, banyak kemungkinan yang boleh dijadikan faktor penyingkiran peserta wanita.

    "Secara logiknya, peserta wanita kurang menonjol berbanding peserta lelaki. Apatah lagi, peserta lelaki sendiri menunjukkan persembahan yang lebih memuaskan di samping masing-masing mempunyai gaya tersendiri.

    "Hasilnya, pengundi-pengundi negara ini menterjemahkan keadaan tersebut dengan memberikan undian terendah kepada peserta wanita.

    "Bukan tidak pernah kami ingatkan sebelum ini, namun ada lagi peserta yang tidak menunjukkan peningkatan daripada kualiti suara, gaya dan persembahan pentas serta terus selesa berada di zon selamat." kata wanita tinggi lampai itu.

    Bagi Syafinaz, setakat minggu tersebut, hanya Tomok dan Ester yang telah keluar daripada zon selesa mereka dan berani mengambil risiko bermain dengan muzik.

    "Persembahan kedua-duanya memang menunjukkan peningkatan dan mereka bijak dalam susun atur muzik yang bakal dinyanyikan.

    "Cuma kelebihan Tomok pada malam ini berbanding Ester ialah lebih bertenaga dan berani mengubah lagu Ingin Bersamamu kepada satu genre muzik yang baru.

    "Persembahan Ester juga tidak kurang hebatnya, dan saya lebih menggemari melodi yang didendangkan oleh Ester berbanding lagu asalnya," tambahnya.

    Kenyataan Syafinaz disangkal oleh Paul Moss yang merasakan persembahan Ester kurang memberikan impak sehingga meninggalkan kesan mendalam untuk diingati penonton.

    Bersandarkan itu, Syafinaz, Paul Moss dan pengkritik jemputan, Francesca Peter sebulat suara memilih Tomok sebagai pemegang imuniti.

    Minggu lepas juga menyaksikan Tomok sekali lagi berjaya mencuri perhatian penonton dengan persembahan bertenaga menerusi lagu Ingin Bersamamu dendangan pengkritik tetap OIAM, Syafinaz.

    Gusar sedikit dengan pilihan Tomok, namun ia dapat ditepis Tomok seawal persembahan sehingga usai.

    Nyata kelebihan penyanyi utama kumpulan New Boyz ini terserlah, bukan sahaja memiliki suara yang bagus, tetapi juga bijak berkarya mencorak persembahan.

    "Formula saya ialah saya kena menjadikan lagu tersebut seolah-olah milik sendiri terutamanya apabila melibatkan susunan muzik serta persembahan.

    "Pemilihan lagu juga penting. Kita perlu menanggung risiko dengan lagu yang dipilih, sama ada ia bakal disukai penonton atau tidak.

    "Saya bersyukur kerana mendapat imuniti pada minggu ini dan ia juga berada di luar jangkaan saya," ujar Tomok sambil tersenyum kerana percaturannya berjaya.

    Mengimbau kembali persembahan Tomok sepanjang enam minggu ini, Tomok kelihatan lebih selesa membawa lagu yang rancak dengan suntikan elemen rock.

    Percubaannya membawakan lagu balada seperti minggu lepas nyata tidak berjaya menarik perhatian pengkritik.

    Tomok yang bimbang dilabel sebagai penyanyi yang hanya boleh membawa satu genre lagu, berjanji akan terus cuba mempelbagaikan persembahan pada minggu-minggu akan datang.

    Selain Tomok (mempersembahkan lagu Ingin Bersamamu) dan Ester (I Don't Love), lima peserta lain terus berjuang merebut gelaran jutawan baru OIAM 3 ialah Simon (Eternity), Rizu (Naluri Lelaki), Aweera (Enter Sandman), Amylea (Satu Dalam Sejuta) dan Nine (Nakal).

    Transformasi penghayatan pelajar


    HAFIZ yang menyanyikan lagu Mat Disko minggu lalu menerima pujian kerana memberikan persembahan konsisten setiap minggu.


    KONSERT minggu ketiga rancangan realiti popular, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) yang melabuhkan tirainya Sabtu lalu menyaksikan naratif yang bukan baru apabila menyingkirkan dua pelajarnya serentak iaitu Rini (Zuzafrini Zulkifli) dan Obri (Ahmad Sobri Hasmuni).

    Melihat kepada transformasi yang cuba diketengahkan pada musim kali ini, seharusnya tidak memandang hanya kepada perubahan yang nampak ketara secara drastik pada luarannya sahaja.

    Sudah pasti tenaga pengajar terutama pengetuanya, Datin Seri Tiara Jacquelina punya agenda dan inisiatif tersendiri dalam membentuk barisan pelajar yang bukan setakat mampu menyanyi tetapi juga mampu menghibur dan menjiwai setiap lagu yang disampaikan.

    Berbalik kepada konsert minggu lalu, mungkin masih ramai yang tertanya-tanya di mana letaknya cabaran buat para pelajar AF7 apabila kesemua mereka bagaikan 'terperangkap' dalam tema lagu-lagu era 80-an yang santai tanpa menguji kemampuan vokal mereka.

    Apatah lagi, hampir kesemua pelajar AF7 mempunyai suara yang baik malah, ada diantara pelajar AF7 seperti Isma, Claudia dan Rubisa sudah pun mempunyai asas nyanyian sebelum ini.

    Turut mempertikaikan hal itu ialah pengkritik tetap, Adlin Aman Ramli. Ketika mengkritik persembahan Rubisa, Adlin dengan lantang menyuarakan bahawa pemilihan tema sedikit membantutkan proses pembelajaran para pelajar.

    "Malam ini saya tengok macam lambat sikit, seperti ditarik hand brake sebab konsert pertama saya tengok okey tapi malam ini nyanyian biasa sahaja dan tema pun tidak memberi cabaran.

    "Kita memang nak tengok persembahan setiap minggu tetapi dalam masa yang sama kita kena cari ikon penyanyi yang lebih baik daripada sebelum ini jadi tak perlulah tarik hand brake," kata Adlin.

    Namun, ketika ditemui pada sidang media sujurus tamat konsert tersebut, Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul memberitahu pemilihan tema pada setiap minggu adalah sebagai menuruti format AF7 dalam melakukan transformasi.

    "Untuk minggu ini kita cuba transformasi cara penghayatan para pelajar, ternyata ada beberapa pelajar yang dapat menyanyi dengan baik dan jadikan lagu yang mereka nyanyikan seperti lagu mereka sendiri.

    "Walaupun mereka bukan dilahirkan di era 80-an, tetapi mereka dapat menghayati lagu-lagu yang diberikan," katanya.

    Mencari kelainan, menurut pengetuanya sendiri, minggu lalu metode pembelajaran dilakukan berbeza daripada minggu-minggu sebelumnya agar penyerapan, penjiwaan dan penghayatan mampu dikuasai oleh barisan pelajar.

    "Pada minggu ketiga ini kami bersetuju untuk melihat penceritaan dalam lagu itu sampai. Lagu-lagu pada minggu ini kesemuanya ada cerita yang tersendiri jadi, tema ini dibuat untuk melihat sama ada sampai atau tidak.

    "Sebab itu kali ini kami tukar kaedah belajar bermula dengan kelas cikgu Ida, kita cuba dapatkan penghayatan daripada mereka.

    "Kemudian baru kita belajar melodi dan lagu dengan cikgu Shafi dan cikgu Siti Hajar dan seterusnya diisi dengan elemen lain seperti tarian," katanya.

    Sukar pilih pelajar cemerlang

    Peningkatan demi peningkatan terhadap mutu persembahan dan nyanyian membuatkan barisan tenaga pengajarnya sukar menentukan siapa yang bakal dinobatkan sebagai pelajar cemerlang setiap minggu.

    Biarpun tidak menunjukkan peningkatan yang begitu ketara, namun, kata Tiara, asalkan pelajar itu ada peningkatan sepanjang minggu dan mampu mengaplikasikan setiap yang diajar dalam persembahan, maka mereka berpeluang menjadi pelajar cemerlang.

    "Bagi kami di akademi, memang kami nampak banyak sangat lonjakan daripada semua pelajar. Mereka mengisi lagu yang dinyanyikan lebih daripada bawa melodi semata-mata.

    "Kami juga bangga dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh semua pelajar, sehinggakan sampai satu tahap agak susah kami nak memilih siapa di kalangan mereka sebagai pelajar terbaik.

    "Seperti Yazid, memang kami terkejut dia boleh buat persembahan dengan baik minggu ini berbanding minggu-minggu sebelum ini," kata Tiara lagi.

    Nasib Rini dan Obri

    Seperti yang umum sudah ketahui, Rini, 25, dan Obri, 24, adalah pelajar AF7 yang dikeluarkan serentak pada konsert minggu ketiga Sabtu lalu.

    Mereka menuruti langkah penyanyi Nas Adila yang menjadi pelajar AF7 pertama yang disingkirkan.

    Lambat keluar dari kepompong ibarat padah buat Obri yang berasal dari Johor Bahru itu kerana dua minggu berturut sebelum ini dia tidak henti menerima kritikan pedas daripada pengkritik rancangan itu.

    Dia yang menyanyikan lagu Abang Beca dendangan asal Broery Marantika, bagaimanapun berjaya keluar daripada kepompongnya apabila berjaya mencuri tumpuan penonton dengan aksi persembahan yang menghiburkan.

    Mahu mempelajari segala ilmu daripada barisan tenaga pelajar, membuatkan Obri tidak mahu memikirkan tentang penyingkiran biarpun sering dikritik tentang persembahannya.

    "Sebenarnya, saya memang tak jangka akan keluar pada malam ini kerana dalam otak saya sentiasa fikir nak belajar.

    "Tentang kritikan, bagi saya itu bukanlah isu yang besar kerana ia bukanlah sesuatu yang boleh menjatuhkan sebaliknya membantu untuk saya buat lebih baik," katanya.

    Sementara itu, Rini yang menyampaikan lagu Seloka Cinta Remaja yang dipopularkan oleh Seha pada malam konsert lalu tidak meletakkan harapan yang tinggi dalam AF7.

    "Sebaliknya, saya letakkan diri sebagai pelajar yang mahu cuba mengumpul seberapa banyak peluang dan ilmu yang diajar oleh cikgu-cikgu AF.

    "Saya terima hakikat bahawa rancangan realiti TV memang begini, jadi tidak mahu letak harapan yang tinggi," katanya.

    Dengan penyingkiran itu, 11 pelajar yang bakal meneruskan perjuangan ialah Akim, Aril, Hafiz, Sidi,dan Yazid.

    Pelajar lain adalah Qhaud, Claudia, Isma, Zizi, Rubisa dan Aishah.

    Monday, March 30, 2009

    Almy tak kisah Fizz jadi gay



    TINDAKAN berani Fizz Fairuz melakonkan watak homoseksual dalam dua buah drama iaitu, ‘Donut’ dan ‘Mabuk Estrogen’ dalam produksi milik pengarah, pelakon dan penerbit Sheila Rusly, sememangnya mengundang pelbagai kontroversi. Dia yang biasanya memegang watak serius yang penuh sifat ‘kejantanan’ tidak disangka pula sanggup menerima watak sedemikian untuk memenuhi tanggungjawabnya sebagai pelakon.

    Bukan sahaja sanggup menjadi ‘Mak Nyah’ dalam drama ‘Donut’, tetapi dia juga sanggup melakonkan babak bercium dengan Roslan Shah dalam drama ‘Mabuk Estrogen’. Walaupun ramai yang mengecam tindakannya itu, namun bagi buah hatinya - siapa lagi kalau bukan si cantik manis, Almy Nadia - tidak pula mempengaruhi hubungan mereka.

    Bagi Almy, Fizz hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai pelakon dan apa sahaja aksinya dalam kedua buah drama itu hanyalah lakonan semata-mata. Dia yang menyokong sepenuhnya keputusan Fizz untuk membintangi drama yang penuh ‘kontroversi’ itu, juga percaya bahawa imej Fizz tidak akan terjejas dengan hanya lakonan seperti itu.

    “Itu cuma lakonan. Sebagai pelakon tak salah dia mencuba watak yang berlainan lagipun sudah menjadi tugasnya untuk berlakon. Saya tak kisah dia nak berlakon apa pun, walaupun jadi ‘Mak Nyah, ‘gay’ atau kena bercium sekalipun. Yang penting, kami percaya antara satu sama lain,” kata Almy ketika dihubungi baru-baru ini.

    Seperti mana Fizz sentiasa memberi kebebasan padanya untuk melakonkan apa sahaja watak, kata Almy, dia juga harus bersikap terbuka menerima apa sahaja keputusan kekasihnya bagi mengembangkan lagi bakat lakonan masing-masing. Malah akui Almy, aksi beraninya melakonkan ‘babak panas’ dalam filem seram ‘Rasukan Ablasa’ sebelum ini juga tidak pernah mendapat bantahan dari Fizz.

    “Memang dia ada memberitahu saya tentang lakonannya dalam drama Mabuk Estrogen itu, tapi bukannya untuk meminta kebenaran, sebaliknya supaya saya tidak terkejut kalau ia akan menjadi kontroversi nanti. Apa sahaja keputusannya saya terima sahaja.

    “Antara kami masih belum ada ikatan apa-apa lagi. Jadi kami tidak mahu mengongkong antara satu sama lain. Kalau boleh saya nak biar dia merasaikan kepuasan berlakon dulu. Lagipun berlakon inilah ‘periuk nasi’ kami. Kalau memilih sangat, nanti hilang pula rezeki. Kalaulah dah bertunang atau berkahwin, lain pula situasinya nanti. Apa sahaja watak kenalah bawa berbincang dulu,” ujarnya.


    Soal kahwin ketepikan dulu

    Ditanya bila lagi mereka akan mendirikan rumah tangga, kata Almy, baik dia mahupun Fizz masih belum bersedia untuk ke arah itu. Terlalu banyak agenda yang harus mereka laksanakan terlebih dahulu. Selain mahu mengukuhkan karier masing-masing, mereka juga harus memiliki persediaan untuk melangkah ke alam baru itu nanti.

    “Sepanjang tiga tahun bercinta, Alhamdulillahlah, hubungan kami semakin baik. Mungkin itulah yang dikatakan ‘tak kenal maka tak cinta’. Dalam tempoh ini juga saya dapat rasakan kami semakin mengenali antara satu sama lain dan yang paling penting, kami serasi. Tapi soal kahwin ni, biarlah dulu dan kami tak pernah rancang. Insya-Allah, Kalau dah tiba masanya, adalah kad jemputan dihantar nanti,” kata Almy dengan nada yang ceria.

    Beralih tentang karier seninya, Almy memberitahu dia kini sedang menjalani dua penggambaran drama iaitu Suria Kasandra untuk Samarinda (TV3), dan Agen Gus-Gus untuk siaran Astro.

    “Dua-dua drama ini memberikan kelainan pada saya. Dalam drama Suria Kasandra misalnya, saya diberi peluang untuk melakonkan dua watak sekali gus yang mana saya kena melakonkan watak baik dan juga watak jahat dalam satu masa yang sama. Memang susah bawa dua watak ni, sebab saya kena jadi ‘bermuka-muka’ dan banyak bermain dengan ekspresi wajah serta emosi.

    “Dalam drama Agen Gus-Gus pula, buat kali pertamanya saya berlakon sebagai wartawan dan akan berkawan dengan ‘Alien’. Terus-terang saya memang ‘enjoy’ berlakon drama ini kerana ia memang menyeronokkan. Maklumlah drama komedi!” kata Almy.