Zara Zya
BAGI sesetengah selebriti, terutama yang baharu, mereka lebih suka jika urusan seni diatur pihak pengurusan berpengalaman yang dapat menaikkan nama mereka dalam industri hiburan ini.
Namun, ada juga sesetengah selebriti yang tidak sehaluan dengan syarikat pengurusan itu disebabkan banyak perkara yang akhirnya membawa kes berkenaan ke mahkamah.
Untuk tidak memeningkan kepala dengan segala masalah yang mungkin berlaku, pelakon Zara Zya mengakui yang dirinya tidak mahu berada di mana-mana syarikat pengurusan artis.
Menurutnya, dia lebih suka menguruskan segala aktiviti seninya secara sendiri tanpa kekangan pihak luar.
“Zara jenis yang suka bebas. Semua sedia maklum apabila menjadi artis, ramai orang kenal kita, jadi waktu bersendirian agak kurang, begitu juga masa dengan rakan-rakan.
“Waktu yang padat dengan penggambaran juga menyebabkan adakalanya Zara tidak cukup masa untuk berehat.
“Bayangkanlah jika Zara duduk di bawah pengurusan, semua jadual Zara ada kekangannya, Zara juga tidak boleh buat sesuka hati,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis prebiu filem Rembat, baru-baru ini.
Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 29, berkata, sebelum ini memang dirinya ada menerima tawaran daripada beberapa syarikat untuk bernaung di bawah mereka.
“Tetapi Zara terpaksa tolak kerana selesa sendiri dan bebas. Bukan bermakna syarikat itu tidak bagus, mereka memang saya tahu bagus dalam menguruskan artis, cuma Zara sahaja tidak suka.
“Zara tidak suka orang lain buat jadual untuk Zara. Jika penggambaran juga, semuanya ikut kemahuan Zara juga. Jika tidak, Zara mesti tidak cukup masa untuk berehat,” katanya.
Pastinya apabila sibuk dengan lakonan, waktu yang terluang akan digunakan sebaiknya oleh pelakon, begitu juga dengan pelakon yang popular dengan drama Love You Mr Arrogant ini.
“Jika Zara cuti, Zara suka berehat di rumah, memasak dan menjemput kawan-kawan untuk meluangkan masa bersama di rumah.
“Selain itu, Zara suka habiskan masa dengan bermain dengan kucing peliharaan Zara yang kini terdapat 13 ekor semuanya. Sebelum ini lagi banyak tetapi disebabkan sibuk, saya serahkan kucing-kucing itu kepada rakan-rakan,” katanya.
Bedak asas ZaraZya
Berkongsi pula perihal perniagaannya, pelakon kelahiran Lenggong Perak ini memberitahu yang dia kini sedang sibuk menguruskan pemasaran produk bedak asasnya yang baru dilancarkan dua minggu lalu.
Bedak asas yang diberi nama SuperDoll Foundation By ZaraZya semakin mendapat sambutan hangat daripada pelanggan dan mendapat tempahan dari negara jiran.
“Bedak asas itu sesuai untuk pelajar dan pekerja yang sukakan solekan ringkas dan juga sesuai dengan kulit orang Asia.
“Alhamdulillah maklum balas pengguna sangat bagus, apabila kebanyakan mereka mengatakan bedak itu sesuai dengan kulit muka mereka dan tidak berminyak.
“Setakat ini, produk itu boleh diperoleh di satu kedai di Kampung Baru dan ejen. Boleh juga membuat pesanan melalui online di Intagram zarazya.co,” katanya.
Filem pertama
Mengulas pula mengenai lakonannya dalam filem Rembat, Zara yang memegang watak sebagai Azira berkata, dia sangat berpuas hati dengan filem tersebut.
“Selepas menyaksikan sendiri filem ini, saya sangat seronok dan bolehlah jual walaupun ini adalah filem pertama Zara setelah dua tahun berada dalam bidang lakonan.
“Ketika terima tawaran itu juga, Zara tidak fikir panjang kerana tahu akan kebolehan salah satu penerbit filem ini iaitu Red Films.
“Tambahan mengetahui barisan pelakon yang hebat seperti Shaheizy Sam dan Aniu dalam filem ini, membuatkan saya setuju menerimanya,” katanya.
Zara turut akui yang pada awal penggambaran berlakon dalam filem itu, ada terasa gemuruhnya, namun ia dapat diatasi dengan baik dengan bantuan pengarah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: