LABIS - Seorang mekanik di Pekan Air Panas, di sini, mencipta kelainan pada bulan puasa dan sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini dengan menghasilkan pelita yang dijana daripada kuasa bateri.
Juraimi Palal, 47, berkata, dia terfikir untuk menghasilkan pelita bateri selepas mendapati kemeriahan dan suasana malam pada musim perayaan terutama di kawasan bandar semakin hilang, selepas tidak ramai berminat memasang pelita di sekeliling rumah.
"Melalui pemerhatian dan soal selidik dijalankan, saya mendapati mereka tidak berminat memasang pelita kerana terpaksa mengisi minyak setiap hari, selain terpaksa menutup pelita ketika hujan dianggap sesuatu yang rumit.
"Sebaliknya, mereka berminat kaedah lebih ringkas dan mudah seperti menggunakan lampu berkerlip untuk menghias rumah ketika musim  raya membuatkan saya tergerak hati mencipta pelita bateri ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut suami kepada Norzizan Saad, 47, dia mula menghasilkan pelita bateri sejak enam bulan lalu selain telah menyiapkan kira-kira 3,000 biji pelita untuk dijual kepada pelanggan pada Ramadan dan Syawal tahun ini.
Katanya, berbanding pelita konvensional dinyalakan menggunakan gasolin dan diesel, pelita buatannya tidak perlu penjagaan rapi dan boleh bertahan walaupun ketika hujan, selain jangka hayat baterinya mampu bertahan  sehingga dua minggu.
"Pelita saya lebih mesra alam kerana tak mengeluarkan asap seperti pelita biasa, yang penting tiada risiko kebakaran atau sebarang kejadian tidak diingini, selain penggunaannya selamat dan sesuai semua peringkat umur.
"Kebanyakan komponen untuk buat pelita bateri ini dibeli kedai perkakasan. Saya berusaha untuk buat sendiri beberapa komponen dan menambah baik ciptaan termasuk memasang sensor pada masa akan datang,” katanya.
Juraimi yang juga peserta 1Azam di bawah bimbingan Jabatan Veterinar Segamat berkata, dia juga mampu menyiapkan 100  pelita sehari sebelum dijual dengan harga RM56 bagi setiap pek mengandungi lapan pelita.
Bagi Norzizan, pada awalnya dia rasa ragu dan kurang yakin dengan hasrat suaminya itu untuk menghasilkan pelita bateri, namun dia percaya pelita ciptaan suaminya itu akan dapat sambutan menggalakkan.
"Setiap hari saya dan anak-anak akan memperuntukkan sekurang-kurangnya dua jam sehari untuk membantu buat pelita bateri dan rasa seronok melakukannya terutama ketika melihatnya menyala.
"Saya harap usaha ini akan memberi pulangan diharapkan kepada kami sekeluarga menjelang hari raya nanti, sekali gus sebagai bukti usaha kerajaan melalui agensinya membantu peserta 1Azam keluar daripada kepompong kemiskinan bukan sesuatu yang sia-sia," katanya
.