Sunday, May 29, 2016

Surf This Love filem peluncur pertama Malaysia



Surf This Love

KELAINAN. Ini yang ingin disampaikan menerusi filem Surf This Love (STL). Filem terbitan Global Solution Resources ini mengisahkan kehidupan pemain luncur air. Pertama seumpamanya di Malaysia, penerbit filem ini nyata berani untuk mengetengahkan sesuatu yang lain daripada biasa.
Penerbitnya, Amie Zhu berkata, pihaknya ingin keluar daripada kepompong filem tempatan yang banyak dihidangkan dengan genre dan cinta.
“STL adalah kisah mengenai kehidupan peluncur air. Walaupun tahu berdepan risiko dengan mengetengahkan kisah sebegini, tetapi saya mahu masyarakat kita tahu, di negara kita juga ada tempat meluncur air terbaik seperti Pulau Tioman.
 “Ramai tidak tahu, setiap tahun diadakan pertandingan meluncur air di Pulau Tioman yang menjadi tumpuan peluncur dari luar negara,” katanya.
Amie berkata, dengan jalan cerita itu, sudah pasti pelakon utama perlu tahu kemahiran meluncur dan paling penting tahu berenang.
“Kerana itu, pemilihan dibuat dan kami ambil Shukri Yahaya untuk membawakan peranan utama.
“Shukri seorang pelakon yang baik apabila sengaja membiarkan rambutnya menggerbang panjang bagi menjiwai watak sebagai ‘surf boy'. Ini kerana kebanyakan imej mereka memang begitu dan saya amat menghargai usahanya itu.
“Cabaran besar untuk mendapatkan pelakon yang boleh memberikan komitmen tinggi dalam sukan air seperti berenang. Sebelum ke lokasi penggambaran, Shukri dilatih meluncur terlebih dahulu supaya aksinya di atas papan luncur kelihatan semula jadi dan bersahaja seperti seorang juara,” katanya.
Dalam pada itu, Amie berkata, bagi menyiapkan naskhah tersebut, pelbagai perkara terjadi kepada team STL antaranya mengalami masalah logistik dan pengangkutan sewaktu di Pulau Tioman dan Bali.
“Trak pikap kami rosak di tengah jalan sewaktu dalam perjalanan ke lokasi penggambaran di Tioman. Ada juga berlaku pokok tumbang, pelakon jatuh ke dalam laut dan macam-macam lagi.
“Tidak hanya di Tioman, malah ketika di Bali, kami mengalami masalah komunikasi, nilai mata wang kita yang masih rendah serta makanan. Tetapi, saya gembira dengan komitmen yang diberikan semua kru dan juga pelakon dan hasil penggambaran sangat memuaskan,” katanya.
Menampilkan Wan Mohd Hafiz Wan Hussain sebagai pengarah, Amie begitu berpuas hati dengan hasil kerjanya.
Tujuh kali rombak skrip
Wan Mohd Hafiz yang sebelum ini sudah mengarahkan tiga filem iaitu Tok Mudim, Mat Tudung dan Puaka Balai Gombak berkata, skrip asal STL telah dirombak termasuklah plot dan jalan cerita yang dirasakan sesuai dengan karakter setiap pelakon filem itu.
“Tidak mudah sebenarnya untuk kami menyiapkan naskhah ini. Praproduksi juga memakan masa berbulan-bulan.
“Itu belum termasuk rombakan skrip yang kami dapat. Tujuh kali kami rombak skrip asal STL ini. Penulis asal cerita ini Khairul Kiasan juga bersetuju dengan idea dan perubahan yang kami buat untuk filem ini,” katanya yang pertama kali mengarah filem mengenai sukan luncur air.
Tambahnya, filem berkenaan memerlukan visual yang agak berat, namun dengan jalan cerita yang bersahaja, STL diharap dapat diterima apabila ditayangkan.
“Kekuatan cerita ini adalah penggabungan kisah-kisah pendek yang disatukan menjadi sebuah cerita besar. Walaupun ia adalah romantik komedi, tetapi komedinya bersahaja,”  katanya yang ditemui di lokasi penggambaran sekitar Pulau Tioman.
Olahan yang dibuat untuk menjadikan filem itu lebih mudah difahami dan kena dengan setiap pelakon.
STL membariskan hero dan heroin yang sedang meningkat namanya iaitu Shukri Yahaya dan Christina Suzanne, dibantu Josiah Hogan, Beto Khusyari, Pekin Ibrahim dan Farid Kamil.
Menjalani penggambaran di sekitar Pulau Tioman dan Bali, STL bukan filem cinta klise yang selalu dipertontonkan.
“Kami janjikan kelainan kerana paparan plot, sinematografi dan kekuatan filem ini adalah pada jalan cerita yang ringkas dan mudah difahami.
“Ia dihasilkan daripada hati dan saya mahu ia dipandang sebagai satu karya yang berharga bukan saja untuk saya, malah untuk industri filem juga,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: