Thursday, May 19, 2016

Tania Hudson anak emas Skop Production?



Tania Hudson

SELEPAS menjadi satu-satunya bunga di kalangan kumbang ketika membintangi filem Abang Long Fadil 2 terbitan Skop Production, nama Tania Hudson kembali menjadi pilihan syarikat produksi gergasi itu.
Kali ini, Tania sekali lagi menjadi pilihan Skop Production untuk membintangi filem terbaru arahan Syafiq Yusof, KL Special Force.
Selain Tania, filem itu turut dibintangi Datuk Rosyam Nor, Fattah Amin, Syamsul Yusof dan Sabrina Ali.
Dilihat pemilihannya membintangi dua filem besar Skop Production, timbul usikan nakal mengatakan wanita berusia 31 tahun ini adalah anak emas syarikat tersebut.
"Tidaklah, saya rasa Syafiq kembali memilih saya kerana kami pernah bekerjasama. Tapi saya tidak melihat saya menjadi keutamaan atau anak emas Skop Production. Malah sejujurnya saya sendiri tidaklah mengutamakan tawaran dari Skop Production sahaja.
"Kebetulan ada kelapangan dan tawaran pula datang dari syarikat yang kita tahu pencapaian dan kredibilitinya. Jadi saya tak mahu menolak tuah.
"Namun seandainya tawaran itu datang ketika saya ada kerja lain, saya mungkin terpaksa menolaknya," katanya kepada Zass.
Menurut Tania, di kala dia sedang cuba kembali mencipta namanya di persada seni tanah air, dia seboleh-bolehnya enggan terlalu 'demand' atau memilih tawaran.
Menyifatkan dia kini dalam proses pembelajaran, Tania menjelaskan, dia bersedia menerima tawaran watak sampingan sekali pun jika ia dirasakan sesuai.
"Alhamdulillah tawaran memang sentiasa ada, saya tidaklah berlakon filem sahaja, tetapi ada juga berlakon drama.
"Malah saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Kasih Dari Langit untuk TV Alhijrah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: