|
ISU teguran penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pernah menjadi panas minggu lalu.
Ada yang mengkritik hebat penyanyi tersebut dan tidak kurang juga yang menyokong tindakan Siti kerana dianggap sebagai berani menegur.
Bagaimanapun, selang beberapa hari selepas itu, akui Siti sendiri, setelah membuat kenyataan kepada akhbar dan dan beberapa program hiburan, isu tersebut kembali reda.
“Apa-apapun, tidak perlu panjangkan cerita tentang isu tersebut. Ini kerana masyarakat sudah faham apabila saya telah terangkan dalam program Melodi serta di akhbar apakah tujuan saya tulis begitu.
“Jadi, cukuplah rasanya, ada yang boleh faham. Diharap perkara ini tidak usah diungkit lagi,” jelas Siti ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Festival Muzik Asia-Jepun yang bertempat di Kediaman Duta Jepun, Kuala Lumpur.
Selain itu, ketika ditebak persoalan mengenai teguran Roslan Aziz tentang isu jangan terlalu banyak (klon) Siti Nurhaliza kepada peserta Akademi Fantasia 2013 baru-baru ini, jawab Siti, dia faham dengan kenyataan Roslan itu.
“Saya tiada masalah, mungkin mereka gemar dan mahu jadi seperti saya. Namun, dari sudut keunikan menjadi artis, memang perlu ada trademark sendiri.
“Saya faham apa yang dimaksudkan oleh Roslan. Tiada masalah kerana sebelum ini juga saya pernah bekerjasama dengan dia,” jawab Siti.
Wakil Malaysia ke Jepun
Sementara itu, berbicara mengenai Festival Muzik Asia-Jepun, tutur Siti, dia berbangga dijemput oleh pihak kedutaan Jepun bagi mewakili Malaysia selain perasaan teruja.
Siti merupakan antara 12 penyanyi terkenal yang mewakili negara Asia seperti Filipina, Laos, Myanmar, Singapura, Thailand, Vietnam, Brunei, Kemboja dan Indo- nesia, selain Jepun sebagai tuan rumah.
|
“Ini merupakan jemputan yang dinanti-nantikan setelah sekian lama tidak pergi ke Jepun. Ini kali kelima saya ke Jepun yang mana pertama kali pada tahun 1998.
“Saya pernah pergi ke Saga, Osaka, Yokohama dan terakhir di Tokyo untuk mengadakan persembahan.
“Saya akan cuba untuk membuat persembahan yang terbaik dan melihat ia sebagai salah satu tanggungjawab untuk membantu mereka yang dilanda musibah, melalui muzik.
“Itu satu kebaikan muzik yang mana ia menyatupadukan dan saling membantu walaupun berbeza agama, bangsa dan negara.
“Itu merupakan keistimewaan muzik,” tuturnya yang bakal menyampai tiga buah lagu secara medley iaitu Nirmala, Biarlah Rahsia dan lagu terkenal Jepun, Koibito Yo.
Turut hadir pada majlis sidang akhbar tersebut, Duta Jepun sendiri iaitu Shigeru Nakamura yang berbesar hati dengan kehadiran Siti untuk membuat persembahan di festival tersebut kelak.
“Festival ini merupakan antara acara terbesar yang diadakan di Jepun. Sebelum ini hanya artis Jepun sahaja membuat persembahan.
“Namun kali ini, atas permintaan, buat julung-julung kalinya kami menggabungkan artis terkenal negara Asia untuk membuat persembahan atas satu pentas.
“Selama dua setengah tahun menjadi duta di Malaysia memberi saya peluang untuk mendengar muzik di sini.
“Dari situ, saya mengenali Datuk Siti dan menjemputnya sebagai wakil Malaysia untuk ke sana,” tutur Nakamura tentang pemilihan Siti.
Konsert Festival Muzik Asia-Jepun ini merupakan festival yang diadakan sempena mengutip dana bagi mangsa tanah runtuh yang berlaku di Jepun.
Ia bakal diadakan di Dewan NHK, Tokyo, Jepun pada 28 November ini.
Siaran rakamannya akan disiarkan di Jepun pada 15 Disember melalui stesen NHK World Premium.
Antara artis yang hadir ialah Datuk Siti Nurhaliza, Agnes Monica, Exile, AKB48, W-inds, Christian Bautista, Bird Thongchai McIntyre dan ramai lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: