
ASIF merupakan warga Pakistan kedua yang memegang gelaran dunia selepas Mohammed Yousuf.
BINTANG sukan yang meningkat naik sering memberitahu, kejayaan tidak akan mengubah diri mereka. Adaptasi prinsip itu jarang disempurnakan kelompok tersebut tetapi satu-satunya juara snuker amatur dunia dari Pakistan, Mohammad Asif membuktikan dia setia pada kehidupan asalnya.
Kepulangan lelaki berusia 31 tahun itu selepas menjuarai kejohanan dunia tahun lalu diraikan bagai wira. Kisahnya dicanang pihak media, malah ahli-ahli politik Pakistan turut berbangga atas kejayaan Asif.
Namun status itu tidak mengubah cara hidup Asif. Dia selesa untuk terus menetap di rumah kecil yang terletak di Faisalabad, sebuah bandar perindustrian dalam wilayah Punjab. Malah, latihan snukernya tetap dijalankan di kelab bawah tanah yang terperuk lokasinya.
Asif mendedahkan bahawa dia tidak menerima ganjaran bernilai PKR100,000 (RM2,967) yang dijanjikan oleh pihak pemerintah kepadanya. Bagaimanapun, dia tidak kecewa atau menuntut bonus tersebut. Kejayaan tersebut telah menjadikannya seorang bintang di bandar yang pernah dikenali dengan gelaran Manchester of Pakistan itu dan penghargaan sebegitu sudah amat besar baginya.
"Ke mana pun saya pergi, saya berterima kasih kepada Tuhan kerana ramai orang menyayangi, mengambil berat dan berdoa untuk saya.
"Kini semua orang di bandar ini mengenali saya dan ia memberikan kepuasan yang amat indah," kongsinya.

MESKIPUN bergelar juara snuker dunia, Asif merupakan seorang lelaki yang pemalu.
Kenderaan
Perubahan terbesar dalam hidup Asif dapat dilihat pada kenderaannya. Dulu dia hanya menunggang motosikal tua tetapi kini dia memandu Toyota Corolla hitam lengkap tertera ayat M. Asif -- World Champion pada plat keretanya. Ia merupakan hadiah pemberian individu terkaya di Pakistan yang juga taikun hartanah, Malik Riaz.
Asif merupakan warga Pakistan kedua yang memegang gelaran dunia selepas Mohammed Yousuf yang memenangi kejuaraan yang sama hampir dua dekad lalu. Bagaimanapun karier Yousuf terkubur sebelum sempat menyinar.
Kekurangan dana yang dialami Persekutuan Biliard dan Snuker Pakistan (PBSF) memaksa mereka melupakan hasrat untuk menghantar pemain negara itu ke kejohanan tahun lalu di Bulgaria. Namun, sumbangan peribadi daripada beberapa pihak berjaya menerbangkan Asif ke kejohanan itu.
Lelaki pemalu dan kaya budi bahasa itu memastikan jasa pihak yang membiayai penyertaannya pada tahun lalu tidak sia-sia. Bagaikan kisah dongeng, Asif berjaya menewaskan pemain England, Gary Wilson dengan mata 10-8 pada pusingan akhir.
Kini dia bercadang untuk menyamakan pencapaian seperti rakan saingan bagi kategori profesional, Ronnie O'Sullivan yang berjaya mempertahankan gelaran juara dunia pada bulan Mei lalu selepas memenanginya pada tahun 2012.
"Saya telah bersedia untuk mempertahankan kejuaraan dan yakin untuk menang," ujar Asif yang bakal beraksi pada kejohanan yang akan diadakan di Latvia bermula 27 November ini.
Lelaki itu juga membantu Pakistan memenangi kejohanan berpasukan dunia pada bulan lalu di Ireland dan menyatakan pengalaman tersebut mengajarnya erti ketahanan mental.
"Kemenangan baru-baru ini telah menyuntik semangat dan mematangkan corak permainan saya. Saya belajar cara-cara menangani tekanan yang merupakan kunci utama dalam snuker," kongsinya.
Perjalanan hidupnya berjalan sempurna, perancangan Asif untuk bergelar pemain profesional menjelang tahun depan bakal terlaksana. Impiannya itu dicapai hasil kontrak tajaan bernilai PKR20,000 (RM593) daripada usahawan negara itu, Nadeem Omar.

ASIF tidak kekok berjalan bersendirian di sekitar tempat kediamannya di Faisalabad.
Sandang gelaran
Nama-nama ulung seperti Jimmy White, James Wattana dan Ken Doherty semuanya tersenarai sebagai bekas juara amatur. Setakat ini, hanya pemain Ireland, Doherty, yang pernah menyandang kedua-dua gelaran juara amatur dan profesional.
Biarpun sedang menikmati populariti luar biasa pada peringkat amatur di sekitar Pakistan, bintang snuker itu masih bergelut untuk menerima tajaan dan pendedahan di negara yang obses terhadap sukan kriket.
Bintang-bintang kriket negara itu hidup serba mewah, menerima bayaran tinggi dan kontrak tajaan untuk pelbagai syarikat dan jenama daripada bank sehingga produk penjagaan peribadi, sementara snuker pula terus dianaktirikan. Namun, usaha pemain-pemain amatur menaikkan sukan itu harus diberi pujian.
Bagi Asif, tidak wujud sebarang perbandingan antara kriket dan snuker.
"Snuker merupakan permainan yang baik. Secara teknikal, ia memberikan keseronokan yang tidak terkira. Anda perlu menewaskan musuh berseorangan tetapi di dalam kriket anda perlu bergantung sepenuhnya kepada ahli pasukan," katanya yang menyatakan bahawa sukan itu juga mempunyai sejarah yang gemilang di Pakistan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: