SEORANG personaliti TV kewangan Lee Gates menawarkan khidmat nasihat mengenai dunia pelaburan menerusi rancangannya, 'Money Monster'.
Bagaimanapun suatu hari, dia dijadikan sebagai tebusan oleh salah seorang penontonnya, Kyle Budwell, selepas kerugian wang berikutan mengikut nasihat Lee.
Sejujurnya, sebab utama penulis memilih untuk menonton filem ini adalah kerana dua pelakon utama filem berkenaan iaitu George Clooney dan Julia Roberts.
Manakan tidak, dua pelakon hebat ini tidak perlu diperkenal dan diyakinkan lakonan mereka kerana mereka tidak pernah gagal memberikan yang terbaik.
Begitu jugalah keberkesanan mereka di dalam filem terbaru ini, Money Monster yang akan menemui penonton di pawagam bermula 2 Jun ini.
Biarpun tidak bergandingan sebagai pasangan kekasih, gandingan mereka sebagai rakan sekerja di mana George sebagai Lee Gates merupakan seorang pengacara kewangan terkenal, manakala Julia pula sebagai Patty Fann, merupakan pengarah rancangan berkenaan yang cukup berpengalaman, memberi satu kepuasan sendiri buat peminat dua pelakon hebat ini.
Mereka berdua seolah-olah saling ‘memberi’ dan menyokong lakonan kedua mereka, meskipun ada ketika hanya berhubungan menerusi talian di dalam studio.
Bukan itu sahaja, kehadiran Kyle Budwell (Jack O’Connell) juga banyak mencantikkan lagi filem ini dan lakonan yang diberikan juga cukup mantap. Pendek kata, dia berjaya meletakkan dirinya sebaris dengan dua nama besar itu.
Bagaimanapun ingin penulis ingatkan, jalan cerita filem ini bukan sekadar bersandarkan kepada lakonan mantap ketiga-tiga pelakon ini, tetapi jalan penceritaan yang lain dari lain.
Lain dari lain
Pada pandangan penulis, filem ini lain dari lain kerana jalan penceritaannya yang segar. Meskipun agak mustahil buat seorang orang luar memasuki studio penyiaran, namun ini adalah sebuah kisah penceritaan dan ia berjaya dilihat sebagai satu kemungkinan yang mungkin berlaku.
Ia bermula secara ringan dengan memperkenalkan Lee dan programnya, yang mana mendedahkan sedikit bagaimana cabaran sesebuah program sebelum bersidang seperti kegagalan kehadiran tetamu jemputan dan sebagainya.
Namun pengenalan itu tidak lama apabila Jody Foster selaku pengarah bertindak memasukkan elemen suspens dan trailer dengan kemunculan Kyle yang penuh dengan rasa amarah.
Dari situ juga, pelbagai cara digunakan untuk memujuk Kyle termasuk meminta bantuan kekasihnya.
Dari drama dan suspens itulah, Foster membawa penonton menyaksikan satu demi satu plot sehinggalah tidak sedar ia akhirnya membawa ke penghujungnya.
Jadi ingin mengetahui apakah yang akan berlaku kepada Lee, Kyle dan semua yang terlibat dalam drama penebusan ini, jangan lupa menyaksikan filem ini di pawagam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: