FILEM ini mungkin nampak ringkas daripada segi jalan cerita dan persembahan secara luarannya. Begitu jugalah yang difikirkan penulis tatkala membaca sinopsis dan melihat trailernya.
Namun saat menonton filem tersebut baru-baru ini pada sesi pratonton di GSC Midvalley, sangkaan penulis meleset sama sekali.
Pada pandangan penulis, filem ini tidak mempertaruhkan gandingan Jake Gyllenhaal dan Naomi Watts semata-mata, tetapi punya mesej yang boleh dijadikan iktibar.
Filem arahan Jean-Marc Vallee ini mengisahkan seorang pelabur bank bergelut untuk memahami emosinya selepas tragedi kematian isterinya dalam satu kemalangan.
Dia mula mencari di mana salahnya, dan akhirnya diselamatkan oleh seorang wanita yang ditemuinya secara tidak sengaja.
Perjalanan plot cerita ini bermula secara tersusun, tidak ada apa yang boleh dijangkakan pada permulaannya.
Namun tatkala plot bergerak ke tengah penceritaan, mula timbul simpati Davis Mitchell (Jake) yang bergelut saban hari selepas kematian isterinya. Dan dek kerana tidak mampu mengawal perasaan sendiri, Davis bertindak pelik dengan membuka dan meleraikan pelbagai barangan, dari elektronik sehinggakan sebuah rumah.
Ia ibarat merungkai pada sebuah kematian yang tidak terjangka dan terjawab.
Tidak hanya memfokuskan Davis semata-sama, kemunculan Karen Moreno (Naomi) bersama anaknya, Chris (Judah) memberi satu signifikan lain.
Ia memperlihatkan bagaimana Karen cuba menangani perhubungan dengan kekasihnya di samping cuba mengawal anaknya yang semakin liar.
Dua konflik ini apabila disatukan mempunyai banyak pengajaran yang besar buat penonton.
Bagi mereka yang mencintai filem yang mempunyai sentuhan seni, filem ini juga mempunyai faktor itu. Seni itu pula apabila dicampur dengan emosi memberi satu sentuhan yang cukup lengkap.
Gandingan mantap
Gandingan mantap dua pelakon hebat ini, Jake dan Naomi dilihat mencantikkan lagi filem ini.
Biarpun mereka mungkin tidak pernah digandingkan sebelum ini, namun mereka nampak cukup serasi bersama.
Manakala kemunculan Judah, biarpun untuk beberapa ketika, pelakon cilik ini tetap memberi keberkesanan lakonan yang tersendiri.
Pendek kata, pada pandangan penulis, filem ini cukup segala rencahnya, namun ia tidaklah bermakna ia terlalu sempurna, bagaimanapun kekurangan itu boleh dimaafkan.
Jadi bagi anda yang ingin mengetahui kesudahan kisah Davis dan Karen serta apa konflik yang melanda, jangan lupa menyaksikan filem ini di pawagam.