Monday, May 23, 2016

My Stupid Boss mencuit hati



My Stupid Boss

APABILA bercakap mengenai ketua atau majikan, pasti akan ada pelbagai versi atau kisah yang dikongsikan oleh mereka yang bergelar pekerja.
Ada yang beruntung mendapat ketua yang begitu baik dan memahami, tetapi bagi yang kurang bernasib baik, pasti ada 1001 perangai ketua yang membuatkan sesetengah mereka angkat kaki.
Dan kisah-kisah mengenai bos yang 'bossy' ini dimuatkan di dalam karya terbaharu arahan pengarah Indonesia terkenal, Upi.
Filem yang diterbitkan syarikat produksi terkenal dari Indonesia, Falcon Pictures (FC) mengangkat karya anak tempatannya tulisan Chaos@work yang mengambil latar kejadian berlaku di sekitar Kuala Lumpur.
My Stupid Boss mengisahkan Diana lakonan Bunga Citra Lestari yang harus mengikuti suaminya, (Alex Abbad) berpindah dan bekerja di Malaysia.
Di sana, Diana terpaksa mencari pekerjaan untuk menampung kehidupan mereka dan bekerja di sebuah pejabat yang memiliki pekerja dari pelbagai negara. Konflik berlaku apabila Diana terpaksa berhadapan dengan majikannya, Bossman yang juga berasal dari Indonesia (Reza Rahadian). Bossman  memiliki tingkah laku yang pelik tetapi karakternya melucukan.
Bossman memiliki prinsip yang luar biasa, berbeza dengan majikan lain. Di pejabatnya, tiada peraturan dan sistem yang jelas dalam pengurusan syarikat membuatkan urusan harian menjadi huru-hara.
Bossman mempertahankan prinsip tersendiri iaitu ‘Bossman Always Right’. Setiap keinginannya harus dituruti semua pekerjanya.
Di situ, Diana mula mengenali rakan setugasnya iaitu Norahsikin lakonan Atikah Suhaimie, Adrian (Bront Palarae), Azhari (Iskandar Zulkarnain) dan Mr.Kho (Kinwah Chew) yang banyak memberi nasihat untuk berhadapan dengan Bossman.
Menariknya filem yang menampilkan separuh dialog berbahasa Melayu dan separuh dalam bahasa Indonesia ini pasti akan mencuit hati anda.
Masakan tidak karakter yang dibawakan oleh Reza sangat menjadi sehingga ada sesetengah yang menyifatkan ketua saya seperti ini dan itu.
Pendek kata, babak melibatkan Reza, penonton sudah ketawa geli hati melihat karakternya termasuk fizikalnya bak seorang bos lama yang sentiasa digeruni.
Tanpa komedi slapstik, Upi membuktikan sesebeuah karya itu tetap menarik dan bersahaja serta berjaya menarik perhatian ramai.
Seperkara lagi yang penulis puji mengenai filem ini, ia menampilkan sebuah jalan penceritaan yang dekat dengan penonton.
Tiada rumah mewah, pejabat mewah atau pun kereta yang terlalu mewah, tetapi cerita ini mewah dengan komedi yang tersendiri.
Gandingan mantap
Tidak hanya bergantung kepada jalan cerita semata-mata, gandingan mantap dua pelakon utama filem ini iaitu Reza dan Bunga sememangnya cukup menjadi.
Mungkin disebabkan pernah bekerjasama sebelum ini membuatkan lakonan kedua-dua pelakon ini cukup bersahaja.
Penulis tertarik dengan dialog Melayu yang cuba dituturkan oleh Bunga, nampak natural.
Dan pujian tertinggi harus diberikan kepada Reza yang berjaya menimbulkan rasa menyampah dan menterjemahkan pelbagai karakter negatif yang ada pada sesetengah ketua dalam lakonannya.
Secara keseluruhan, jika anda mencari sebuah karya yang santai dan berkait rapat dengan kerja, jangan lupa untuk menyaksikan filem ini di pawagam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: