Saturday, October 17, 2015

Berhabis demi kucing Sphynx



kucing
Kesemua kucing ini terdiri daripada baka asli dan mempunyai sijil CFA.
BAYAN LEPAS - Kerana hobi dan mahukan binatang peliharaan lain daripada lain, sebuah keluarga di sini, sanggup berhabis wang sebanyak RM5,000 semata-mata mahu mendapatkan kucing dari jenis Sphynx.

Normah Mohd Darus, 60, berkata, mereka sekeluarga meminati spesies kucing eksotik ini kerana ia tidak mempunyai bulu seperti kucing biasa.

Menurutnya, jika dilihat dari rupa fizikal, Sphynx seperti seekor kucing yang garang.

“Namun sebenarnya ia sangat manja dan mudah dijaga. Kami sekeluarga memanggilnya dengan nama Honey Boy.

“Hampir setiap malam Honey Boy tidur dengan kami dan memang suka dibelai setiap masa,” katanya.

Berasal dari Melaka, Normah menceritakan Honey Boy lebih suka dipangku berbanding diletakkan dalam sangkar ketika berada di dalam kereta.

“Kucing ini sebenarnya kalau dinilai dari fizikal, ia semakin cantik apabila lebih banyak kedutnya, tetapi bila banyak kedutnya pula, kita perlu mengelap badannya dengan lebih kerap kerana ia berminyak, maklumlah ia tak berbulu.

“Kalau ia duduk sahaja di rumah ia hanya perlu dicuci dua minggu sekali sudah memadai,” katanya.

Mempunyai sepasang Sphynx, wanita ini turut mempunyai puluhan kucing lain di rumah termasuk kucing kampung.

Normah adalah salah seorang daripada peserta yang menyertai Pertandingan 1st KBJ Penang Thr Cat Fanciers Association (CFA) International di Kompleks Bukit Jambul.


Bawa kucing ke pertandingan antarabangsa

Turut menyertai pertandingan itu, seorang doktor kulit dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) pula sanggup membawa haiwan peliharaannya itu ke peringkat antarabangsa untuk dipertandingkan.

Dr Moonyza Kamil, 35, memelihara kucing sejak 10 tahun yang lalu.

Menurutnya, hobinya itu turut disokong suaminya yang juga sering kali mengikutnya ke mana-mana untuk acara kucing disertai.

“Jika tanpa sokongan suami, mungkin hobi saya ini akan terkubur begitu sahaja,” katanya.

Moonyza meminati kucing dari jenis eksotik atau lebih tepat Parsi yang hampir menyerupai Garfield.

Kucing yang dimilikinya itu begitu comel sehingga pernah memenangi pertandingan di peringkat antarabangsa dan juga dalam negara.

Mempunyai empat orang anak, Moonyza mengakui hobinya itu mendatangkan rasa tenang setelah melalui kesibukan kerja seharian.

“Kalau hendak kata tentang wang ringgit, memang banyak yang saya habiskan, tetapi itu bukanlah ukurannya,” katanya.


Biak kucing untuk persembahan

Bagi, Noorhayati Abdul Aziz Johar, 40, pula dia membiakkan kucing untuk tujuan persembahan.

Menurutnya, baka kucing asli dari spesies British Short Hair yang dimilikinya sememangnya mendatangkan kepuasan tersendiri.

“Kucing-kucing yang dibawa untuk persembahan ini mempunyai sijil masing-masing yang diperakui di peringkat antarabangsa,” katanya turut menyertai pertandingan itu.

Mempunyai 17 ekor kucing eksotik di rumah, wanita yang juga usahawan ini seronok menyertai pertandingan kucing yang diadakan di seluruh negara.

“Saya tidak kisah sama ada kucing saya menang ataupun tidak, yang penting ialah saya dapat meluangkan masa bertemu dengan kawan-kawan yang juga pemilik kucing.

“Selain itu, kami dapat berkongsi ilmu pengetahuan,” katanya.


Beri pendidikan kepada pemilik kucing

Dalam pada itu, pemilik Petzilla Cat 1-Stop, Zeti Norin Omar, 33, yang juga penganjur acara tersebut berkata, pertandingan itu diadakan bagi memberi pendidikan kepada pemilik kucing.

Dia tidak menafikan masih ramai di antara mereka yang gagal mendapatkan maklumat mengenai penjagaan yang betul.

“Sebagai contohnya, ada di antara pemilik yang hanya tahu kucing mereka dari jenis Mancoon ataupun British Short Hair, tetapi tidak mengetahui sama ada baka yang dimiliki itu adalah asli atau sudah dikacukkan.

“Apa yang lebih membimbangkan apabila, penjual cuba mengenakan dengan harga yang lebih tinggi, sehingga peminat kucing tertipu,” katanya.

"Dengan adanya sijil dari CFA, orang ramai boleh mengenal pasti keaslian baka kucing," katanya.

Katanya, keburukan mencampuradukkan kucing asli ini dengan baka yang salah berkemungkinan mendatangkan pelbagai kesan negatif.

"Antaranya kucing lebih mudah mendapat sakit serta rupa bentuk fizikal tidak seperti diinginkan.

“Seperti spesies Mancoon sendiri kita tahu ianya besar dan panjang, tetapi apabila salah pembakaan, ada yang merungut kenapa Mancoonnya lebih kecil tidak seperti orang lain.

“Malah ada kucing yang mendapat sakit pinggang serta banyak penyakit lain," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: