GEORGETOWN - Dua lelaki yang dipercayai terlibat kegiatan memecah kereta ditahan selepas polis berjaya mengejar mereka  petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, adegan seperti drama aksi itu berlaku kira-kira jam 5.20 petang kelmarin di kawasan Kebun Bunga di sini.
Menurutnya, dengan usaha yang ditunjukkan anggota MPV, Unit Trafik Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) dan Unit Ronda Balai IPDTL itu, dua dari tiga suspek berjaya ditahan.
“Petang semalam (kelmarin), ketika rondaan dibuat anggota bertugas di kawasan Kebun Bunga, didapati ada sebuah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan. Anggota polis kemudian menahan kereta terbabit untuk pemeriksaan namun suspek memecut keretanya.
"Polis kemudian mengejar kereta suspek sehingga ke Jalan Lim Lean Teng, berdekatan Jalan Masjid Negeri.
“Ketika memecut, suspek melanggar beberapa buah kereta yang diletakkan di tepi jalan selain kereta MPV polis. Suspek juga sengaja mengundurkan keretanya dan terlanggar kereta MPV polis.
“Kereta MPV mengalami kerosakan di bonet dan bumper. Bagaimanapun, dua suspek berjaya ditahan dan seorang lagi melarikan diri,” katanya menerusi kenyataan medianya semalam.
Menurutnya, pemeriksaan pada kereta suspek terdapat beberapa peralatan untuk memecah kereta serta tiga keping kad pendaftaran kereta dan motosikal.
“Kita juga menjumpai aksesori dan barang gantian kereta seperti lampu dan radio (untuk kereta). Semakan mendapati kereta itu dilaporkan hilang tahun lalu di Bandar Baru.
“Suspek pertama berusia 28 tahun mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan tiga kes pecah rumah dan dadah,” katanya.
Sementara itu, suspek kedua berusia 25 tahun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
"Kedua-dua suspek tidak mempunyai pekerjaan dan kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, suspek yang meloloskan diri sudah dikenal pasti dan polis giat memburunya.