JAKARTA telah mengambil beberapa langkah untuk menangani krisis jerebu tersebut termasuk memberkas eksekutif dari tujuh syarikat yang didakwa terlibat dalam aktiviti pembakaran hutan terbabit.

Bagaimanapun, banyak pihak menggesa kerajaan Indonesia supaya menggandakan usaha mereka berikutan masalah tersebut masih gagal diatasi hingga kini.

Kenyataan lantang Timbalan Presiden, Jusuf Kalla yang enggan memohon maaf atas insiden kebakaran hutan tersebut turut mencetuskan kemarahan penduduk negara jiran mereka.

Menurut saintis di Pusat Penyelidikan Perhutanan Antarabangsa, dana semasa untuk menangani kebakaran hutan tersebut adalah terlalu sedikit dan negara Asean yang terjejas akibat jerebu itu disarankan supaya memperuntukkan  AS$10 bilion (RM44 bilion) bagi mengatasi masalah tersebut pada masa hadapan.

Selain itu, undang-undang perladangan juga perlu diperketat dan syarikat yang beroperasi di kawasan terbabit perlu diberi pendedahan mengenai kesan penebangan hutan kerana jika tidak ekonomi serta hubungan serantau akan terus terjejas.

Undang-undang perladangan menetapkan mana-mana syarikat yang disabit bersalah membersihkan kawasan tanaman dengan aktiviti pembakaran boleh dikenakan denda AS$700,000 (RM3 juta) dan pengurusan mereka pula bakal berdepan hukuman penjara 10 tahun.

Baru-baru ini, Mahkamah Agung Indonesia mendapati syarikat pengeluar minyak sawit, PT Kallista Alam bersalah kerana membakar hutan simpan di Aceh secara haram pada 2012.

Susulan daripada itu, mereka diarah membayar denda AS$25.3 juta (RM112 juta).

Wakil kumpulan pencinta alam mendakwa walaupun langkah tegas telah diambil, beberapa syarikat terbabit masih melanggar undang-undang.

“Kami boleh melihat ‘hubungan erat’ terjalin antara sektor swasta dan kerajaan.

“Situasi seperti ini yang boleh membawa kepada amalan rasuah dan ia seharusnya ditangani secara serius oleh kerajaan,” tegas Indradi.

Beliau turut menyambut baik penahanan tujuh eksekutif yang didakwa terlibat dalam pembakaran hutan terbabit, namun proses untuk menghukum syarikat terlibat adalah sangat lambat dan mungkin mengambil masa beberapa tahun berikutan bukti sukar diperoleh.