![]() |
SEBAGAI sebuah negara dengan populasi penduduk Islam terbesar di dunia, Indonesia mempunyai permintaan yang tinggi terhadap pakaian yang memenuhi syarak dan menekankan kesopanan wanita.
Pada Minggu Fesyen Jakarta (JFW) yang berlangsung pertengahan Oktober lalu, para peserta tampil mendedahkan koleksi pakaian Muslim yang penuh bergaya, berwarna-warni dan ternyata menarik. Ini sekali gus mempelawa negara-negara Asia Tenggara yang lain untuk memasang hajat menjadi peneraju global dalam industri fesyen Islam yang nilainya dianggarkan mampu mencecah hampir AS$100 bilion (RM319.65 billion).
Sehubungan itu, kerajaan Indonesia mengalu-alukan penglibatan pereka muda dalam dunia fesyen dan perniagaan yang mempunyai pasaran berpotensi melibatkan tiga bilion pengguna di seluruh dunia, sekali gus menyumbang kira-kira AS$15 bilion (RM47.95 bilion) kepada ekonomi.
"Kita boleh menjadi pemacu trend," kata Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Mari Pangestu.
Mencabar stereotaip
Sering dianggap sebagai konservatif dengan pakaian lengkap menutupi kepala sehingga ke kaki, tafsiran mengenai fesyen Muslimah turut dipengaruhi tradisi dan penghormatan yang diamalkan di negara-negara Islam seperti Arab Saudi dan Afghanistan.
![]()
DIAN (kiri) bersama model dan baju rekaannya.
|
Namun, itu bukan realitinya di negara seperti Malaysia dan Indonesia. Di kedua-dua negara tersebut, fesyen Islam tampil lebih sederhana dan menarik.
Sungguhpun selendang atau tudung berserta pakaian longgar dan tidak telus yang menutup aurat merupakan tuntutan pemakaian dalam Islam, tiga anak muda dari Indonesia yang mengambil langkah sulung di JFW, jelas mencabar stereotaip menerusi koleksi pakaian sedia untuk dipakai mereka.
Nur Zahra mempamerkan rekaan rakyat bertemakan Folk Solitude dengan menggunakan fabrik organik yang warna-warni, terutamanya indigo dan khaki. Semua koleksinya bercirikan kasual dengan penerapan elemen keselesaan tanpa mengabaikan gaya.
Folk Solitude adalah fesyen yang diinspirasikan daripada pengaruh Eropah Timur seperti tunik longgar, jaket panjang, seluar slim fit dan kapas voile.
Koleksi tersebut juga diperkayakan dengan corak-corak geometri unik shibori Jepun yang terhasil melalui teknik ikat celup dan batik Indonesia.
Dalam pada itu, koleksi Eastern Opulence oleh Jenahara Nasution mempersembahkan rekaan potongan bergaya dengan lapisan organdi dan sifon beralun yang dipenuhi sulaman tradisional Tasikmalaya dari Jawa Barat.
"Misi saya selama ini ialah untuk menghasilkan pakaian yang boleh membuatkan wanita Muslimah kelihatan mempersona," kata Jenahara yang berusia 27 tahun.
Dia sedang berunding dengan ejen dari Milan untuk memasarkan jenamanya, Jenahara, ke Itali, Rusia dan Dubai.
Jenahara memberitahu, kapasti pengeluarannya telah meningkat hampir dua kali ganda sejak tahun lepas.
"Ejen itu tampil dengan tempahan permulaan sebanyak 200 helai untuk setiap musim.
"Tetapi selepas mereka melihat koleksi saya, mereka mahu saya menandatangani kontrak tiga tahun," ujarnya.
![]()
REKAAN minimalis Jenahara dalam tona monokromatik sesuai dengan cita rasa Barat.
|
Pasaran eksport
Sementara itu, Dian Wahyu Utami yang tampil dengan label Dian Pelangi mempamerkan fesyen tahun 1960-an dengan persembahan warna-warna terang dalam cetakan batik.
Dian, yang kini memiliki jenama berusia 22 tahun yang dimulakan oleh ibu bapanya itu, tampil dengan persembahan fesyen sulung beliau lima tahun lalu di Melbourne, Australia.
"Ekoran sambutan menggalakkan yang diterima,saya sedar terdapat potensi antarabangsa untuk fesyen Muslim ini," ujarnya.
Dian Pelangi kini mempunyai cawangan di Malaysia, Singapura dan Brunei dengan para pelanggan dari Australia, Mesir, Emiriah Arab Bersatu, Jordan dan Kuwait.
Koleksi Dian Pelangi turut dijual di pameran-pameran fesyen yang diadakan di Perancis, Jerman, Hungary dan beberapa negara Eropah lain.
"Amerika Syarikat merupakan sasaran pasaran kami seterusnya. Saya juga ingin membuka butik sendiri di Asia Barat, bukan sekadar menjual koleksi pakaian ini di pusat-pusat beli-belah," ujarnya.
Ketiga-tiga pereka busana Muslim tersebut merupakan antara 12 pereka fesyen yang mengikuti program Indonesia Fashion Forward (IFF) 2013.
Mereka mendapat bimbingan secara langsung dari Center for Fashion Enterprise (CFE) di London yang membimbing peserta untuk menghasilkan rekaan bagi tujuan menembusi pasaran antarabangsa.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: