SEREMBAN - Tiga kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, atas tuduhan menggunakan sijil cuti sakit palsu untuk tidak hadir bekerja.
Bagaimanapun Mazlan Ahmad, 48, Rosyanizam Yahya, 38, dan Muhamad Hafiz Mohamad Sarpan, 32, yang diwakili Iwana Sakinah Mohd Lajis dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Mazlan Ahmad didakwa berbuat demikian pada 2 November, 20 November dan 12 Disember 2015 manakala Muhamad Hafiz pada 27 Februari dan 7 Mei 2014, serta 20 Ogos dan 11 November 2015.
Rosyanizam pula dituduh mengemukakan sijil cuti sakit palsu antara 22 Disember 2014 dan 18 April tahun ini yang berjumlah 13 hari.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda sepertimana diperuntukkan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.
Majistret Rahimah Rahim membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dengan amaun RM1,200 bagi setiap pertuduhan kecuali pertuduhan bertarikh 19 Mac 2015 terhadap Rosyanizam yang ditetapkan sebanyak RM1,700.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Ainnan Mohd Rasid dan Siti Khadijah Mohd Pisol menawarkan jaminan antara RM3,000 dan RM4,000 bagi setiap pertuduhan.
Namun ketiga-tiganya menerusi Iwana merayu kepada mahkamah agar diberikan amaun paling rendah kerana mengambil kira faktor kewangan penjamin dan jumlah pertuduhan yang mereka hadapi.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes ini pada 21 Jun depan bagi menunggu laporan forensik.
Sinar Harian melaporkan sebelum ini, polis berjaya menumpaskan sindiket sijil cuti sakit palsu yang berlaku di sekitar daerah ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, sembilan individu termasuk pembeli dan pengedar berjaya ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Seremban dan Kuala Lumpur.