Cedok kuah nasi kandar mempunyai seninya yang tersendiri.
SEBUT sahaja nasi kandar, pastinya akan terbayang nasi putih berlaukkan ayam atau daging di samping kuah campuran yang membangkitkan selera ditambah dengan aromanya yang memukau.
Menu nasi kandar bukanlah satu menu asing bagi masyarakat di negara ini, malah mempunyai peminatnya yang tersendiri.
Mengikut sejarahnya, resipi nasi kandar berasal dari pedagang India Muslim dari wilayah-wilayah selatan India seperti Malabar datang ke Tanah Melayu pada kurun ke-16 dan akhirnya mewariskan resipi nasi kandar oleh golongan India Muslim atau mamak.
Terdapat pelbagai aneka rempah-ratus digunakan dalam resipi nasi kandar untuk cuba disesuaikan dengan persekitaran di Tanah Melayu ketika itu dan cuma dihidangkan pada waktu pagi.
Dengan gelaran kandar yang kekal hingga kini jelas menceritakan tentang bagaimana gaya penjual nasi kandar pada dekad ke 1930-an yang mengandar bakul atau raga mengandungi nasi dan lauk dengan sebatang kayu tebal.
Dengan cara mengandar di bahu, penjual akan memasuki bandar dan kawasan perkampungan seterusnya menjaja makanan tersebut.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa nasi kandar yang asli dihidangkan bersama lauk daging masak kicap, telur rebus dan bendi rebus sahaja untuk dijadikan sarapan pagi.
Ikuti perjalanan wartawan Sinar Harian mengupas keunikan makanan yang terkenal di negeri ini.
Kuah nasi kandar elemen penting
Ketika bertandang ke mana-mana restoran mamak, pastinya mata akan tertumpu cara kuah dimasukkan ke dalam nasi.
Namun, tahukah kita bahawa elemen adunan kuah dalam nasi kandar punya caranya yang tersendiri.
Pengurus Restoran Deen Jelutong Nasi Kandar, Sajahan Abdul Aziz, 54, berkata, adunan kuah merupakan elemen penting dalam menjadikan nasi kandar itu sedap dimakan.
“Dalam nasi kandar, kuah tidak boleh diletakkan dengan cara yang lewa dan bersahaja, ia punya teknik yang tersendiri, yang mana tidak semua mahir tentangnya.
“Itu antara keistimewaan nasi kandar, rasanya boleh berubah dan menjadi tidak sedap dimakan sekiranya kuah diletakkan oleh mereka yang tidak mahir,” katanya.
Katanya, untuk restorannya, dia memfokuskan kepada hidangan ayam goreng, ayam masak kicap serta kari daging.
“Buat masa ini permintaan terhadap hidangan ayam goreng memang tinggi, kebanyakan pelanggan yang datang untuk menikmati juadah nasi kandar di sini pastinya tidak melepaskan peluang untuk merasai kelazatan ayam goreng yang ada di sini,” katanya.
Katanya, penyediaan makanan merupakan aspek yang penting bagi memastikan pelanggan berpuas hati menikmati apa yang mereka mahu.
“Misalnya hidangan ayam goreng, hidangan ini kami akan pastikan ayam ini digoreng secara berkala, maknanya di sini, jika habis kita akan goreng semula dan bukannya goreng banyak-banyak sekali,
“Secara tidak langsung ayam goreng yang dihidangkan sentiasa berada dalam keadaan panas dan rangup untuk dimakan,” katanya.
Menurutnya, begitu juga dengan masakan yang lain, ia tidak dimasak dalam skala yang besar dalam satu-satu masa.
“Itu merupakan aspek yang paling dititikberatkan di sini, kami menekankan konsep hidangan seperti di rumah yang mana pelanggan akan menikmati hidangan yang segar-segar belaka,” katanya.
Sementara itu, Pengusaha Nasi Kandar Line Clear, Abdul Latif Ali Thalkarumal, 56, berkata, keistimewaan nasi kandar ini hanya peminatnya sahaja yang tahu membezakannya.
“Kita boleh jumpa di mana sahaja nasi kandar, semua orang boleh kata itu nasi kandar, tapi bagi penggemar makanan ini mereka sahaja yang mengetahui keenakannya,” katanya.
Berbicara mengenai masa depan nasi kandar katanya, nasi kandar mempunyai masa depan yang cerah.
“Masa depan nasi kandar bergantung kepada peminatnya, buat masa ini kita melihat ramai peminat nasi kandar, yang mana ia tidak merujuk kepada satu-satu bangsa sahaja namun berbilang bangsa.
“Dalam erti kata lain, nasi kandar adalah sebagai lambang masyarakat Malaysia yang majmuk, pergi saja ke mana-mana kedai yang jual nasi kandar, kita akan lihat pelbagai bangsa, Melayu, Cina dan India,” katanya.
Pelanggan diutamakan
Tatkala bertandang ke restoran nasi kandar, pastinya pelayan tidak akan menunggu lama, pelayan akan terus datang kepada pelanggan.
Berbicara tentang layanan yang diberikan kepada pelanggan ini, Sajahan berkata, kecepatan perkhidmatan amat penting dalam memastikan kepuasan pelanggan mencapai tahap yang semaksimum mungkin.
“Perkara ini diibaratkan sebagai satu tradisi, kita sebagai tuan punya restoran tidak mahu pelanggan menunggu.
“Dalam erti kata yang lain, mereka datang dan bayar untuk menikmati makanan di sini jadi perkhidmatan yang diberikan harus baik, itu yang kami tekankan,” katanya.
Kurang pekerja tempatan
Dari sudut pekerja sebenarnya pihaknya mempunyai pelbagai faktor yang menyebabkan kurang pekerja tempatan diambil bekerja di kedainya.
“Dalam soal ini, kita tidak mengatakan golongan tempatan kurang berminat, di restoran ini juga pernah ada orang tempatan yang datang untuk meminta kerja.
“Saya tanya dia apa kemahiran yang dia ada, dia nyatakan dia punyai kepakaran dalam penyediaan makanan, jadi saya bagi dia kerja.
“Namun, tak sampai beberapa jam, saya keluar dan saya pulang semula ke kedai saya tengok dia tak ada di bahagian depan, cari-cari rupanya ada di belakang, tanya dia kenapa tak duduk depan, dia kata segan kawan dia datang,” katanya.
Katanya, dalam soal ini apa yang dilihatnya adalah persepsi pekerja tempatan itu sendiri.
“Pada saya dalam soal mencari rezeki tak perlu segan tak perlu malu, kita cari rezeki yang halal, biar sapa datang sekalipun itu pelanggan, kita harus melayaninya.
“Bagi saya itu antara faktor yang menyebabkan banyak restoran nasi kandar memilih pekerja warga asing berbanding tempatan,” katanya.
Titik berat aspek kebersihan
Sajahan berkata, untuk pengambilan pekerja di kalangan warga asing mereka perlu mengambil beberapa langkah yang telah disyaratkan.
“Warga asing yang kita ambil bekerja ini perlu mendapatkan pemeriksaan kesihatan daripada pihak yang berkenaan, bukan sembarangan main ambil sahaja.
“Mereka berurusan dengan pelanggan tambahan pula ia melibatkan penyediaan makanan, pastinya perkara melibatkan keadaan kesihatan pekerja itu sendiri amat kami titik beratkan,” katanya.
Sanggup memandu jauh dapatkan nasi kandar
Peminat nasi kandar, Satina Abdul Khalid, 45, dari Sungai Petani, Kedah berkata, dia dan keluarganya akan ke Pulau Pinang sekiranya terasa ingin menikmati nasi kandar.
Menurutnya, walaupun terdapat beberapa restoran nasi kandar di Sungai Petani namun rasanya agak berbeza.
“Memang setiap kali kalau nak makan nasi kandar kami akan memandu lebih 50 kilometer ke Pulau Pinang semata-mata untuk merasai masakan nasi kandar yang original berbanding restoran nasi kandar yang ada di tempat kami.
“Ayam masak madu, daging hitam dan kari kepala ikan antara menu wajib yang akan saya ambil setiap kali menikmati nasi kandar,” katanya .
Turut berkongsi pendapat yang sama, Mohamad Faiz Asyraf Mohd Sukri, 23, yang menggemari suasana restoran nasi kandar di negeri ini.
Mohd Faiz berkata, dia akan mula rasa gian sekiranya lama tidak menikmati hidangan nasi kandar di kedai kesukaannya di Jelutong di sini.
“Tak dapat saya gambarkan keenakan masakan nasi kandar di sini dan harganya juga tidak begitu mahal berbanding di tempat lain.
“Walaupun banyak restoran dengan nama nasi kandar dibuka di Kuala Lumpur, Johor atau tempat-tempat lain namun tidak dapat menandingi nasi kandar di Pulau Pinang,” katanya.
Bagi pelancong pula, kunjungan mereka ke Pulau Pinang pasti tidak sah tanpa menikmati kelazatan nasi kandar.
Menurut Azreen Johari, 26, dari Kuantan, Pahang dia mula teringin untuk mencuba nasi kandar setelah acap kali diceritakan oleh rakan-rakan yang pernah mengunjungi negeri ini.
Katanya, apabila berpeluang bertandang ke negeri yang boleh dianggap sebagai syurga makanan ini, dia tidak melepaskan peluang untuk mencari restoran-restoran nasi kandar popular bagi menikmati sendiri keenakan makanan berkenaan.
“Mulanya saya sering mendengar mengenai nasi kandar tetapi tidak mengambil tahu sangat namun apabila sudah terlalu kerap mendengar cerita keenakan hidangan ini, timbullah keinginan untuk mencuba sendiri.
“Lalu sebaik berpeluang sampai ke Pulau Pinang saya terus merancang untuk mencari kedai nasi kandar yang sering diperkatakan rakan-rakan dan apabila mencuba saya terus terpikat sehingga seolah-olah menjadi gian,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: