Wednesday, November 20, 2013

Kualiti Forteen



TIGA tahun bertatih dalam industri seni suara, bermula dengan lagu single Berdua Bersatu, Seperti Dulu dan Kita, kini kumpulan Forteen mampu menghembuskan nafas lega.
Dianggotai oleh empat orang anak muda, Muhammad Ridzuan Sharifuddin (One), Saiful Ridzuan Abd Hamid (Ariz), Mohd Arif Ameerais Azhar (Ameer), dan Muhammad Izzul Islam Mazlan (Izzue), perjalanan kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2011 ini semakin lancar.
Buktinya, mereka bakal melancarkan album sulung yang masih belum berjudul dan memuatkan enam buah lagu pada awal Disember depan.
"Alhamdulillah, selepas tiga tahun dan tiga single yang berjaya menarik perhatian peminat akhirnya kami akan lahir dengan album sulung yang amat dinanti-nantikan oleh kami sendiri.
"Album ini amat bermakna buat kami semua. Menariknya, daripada enam buah lagu, terdapat sebuah lagu yang berjudul Ketika Ini dicipta oleh Yusry selebihnya oleh Edry," ujar One.
Celah Izzue, sejujurnya mereka sendiri tidak menyangka perjalanan seni Forteen akan bertahan dan direstui peminat sehingga ke hari ini.
Tahun pertama kemunculan mereka, ramai yang mempertikaikan bakat serta kemampuan mereka menyanyi secara langsung berbanding rupa paras yang menarik.
"Mulanya pada tahun pertama, kami uji pasaran terlebih dahulu. Takut juga sebab zaman boy band seperti kami sudah berlalu.
"Kami masih ingat, susah juga masa mula-mula jadi penyanyi. Walaupun kami artis di bawah KRU, ramai yang memberi tanggapan kami guna mesin untuk menyanyi.
"Kami membuktikan dengan menyanyi secara langsung dalam setiap persembahan. Selain itu kami juga telah diiktiraf sebanyak dua kali dengan anugerah Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 19 dan AIM 20," kata Izzue.
Disoal di manakah letaknya kualiti kumpulan Forteen selain paras rupa yang menarik? Berfikir sejenak, ucap One, kualiti mereka terletak pada vokal dan persembahan.
Malangnya, pada Separuh Akhir Muzik-Muzik 28 minggu lalu, persembahan mereka menghampakan dan mengundang kritikan pedas di laman sosial Twitter.
Menjawab pertanyaan mengenai kualiti vokal dan persembahan Forteen, faktor kesihatan banyak mempengaruhi aksi mereka di pentas.
FORTEEN mahu memastikan karier mereka bertahan lama.


"Kami bukan robot dan ada masanya kami penat dan tidak boleh memberikan persembahan terbaik, ada masa masalah teknikal atau kesihatan mempengaruhi.
"Tapi kami sudah memberikan persembahan sebaik mungkin, inilah cabaran kami. Apa yang penting, peminat berpuas hati," katanya yang memberitahu, Forteen baru usai mengadakan persembahan di Singapura dan Sarawak baru-baru ini.
Menganggap perjalanan selama tiga tahun merupakan satu permulaan, tambahnya, mereka tidak mampu mengawal dan menentukan selera peminat yang bebas membidas bila-bila saja.
"Kadangkala apabila membuat persembahan akan ada kesilapan kerana kami pun manusia. Kami terima kritikan dengan hati terbuka kerana kami pun masih baharu," ujarnya.
Bukan itu sahaja, balas Ameer, keserasian dan hubungan rapat antara mereka juga menjadi sebab utama kejayaan mereka hari ini.
Tidak perlu berpura-pura di hadapan peminat dan mereka bebas menjadi diri sendiri membuatkan peminat juga senang mendampingi setiap anggota Forteen.
"Kami memang rapat seperti adik-beradik walaupun pada mulanya saling tidak mengenali antara satu sama lain. Jika ada masalah, ia akan selesai dengan segera kerana kami cukup memahami antara satu sama lain.
"Keserasian itu amat penting untuk sesebuah kumpulan bertahan lama. Kalau boleh kami mahu Forteen bertahan selama yang mungkin," tutur Ameer.
Minat fesyen
Jika dilihat dari awal kemunculan Forteen sehingga kini, mereka cukup konsisten dalam mengekalkan imej yang menjadi ikutan ramai peminat.
Sentiasa tampil segak, segar dan stailo ke mana sahaja mereka pergi membuatkan Forteen sentiasa menjadi perhatian lensa kamera.
Tutur Ariz, kerjaya mereka sebagai artis memerlukan mereka sentiasa tampil kemas sepanjang masa dan mereka langsung tidak terbeban dengan tugas itu.
"Kami memang menitikberatkan soal imej. Pakaian, rambut, kasut, semua diambil kira. Maknanya, bukan ketika persembahan sahaja kami tampil dengan kemas, sebaliknya di luar waktu bekerja juga kami sudah terbiasa begitu.
"Sekarang teknologi cukup canggih, terus ke internet. Jadi, ke mana sahaja kami pergi walaupun ke kedai makan atau pergi ke pusat beli-belah, kami harus bersedia untuk peminat bergambar dengan kami. Jika tidak kemas dan tidak terurus, secara tidak langsung memburukkan imej Forteen," luah Ariz.
Sambung Izzue, sungguhpun begitu, ini tidak bermakna mereka memakai pakaian formal sepanjang masa sebaliknya imej dan pakaian disesuaikan dengan lokasi yang ditujui.
"Memang kami suka berfesyen dan nampak stailo sepanjang masa tetapi tidaklah sampai pakai kot untuk masuk ke 7-Eleven (ketawa). Itu sudah melampau, kami pun manusia biasa.
"Mungkin kami hanya pakai baju-T atau pakaian kasual tetapi cukuplah sekadar sedap mata memandang. Bukan untuk orang yang melihat tetapi kepuasan diri sendiri juga," kata Izzue.

GAGAL menyanyi dengan baik pada separuh akhir Muzik-Muzik 28 minggu lalu, Forteen mendakwa mereka bukan mesin yang akan sentiasa memberi persembahan terbaik.


Azam 2014
Tidak hanya menyanyi, Izzue juga dikenali sebagai pelakon popular. Sudah banyak filem serta drama lakonannya yang mendapat perhatian peminat.
Bagaimanapun, penghujung tahun ini, Izzue menolak semua tawaran lakonan demi memberi fokus kepada promosi album sulung kumpulan Forteen.
"Jujurnya, kadangkala saya rasa bersalah apabila tidak bersama Forteen dalam mana-mana persembahan disebabkan jadual yang bertindih dengan penggambaran drama atau filem.
"Nasib baik anggota lain cukup memahami dan tidak pernah mempersoalkan ketiadaan saya. Sebab itu, saya sanggup mengambil cuti daripada lakonan demi album Forteen kerana mereka juga sudah cukup berkorban untuk saya," kata Izzue.
Tutur One, dia berasa terharu apabila Izzue sanggup mengosongkan jadualnya demi Forteen sedangkan mereka semua tahu, dalam kumpulan itu Izzue merupakan anggota yang paling sibuk.
"Kami semua cukup terharu, dia sanggup tolak tawaran lakonan yang bermakna tolak duit tambahan demi Forteen. Itu sudah cukup membuktikan komitmen Izzue terhadap Forteen," jawab One.
Bukan sahaja muncul dengan album, tahun 2014 merupakan tahun yang padat buat Forteen. Mereka merancang untuk mengadakan sebuah showcase khas pada hujung Januari tahun depan di KL Life Centre.
"Ini merupakan showcase pertama kami sejak penubuhan Forteen. Ini hadiah buat peminat yang selama ini menyokong kami. Berkemungkinan besar kami akan menyanyi antara satu hingga 12 buah lagu.
"Buat peminat yang ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang showcase ini boleh dapatkan di Facebook, Twitter serta laman web rasmi kami dan KRU," kata Ariz.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: