Karim mencantas rebung di ladangnya
KANGAR - Rebung madu merupakan makanan yang tidak asing bagi rakyat di negeri ini kerana rasanya yang sedap apabila dicampurkan dalam gulai ataupun masak lemak.
Di majlis kenduri kahwin di sekitar Perlis, rebung madu seumpama menu wajib untuk membangkitkan selera tetamu.
Namun ramai yang tidak mahu menanam buluhnya kerana menganggap kerja yang rumit.
Bagi seorang pesara polis, Karim Derani, 62, dari Kampung Syed Omar, Bintong di sini, kerana bimbang tumbuhan itu akan pupus dia mula berjinak-jinak mengusahakan tanaman berkenaan secara kecil-kecilan.
Karim menceburi bidang pertanian berkenaan selepas berpencen awal pada 2002.
“Selepas dua tahun, saya mengeluarkan modal sebanyak RM15,000 bagi menanam buluh madu di Kampung Nisam yang tidak jauh dari rumah saya.
“Saya sanggup berhabis duit kerana tidak mahu makanan nenek moyang kita pupus, dengan jangka hayat pokok ini yang mampu bertahan sehingga 99 tahun saya yakin cucu cicit kita selepas ini akan mengenali buluh dan makan rebung madu,” katanya.
Karim berkata, setiap hari dia menyelenggara ladangnya yang pada ketika itu seluas tiga hektar.
Jelasnya, disiplin sangat penting dalam melakukan sebarang kerja walaupun dalam bidang pertanian supaya hasilnya berbaloi dengan pelaburan yang dilakukan.
Peroleh hasil selepas setahun
Selepas setahun mengusahakan tanaman berkenaan, Karim mula memperoleh hasil pertanian itu dan menjualnya kepada kenalan serta penduduk sekitar.
Menurutnya, di peringkat awal, dia mengakui agak sukar untuk menjual rebung berkenaan namun berkat meringankan mulut ketika berjumpa orang kampung, lama-kelamaan ramai yang datang untuk membeli terus dari ladang.
“Ini termasuk peniaga di pasar sekitar negeri ini, malah saya juga mula tidak menang tangan pada musim cuti sekolah apabila ramai yang mahu mendapatkan rebung untuk dijadikan hidangan di majlis kenduri kahwin dan sebagainya,” katanya.
Berikutan kejayaannya itu, Karim memerlukan pembantu bagi mencantas rebung termasuk mengopek kulit rebung.
Dia bernasib baik apabila dua anaknya sedia membantu di ladang selain mempunyai dua pekerja yang merupakan penduduk kampung berkenaan.
Melihat kepada permintaan yang semakin meningkat, Karim membuat keputusan untuk
menambah dua hektar lagi tanaman berkenaan dengan menyewa tanah di sekitar ladangnya sehingga berjaya menanam 3,500 rumpun buluh.
Ditanya mengenai cabaran dihadapi ketika mengusahakan tanaman berkenaan, Karim berkata, antara cabaran dihadapi adalah buluh ditenggelami banjir.
“Pokok buluh ini memerlukan tanah sentiasa lembab, selalunya apabila tiba musim kemarau pada anuari sehingga Mac hasil rebung akan berkurangan hampir 80 peratus menyebabkan pendapatan saya turut merudum.
“Pada musim itu, setiap hari saya mungkin akan memperoleh hasil antara 20 hingga 70 kilogram (kg) rebung sahaja sedangkan pada April hasil saya mencecah 300kg setiap hari,” katanya.
Melihat kepada keadaan itu, Karim perlu bijak menguruskan kewangan selain memastikan pokok buluhnya mengeluarkan rebung yang banyak selepas musim kemarau.
Luaskan pasaran rebung
Ketika ditanya mengenai perancangan masa depan, Karim berkata, dia mahu meluaskan pasaran rebung madu dengan mengubahnya menjadi kerepek.
Menurutnya, dia akan bertemu dengan pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) bagi membolehkan hasratnya tercapai,
"Mardi mungkin boleh melakukan kajian supaya rebung madu ini dikomersialkan mengikut peredaran zaman.
“Seperti menikmati kerepek ubi kentang dan pisang dalam bungkusan yang menarik saya juga mempunyai angan-angan sebegitu supaya rebung madu dikenali ke serata dunia,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: