
AKSI penuh keterujaan Ryan Tedder selaku vokalis utama OneRepublic di pentas konsert.
KECERIAAN dan senyuman kepuasan jelas terpancar pada wajah lebih 5,000 peminat muzik khususnya pendengar tegar lagu-lagu kumpulan alternatif rock dari Amerika Syarikat (AS), OneRepublic.
Ini kerana persembahan hampir dua jam daripada grup tersebut sarat dengan intipati yang memenuhi citarasa audiens yang hadir menyaksikan konsert tersebut.
Berlangsung secara santai di pekarangan Surf Beach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, audiens ternyata sangat teruja dengan muzik yang dipersembahkan band yang berasal dari Colorado, AS itu.
Ini kali pertama OneRepublic menjejakkan kaki ke Malaysia kerana melangsaikan konsert jelajah dunia mereka yang diberi nama sempena album terbaharu mereka, Native.
Bertujuan untuk mempromosikan album ketiga mereka itu yang telah dilancarkan pada April tahun ini, OneRepublic terlebih dulu menjelajah Eropah dan Amerika Utara sebelum hadir ke rantau Asia pada pertengahan Oktober lalu.
Sepertimana sambutan di konsert jelajah mereka sebelum ini, suasana di Sunway Lagoon juga hangat.
Audiens sudah membanjiri lokasi konsert sejak pukul 6 petang lagi biarpun persembahan dijadualkan hanya bermula pada pukul 8.30 malam.
Persembahan dimulakan dalam suasana rancak apabila OneRepublic menyanyikan lagu pertama mereka, Don't Look Down dah keriuhan bertambah apabila kain putih yang melitupi segenap ruang pentas diturunkan.
Tidak menoleh ke belakang, band yang mengejutkan peminat dengan memakai topeng khas sempena perayaan Halloween itu terus mendendangkan lagu-lagu hit mereka dalam tempoh setengah jam pertama seperti Light It Up, Secrets, All the Right Moves dan What You Wanted.
Berhenti seketika untuk berinteraksi bersama penonton, kumpulan yang diketuai oleh Ryan Tedder sebagai vokalis itu sempat bergurau dengan memberitahu bahawa Sunway Lagoon merupakan destinasi menarik nombor satu di Asia.
Konsert diteruskan dengan energi hebat ditunjukkan oleh kumpulan yang turut dianggotai oleh Zach Filkins, Drew Brown, Eddie Fisher dan Brent Kutzle itu apabila menyampaikan lagu paling 'meletup', Stop & Stare.

PERJALANAN konsert yang hangat membara dengan persembahan lagu-lagu penuh bertenaga sukses dilakukan oleh OneRepublic menerusi konsert julung-julung kali mereka di Malaysia ini.
Hampir kesemua penggemar muzik yang hadir pada malam itu menyanyikan bersama lagu yang dipetik dari album debut mereka, Dreaming Out Loud sekali gus memperkenalkan OneRepublic di persada muzik antarabangsa sebelum berterusan 'merasuk' audiens dengan single terbaharu mereka, Counting Stars.
Zach selaku pemain gitar utama OneRepublic kemudian menonjolkan diri dengan teknik bermain gitar ala Sepanyol secara solo dengan cemerlang sebelum Ryan mengambil alih dengan bermain piano secara solo sambil menyampaikan lagu hit tahun 2008, Apologize selain turut diselitkan medley pendek lagu popular Justin Timberlake, Cry Me A River dan Yellow (Coldplay).
Walaupun hujan gerimis mula membasahi bumi, OneRepublic meneruskan misi mereka dalam membuai audiens dengan dua buah lagu dari album terbaharu mereka, Burning Bridges dan Preacher.
Kehangatan diteruskan dengan lagu popular Kanye West, Gold Digger yang diubah suai sesuai dengan konsep yang dibawakan oleh kumpulan pop rock ini.
Vokal Ryan terus diuji dengan menyanyikan single terbaharu OneRepublic, Can't Stop dan sebuah lagu sentimental, I Lived sebelum mengimbau kenangan penonton dengan menyampaikan dua buah single popular mereka, Marching On dan Good Life yang dipetik dari album kedua OneRepublic, Waking Up.
Seterusnya, bahang kehangatan persembahan OneRepublic mencapai klimaks menerusi alunan dua buah lagu terakhir, Feel Again dan If I Lose Myself.
Ia sehingga membuatkan penonton menyanyi bersama bagaikan tidak mahu konsert itu berakhir.
Setiap detik yang berlalu dalam tempoh hampir dua jam itu boleh diibaratkan seperti air yang mengalir di sungai kerana penonton merasakan masa berjalan terlalu pantas, sedangkan niat di hati mahukan kumpulan itu terus menghiburkan mereka.
Konsert yang dianjur dan dibawakan khas oleh JS Concert dan Hotlink itu mempunyai tarikan serta momen unik yang dapat memberi pengalaman indah buat penggemar konsert artis antarabangsa.
Persembahan OneRepublic yang bersahaja dan tampak matang mampu memberi inspirasi buat pengkarya muzik tempatan untuk berusaha lebih baik pada masa hadapan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: