Friday, October 2, 2015
Kau Yang Satu, cabaran hebat Osman Ali?
WALAUPUN masih dalam proses akhir suntingan, filem adaptasi Kau Yang Satu, terbitan Global Station ini punya keunikannya sendiri.
Ia diakui sendiri pengarah filem tersebut, Osman Ali ketika pertama kali membuat pilihan antara novel yang akan diadaptasi ke layar.
Mengambil masa selama tiga tahun untuk membuat pemilihan, pengarah tersohor ini memberitahu dia akhirnya tertarik dengan penceritaan novel Kau Yang Satu hasil tulisan Nia Azalea, terbitan Alaf 21.
“Dalam banyak sinopsis antara novel yang diberikan kepada saya, saya tertarik dengan penceritaan Kau Yang Satu, ada tarikan tersendiri justeru, ia dipilih untuk diadaptasi.
“Namun pada mulanya, novel ini hanya mahu diadaptasi ke telefilem, tetapi pihak penerbit terfikir pula untuk difilemkan setelah melihat kepada jalan ceritanya,” katanya.
Disebabkan faktor masa dan kesibukan diri saya ketika idea untuk memfilemkan novel tersebut, maka ia telah tertangguh sehingga awal tahun ini.
“Alhamdulillah awal tahun ini, saya berjaya menyudahkan penggambaran filem Kau Yang Satu di beberapa lokasi.
“Antaranya di Kuala Lumpur, Pahang dan New Zealand dan bersyukur juga walaupun bajet filem ini sedikit rendah berbanding filem adaptasi saya yang lain, namun hasilnya Insya-ALLAH memuaskan hati,” katanya.
Pengarah filem Ombak Rindu ini juga mengakui pada awal pembacaannya ke atas novel itu timbul sedikit kerisauan untuk mengadaptasi novel tersebut kepada filem.
“Dari segi jalan penceritaan saya sedikit risau, kerana idea itu muncul ketika masih tidak banyak filem adaptasi ketika itu, namun apabila mengenangkan waktu sekarang, sudah banyak jalan cerita seperti itu bermain di pawagam.
“Oleh itu, cabaran bagi saya untuk pastikan ada perbezaan dengan drama yang telah keluar ketika itu dan filem yang sudah keluar ketika ini agar penonton masih nampak kesegarannya,” katanya.
Tolak adegan 'daring'?
Menurut Osman, untuk memfilemkan cerita dari novel adalah sesuatu yang mencabar bagi dirinya.
“Mana tidaknya, asal novel ini hanya mahu dijadikan telefilem dan skripnya juga sesuai untuk skop itu sahaja. Namun, untuk difilemkan banyak perkara perlu diubah semula.
“Oleh itu, dengan persetujuan pihak produksi, saya mengolah semula skrip agar tidak nampak filem itu seperti telefilem di wayang. Babak lokasi juga saya besarkan sinematografinya agar cantik untuk dijadikan filem,” katanya.
Walaupun skrip ada perubahan, namun Osman memberitahu, dari segi jalan cerita, langsung tidak berlaku perubahan.
“Saya ikut semua jalan cerita seperti dalam novel. Hanya watak pembantu yang dilihat tidak berapa penting saya kurangkan.
“Watak utama semua saya kekalkan dengan perwatakan seperti yang dibayangkan dalam novel. Itu penting kerana pembaca mahukan penceritaan dan watak sama dengan apa yang mereka gambarkan ketika membaca novel,” katanya.
Sebagai pengarah filem, Osman perlu memikirkan hal sensitiviti penonton dalam banyak adegan filem termasuk untuk adaptasi cerita tersebut.
“Ada gambaran yang terlalu berani dalam novel yang tidak sesuai untuk dipersembahkan kepada penonton. Jika mengikut babak dalam novel, penulis agak berani memberi gambaran adegan 'daring' kepada pembaca, tetapi di atas layar kita tidak boleh memberi gambaran sama seperti itu, ada tapisan perlu diikuti.
“Oleh itu, saya cuba persembahan dengan cara berbeza tanpa adegan 'daring' yang terlebih, lebih selamat dan sesuai di samping mahu jaga sensitiviti penonton,” katanya.
Dibintangi Aaron Aziz dan Izara Aisyah, filem ini dijangka menemui penonton awal tahun hadapan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: