WAJAH dan namanya mungkin cukup asing buat peminat muzik tempatan. Namun siapa sangka, dialah sebenarnya penyanyi dan pencipta lagu popular, Tetap Dalam Jiwa yang sering dimainkan di corong radio tempatan.
Isyana Sarasvati bakat baharu yang bukan hanya sedang mencipta nama di negara asalnya, Indonesia, malah kejayaan single keduanya itu juga telah membuka ruang buatnya terus mengembangkan karier seninya di negara ini.
Tidak pernah menjangkakan lagunya berjaya mencuri tumpuan pendengar di Malaysia, gadis cantik berusia 23 tahun ini mengakui keikhlasannya menghasilkan muzik terbalas.
“Saya sendiri tidak pernah tahu lagu saya popular di sini sehinggalah pihak Sony Music Indonesia memaklumkannya.
“Saya sangat terharu dengan sambutan yang diberikan peminat di sini,” katanya ketika sesi temu bual eksklusif bersama Zass baru-baru ini.
Biarpun namanya tidak sepopular lagu yang dihasilkan, Isyana masih bersyukur kerana situasi itu membuktikan peminat lebih menghargai bakat seninya.
“Ini adalah satu penghargaan buat saya. Biarpun tidak pernah ke sini, tapi lagu saya dikenali di sini.
“Sudah tentu bagi saya ini sesuatu yang aneh dan pada masa yang sama saya sangat bersyukur.
“Apabila ke sini untuk mempromosikan lagu, sekali lagi saya diberi peluang yang besar untuk membuat persembahan di pentas Anugerah Bintang Popular. Ini adalah satu platform yang besar buat saya memperkenalkan diri kepada peminat Tetap Dalam Jiwa,” katanya dengan nada teruja.
Isyana berkata, kesemua lagu yang dihasilkan adalah berdasarkan kepada kisah benar.
“Seperti Tetap Dalam Jiwa adalah kisah mengenai teman rapat saya yang menjalani percintaan yang lama di mana sepanjang itu juga dia terpaksa melalui suka duka dalam perhubungan itu.
“Ia sangat dekat dengan saya dan disebabkan itu saya mampu menghasilkannya dengan sepenuh jiwa dari segi muzik dan liriknya,” katanya.
Hasilkan Lagu
Bercerita lanjut mengenai kariernya, gadis kelahiran Bandung, Jawa Barat itu memberitahu perjalanan seninya bermula sejak 2014 dengan penghasilan single pertamanya, Keep Being You.
“Itu single pertama saya memulakan karier ini lebih serius di Indonesia dan selepas menerima sambutan yang baik, saya mengeluarkan Tetap Dalam Jiwa.
“Dalam masa yang terdekat ini juga saya akan melancarkan single keempat iaitu Mimpi. Saya amat mengharapkan pendengar akan menyukainya,” katanya.
Ditanya mengenai arah tuju muziknya, Isyana mengakui minatnya lebih mendalam terhadap muzik klasik.
“Sejak kecil saya memang sudah tertarik dengan muzik klasik. Tapi dari segi pembikinan lagu semuanya bergantung kepada mood saya ketika itu.
“Secara peribadinya, saya seorang yang sukar berkongsi perkara peribadi dengan sesiapa melainkan muzik. Muzik tidak menilai saya seperti mana orang lain. Jadi bila saya ada masalah, saya akan bercakap dengan muzik. Itu kekuatan saya,” katanya.