Thursday, May 19, 2016

M Daud Kilau Tolak Tawaran Persembahan Demi Kesihatan




M Daud Kilau masih belum bersedia untuk menerima sebarang tawaran persembahan kerana ingin memberi tumpuan kepada masalah kesihatan yang dihadapinya sejak Januari lalu. 
KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran Datuk M Daud Kilau terpaksa menolak daripada menerima sebarang undangan nyanyian ekoran kesihatannya yang terjejas sejak Januari lalu.
M Daud Kilau, 77, berkata, dia ingin kesihatannya benar-benar pulih sebelum kembali bersedia beraksi di pentas.
"Alhamdulillah walaupun diberi dugaan dengan kesihatan yang kurang baik tetapi Allah ganti dengan pelbagai undangan nyanyian.
"Bagaimanapun saya terpaksa menolak kesemuanya kerana ingin berehat dan memastikan kesihatan benar-benar pulih.
"Rindu juga hendak menghiburkan peminat tetapi saya perlu utamakan kesihatan buat masa ini," katanya.
M Daud Kilau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media penubuhan Bintang Dangdut Malaysia di sini, Selasa.
Penyanyi lagu Cek Mek Molek itu mendapat rawatan di Hospital Selayang hampir sebulan pada Februari lalu akibat masalah prostat.
M Daud Kilau kelihatan semakin ceria. 
Beliau sebelum itu dimasukkan ke Hospital Teluk Intan selepas mengalami komplikasi membuang air kecil.

Selain masalah prostat, Raja Gelek itu turut mempunyai penyakit kencing manis dan masalah buah pinggang.

Dalam pada itu, M Daud Kilau berkata, kesihatannya kini 75 peratus pulih dan menjangkakan akan kembali aktif dalam masa dua bulan lagi.

Katanya lagi, selain berehat dia kini lebih banyak menghabiskan masa menonton televisyen dan banyak mengikuti perkembangan industri hiburan tempatan.

"Buat masa ini saya masih lagi menjalani rawatan susulan di Hospital Selayang dan Alhamdulillah kesihatan semakin pulih.

"Insya-Allah dalam masa dua bulan lagi saya akan kembali aktif dengan persembahan dan kini banyak menghabiskan masa dengan berehat dan menonton televisyen," ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai penubuhan Bintang Dangdut Malaysia, M Daud Kilau berkata, ia satu perkembangan positif yang dapat menaikkan irama dangut di mata masyarakat.

"Akhirnya ada sebuah persatuan yang akan membela nasib penyanyi yang memperjuangkan irama dangdut dan saya melihat ia suatu perkembangan baik.

"Semua artis dangdut dapat bersatu dalam menaikkan lagi irama berkenaan yang sebenarnya mempunyai banyak peminat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: