BESUT - Walaupun gagal memperoleh hasil yang lumayan, namun penduduk beberapa kampung di Mukim Puteri, dekat Kuala Besut, tetap gembira apabila berjaya mengadakan pesta mengagau ikan di sebuah sungai mati di Kampung Bukit Puteri.
Ketua pasukan, Mat Jusoh Salleh, 59, berkata, usaha menimba air di kolam (alur) yang berasal dari sebuah cabang sungai itu merupakan kejayaan besar buat penduduk terlibat.
Menurutnya, selama ini tiada pihak yang berjaya melakukan pesta menimba air alur kerana berdepan pelbagai masalah dan gangguan misteri.
"Alur ini terkenal dengan kisah misteri. Banyak pihak cuba mengeringkan air dalam takungan air kira-kira 50 meter persegi itu, tetapi gagal sebab berdepan banyak masalah seperti enjin pam air rosak dan sebagainya.
"Keadaan ini menyebabkan mereka gagal sejak peringkat awal hingga tidak ramai berminat untuk menimba di situ. Tapi kalau untuk menangkap ikan dengan cara menjaring atau menyelam di situ, orang ramai lazimnya tidak berdepan masalah," katanya.
Hadapi gangguan misteri
Menurut Mat Jusoh, pelbagai gangguan itu menyebabkan banyak pihak tidak berminat mengeringkan air untuk menangkap ikan dengan kaedah mengagau di situ.
Bagaimanapun katanya, hasil perbincangan dengan beberapa penduduk, mereka bersetuju untuk menganjurkan pesta menimba atau mengeringkan air di alur tersebut.
"Alor ini asalnya cabang Sungai Besut, tetapi menjadi sungai mati sejak belasan tahun lalu. Sungai mati itu asalnya sepanjang hampir satu kilometer dan tempat kami menimba ini adalah penghujung," katanya.
Mat Jusoh berkata, penduduk terlibat datang dari beberapa kampung berhampiran antaranya Kampung Dengir, Pusu Tinggi, Tok Has, Beris Pak Abu dan Bukit Puteri.
Menurutnya, sebanyak lapan enjin penyedut air digunakan dalam usaha mengeringkan air kira-kira 1 meter itu, yang dibawa beberapa kenalannya termasuk dari Setiu dan beberapa tempat lain di Besut.
"Kami jangka dapat mengeringkan air alur itu dalam tempoh dua hari, sebelum dapat melakukan kerja mengagau dan menangkap beberapa spesies ikan di situ antaranya toman, bujuk, terbul serta sebagainya.
"Bahan api untuk enjin pam air ditaja individu. Kami turut menyediakan tukang masak wanita untuk menyediakan makanan buat mereka yang melakukan kerja mengepam air sepanjang pesta berlangsung," katanya.
Henti pesta akibat hujan
Menurut Mat Jusoh lagi, pada hari pertama, kerja menyedut air berjalan lancar yang berterusan hingga hari kedua.
Katanya, walaupun penduduk gembira apabila melihat paras air surut, namun keadaan bertukar sebaliknya apabila masuk petang hari kedua kerana kejadian luar biasa berlaku berikutan paras air meningkat secara mendadak.
"Beberapa kejadian aneh turut berlaku ketika penduduk mengadakan kerja menimba pada hari pertama apabila hujan. Saya pun tak pasti sama ada kebetulan atau memang misteri kerana hujan pada malam pertama itu berlaku selepas beberapa bulan tidak hujan.
"Paling menghairankan, kami mendapati air Sungai Besut masuk ke dalam alur itu, sedangkan sudah lama terputus dan kedudukan alur agak jauh dari sungai utama," katanya.
Mat Jusoh berkata, kejadian itu mengakibatkan pesta yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari, terpaksa dihentikan pada hari kedua memandangkan paras air meningkat dan tiada tanda menunjukkan air akan kering.
Katanya, mereka hanya memperoleh kira-kira 100 kilogram ikan selepas memasang jaring di alur itu, sedangkan mereka dijangka dapat menaikkan sekurang-kurang 300 kilogram ikan sekiranya air berjaya dikeringkan.
“Ikan berjaya dibawa naik dari spesies toman dan bujuk yang kemudian diagihkan kepada peserta. Bagaimanapun, saya tidak kecewa walaupun gagal kerana tahu alur itu bukan sembarangan alur," katanya.