Friday, October 9, 2015

Sarung golok dari paip PVC



Sarung golok dari paip PVC
Sebahagian paip PVC yang sudah dipotong untuk dipilih pelanggan.
HULU BESUT - Kreativiti seorang petani, Che Soh Daud, 62, dari Kampung Tasik, Cherang Melintang, dekat Pasir Akar, di sini, dalam membuat sarung golok dan pedang dengan menggunakan paip PVC, menarik minat ramai untuk membuat tempahan.
Che Soh berkata, semuanya bermula pada 2007 selepas dia membuat sarung golok untuk kegunaan sendiri bagi menggantikan sarung sedia ada yang pecah.
Menurutnya, setelah siap, dia sering membawa golok dengan sarung baharu ciptaannya itu ke kebun dan singgah minum kopi di warung, namun dia tidak menyangka ramai rakan sekampung tertarik dengan hasil tangannya lalu menempah sarung terbabit.
“Sejak itulah saya terima tempahan daripada orang ramai apabila rakan menyebarkan kebolehan saya kepada rakan mereka. Tapi kalau mahu ukiran yang pelik, saya tak mampu buatlah.
"Ukiran saya buat ikut kebolehan sendiri, tapi saya boleh buat tulisan ikut kemahuan pelanggan seperti nama pemilik dan sebagainya. Bentuk dan saiz sarung golok bergantung kepada golok terbabit. Saya juga terima tempahan sarung untuk pisau hinggalah pedang,” katanya.
Menurut Che Soh, dia membuat sarung golok dengan menggunakan paip PVC, yang mudah diperoleh di kedai perkakasan (hardware), bagi memastikan sarung itu lebih kukuh dan tampak menarik.
“Saya mahu buat kelainan. Biasanya jika orang buat sarung golok guna paip PVC, sangat ringkas, sekadar membungkus mata golok saja.
“Sebaliknya, saya cuba buat sarung ikut bentuk golok. Ia dipotong rapi, kemudian saya masukkan elemen ukiran. Sebelum digam di bahagian tepi sarung, saya ikat dengan tali tangsi agar lebih kukuh,” katanya.
Kata Che Soh yang mengusahakan sawah dan menoreh getah, tempoh pembuatan sarung golok atau pisau memakan masa sehari sahaja sekiranya kerja dilakukan sepenuh masa.
Menurutnya, harga bagi setiap sarung golok bergantung pada saiz dan harga tertinggi setakat ini adalah RM60, sementara harga maksimum sarung pedang mencecah sehingga RM200.
Katanya, dia berbangga kerana hasil kerja tangannya menarik minat ramai sehingga pelanggan dari negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak juga ada yang buat tempahan.
“Minat orang macam-macam hingga ada pelanggan sanggup menukar sarung kayu bernilai ratusan ringgit kepada sarung plastik yang saya buat,” katanya bapa kepada tiga cahaya mata berusia 21 hingga 29 tahun itu.
Menurut Che Soh lagi, antara ciri perlu ada pada setiap sarung golok buatannya adalah nombor siri yang ditulis sendiri dalam bahasa Cina, yang merupakan bilangan sarung dibuat misalnya ke-100 atau 200 unit.
Katanya, tempahan yang kebetulan jatuh pada bilangan mempunyai nombor sama seperti 111, 222 atau 333 dan seterusnya, merupakan pelanggan bertuah kerana Che Soh akan memberikan sarung itu secara percuma kepada mereka.
“Perkara wajib yang saya perlu buat pada sarung adalah mengikat tepi sarung dengan tali tangsi selepas menebuk lubang. Kalau pelanggan tidak mahu, saya akan tolak tempahan itu,” katanya.
Che Soh berkata, sarung itu tahan lasak dan mempunyai kelebihan berbanding sarung kayu kerana tidak mengembang atau mengecut sekiranya terendam di dalam air.
Bagaimanapun katanya, sarung itu akan melengkung jika diletakkan di bawah cahaya matahari tanpa golok di dalamnya, namun sekiranya golok tetap di dalam sarung, masalah itu tidak berlaku walaupun di bawah terik matahari.
"Saya sudah hasilkan hampir 900 sarung secara sambilan, yang menjadi pendapatan sampingan saya untuk menyara keluarga," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: