|
EDISI ke-13 acara tahunan Pertandingan Seni Warisan Tanjong mendapat penyertaan ramai penggiat seni tempatan termasuk penglibatan pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Tahun ini, seramai 1,271 peseta menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh Tanjong plc (Tanjong) berbanding 1,085 tahun lalu. Daripada jumlah tersebut, 490 hasil karya telah dimasukkan dalam senarai akhir yang turut disertai oleh 22 IPT awam dan swasta.
Pertandingan tersebut adalah sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat Tanjong dengan menyaksikan peningkatan ketara dalam bilangan peserta, terutamanya pelajar IPT.
Pengerusi Tanjong, Datuk Robert Cheim berkata, penganjuran pertandingan itu adalah sebagai wadah untuk membolehkan bakat muda memaparkan karya seni mereka di samping menyumbang kepada kekayaan dan kesinambungan tradisi kebudayaan Malaysia.
"Pertandingan ini telah berkembang pesat sejak ia diperkenalkan. Kami gembira melihat kualiti peserta yang mencerminkan pertumbuhannya. Ini satu petanda baik kepada tahap pendidikan seni di Malaysia. Diharap mutu dan kualiti seni pelukis tempatan dapat dikekalkan atau dipertingkatkan pada masa hadapan," ujarnya dalam ucapan perasmian pertandingan baru-baru ini.
Akademi Seni Dasein mencuri tumpuan apabila berjaya memenangi lima kategori utama selain menyandang gelaran juara dalam kategori seni cetak.
Salah seorang pemenang yang mewakili akademi itu ialah Lim Zieshan dengan memenangi hadiah utama dalam kategori Lukisan Warna Air dan hadiah sagu hati dalam kategori Minyak/Akrilik. Selain itu, Yong Kang Yun dari akademi sama meraih kemenangan berganda apabila memenangi kedua-dua hadiah sagu hati dalam kategori Lukisan Warna Air.
Sementara itu, Kolej Universiti Selatan, Johor yang mengambil bahagian buat kali pertama meraih tempat kedua dalam kategori Lukisan Warna Air menerusi pesertanya iaitu See Ca Dai. Dia menghasilkan karya menggunakan medium cat air yang bertajuk Parade Worshipping Gods.
Panel hakim terdiri daripada Prof. Madya Jalaini Abu Hassan, Prof. Madya Fauzan Omar, Elizabeth Cardosa, Dr. Kim Phaik Lah, Wairah Marzuki dan Laurence Loh. Kesemua mereka merupakan penggiat seni yang disegani dalam bidang seni dan warisan.
Tanjong dan anak syarikatnya memainkan peranan aktif dalam menyokong pelbagai aktiviti pembangunan seni dan sukan setiap tahun. Melalui penganjuran pelbagai program, Tanjong berharap untuk terus memainkan peranannya sebagai entiti korporat yang bertanggungjawab kepada masyarakat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: