Muhammad Alif Haikal sudah menghafaz 30 juzuk al-Quran sedang mengikuti kelas syahadah al-Quran di MTAQT.
MUAR - “Kata-kata ayah mahu salah seorang anak pimpin tangannya dan ibu masuk syurga, jadi perangsang saya hafaz 30 juzuk al-Quran,” kata Muhammad Alif Haikal Azman, 18.
Dia salah seorang pelajar Madrasah Tahfiz al-Quran At-Tanwirah (MTAQT) Parit Jawa, di sini, mengakui syafaat yang dijanjikan ALLAH SWT kepada setiap penghafaz al-Quran itu menambahkan lagi iltizamnya sehingga berjaya menghafal kitab ALLAH tersebut pada usia 16 tahun.
Muhammad Alif Haikal adalah salah seorang daripada enam al-hafiz yang dilahirkan oleh madrasah berkenaan, kini sedang mengikuti kelas syahadah al-Quran di MTAQT dan dijangka akan tamat tidak lama lagi.
Menurutnya, kesan paling besar dirasai pada dirinya selepas menjadi pencinta al-Quran ialah dia menjadi seorang yang lebih memahami tentang hukum ALLAH yang semuanya dijelaskan dalam al-Quran.
“Peringkat awal untuk hafal al-Quran agak sukar kerana saya berasal daripada sekolah aliran biasa sewaktu sekolah rendah dengan keputusan 2A, 3B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
“Tahun pertama di MTAQT saya hanya mampu hafal empat juzuk kerana pada masa yang sama, tempoh itu dilalui sebagai proses membiasakan diri di madrasah dan melancarkan bacaan al-Quran,” katanya.
Anak keempat daripada sembilan adik beradik itu berkata, melihat kepada kemajuannya yang agak perlahan, membuatkan dia berasa kurang berkeyakinan dengan kemampuannya untuk menghafal al-Quran.
“Tetapi, suasana di asrama dikelilingi pelajar senior yang gigih hafal al-Quran telah pengaruhi saya untuk ikut mereka (senior hafal al-Quran).
“Tahun kedua saya dapat hafal lima lagi juzuk. Pada tahun ketiga, saya lebih bersungguh-sungguh sehingga berjaya hafal sehingga juzuk 19 dan tahun keempat hafal semua juzuk al-Quran,” katanya.
Remaja berasal dari Parit Sulong, Batu Pahat itu berkata, dia gembira kerana dalam tempoh tiga tahun enam bulan belajar di MTAQT, dia telah berjaya memenuhi impian bapanya, Azman Jailani, 48.
Muhammad Alif Haikal berkata, seorang adiknya, Nurul Ainul Balqis, 14, telah mengikut jejak langkahnya dan kini belajar di Madrasah Tahfiz al-Quran Ardin di Parit Sakai, di sini, sejak awal tahun ini.
“Adik (Nurul Ainul) selalu mengadu pada ayah mahu jadi seperti saya dan ayah beri sokongan kepadanya dengan hantar dia ke madrasah berkenaan.
“Saya begitu gembira dan berharap adik-beradik yang lain akan ikut jejak langkah ini (hafal al-Quran),” katanya.
Dia yang bercita-cita mahu menjadi guru itu berkata, dia pernah diberikan kepercayaan menjadi imam untuk solat terawih di Masjid Batu 3 Bakri, pada tahun lalu dan di Surau Parit Amal pada 2013.
Jelasnya, untuk merealisasikan impiannya itu dia akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas tamat kelas syahadah bagi membolehkannya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, ilmu dimilikinya bukan semata-mata untuk kepentingan sendiri tetapi juga kepada orang ramai dalam menyebarkan syiar Islam, di samping mahu masyarakat menjadikan al-Quran sebagai panduan demi kehidupan yang sejahtera dan diredai ALLAH.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: