PASIR MAS - “Jasa guru tetap dikenang sampai bila-bila, tak serupa jasa politik yang diibaratkan seperti jentolak. Selepas siap sesuatu projek ia dibiar tersadai di tepi jalan, tak dihirau hingga berkarat dan rosak,” kata bekas Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Hussein Ahmad yang juga pesara guru.
Menurutnya, kerjaya sebagai seorang guru adalah kerja mulia dan dipandang tinggi masyarakat.
Beliau berkata, beruntung jika seseorang itu bergelar guru kerana jasa mereka akan diingati sehingga ke akhir hayat.
“Panggilan guru juga kekal walaupun sudah pencen, yang paling gembira bila anak-anak didik yang diajar masa kecil membesar jadi insan berguna serta pemimpin disegani.
“Jika dulu anak murid tak datang ke sekolah, cikgu-cikgu akan pergi rumah cari mereka. Guru dulu boleh bertegas dengan anak murid jika mereka buat silap, tapi tak seperti sekarang.
“Semuanya tak boleh. Silap langkah, guru yang akan dipersalahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menerima lawatan Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Kelantan, diketuai Yang Dipertuanya, Datuk Idris Muhamood sempena Sambutan Hari Guru 2016.
Hussein merupakan bekas pendidik dan menamatkan khidmatnya pada 1964 di Sekolah Kebangsaan Cabang Tiga Chetok selepas menceburi bidang politik pada waktu itu.
Sementara itu mengulas mengenai lawatan itu, Idris berkata, sempena sambutan hari guru tahun ini pihaknya mengadakan lawatan ke beberapa rumah bekas pendidik yang juga merupakan pemimpin tempatan tersohor di negeri ini.
“Kami bergerak seramai 27 orang dan memilih daerah Pasir Mas, Tumpat dan Rantau Panjang serta beberapa kawasan lain.
“Kebanyakan bekas pendidik yang kami ziarahi berumur 70 tahun ke atas. Tujuan lawatan ini diadakan adalah bagi meraikan mereka sempena Hari Guru,” katanya.