Wednesday, November 6, 2013

Kalau Aku Kaya tak sindir sesiapa

AWI RAFAEL (kanan) dan Altimet kini muncul dengan single kolaborasi mereka, Kalau Aku Kaya.


KOLABORASI antara penyanyi solo mahupun berkumpulan bersama penyanyi rap atau rapper sering menjadi perhatian peminat muzik di negara ini dan kebiasaannya, ia akan menjadi hit untuk jangka masa yang panjang.
Terkini, lagu nyanyian penyanyi versatil yang berasal dari Singapura, Awi Rafael yang berkolaborasi dengan rapper terkenal, Altimet telah menjadi fenomena dan siulan orang ramai termasuk kanak-kanak kerana rentaknya yang cepat menarik perhatian.
Selain itu, mesej yang cuba diselitkan pada setiap bait lirik yang dinyanyikan itu cukup mendalam dan bererti untuk sesetengah orang secara tidak langsung memudahkan lagu itu diterima ramai.
Lontaran suara lunak Awi Rafael dan rap santai yang dihujahkan oleh Altimet mampu memberi semangat dan dorongan kepada para pendengar untuk mengejar cita-cita dalam mengecapi kehidupan lebih baik.
Berpeluang menonton buat pertama kali klip video rasmi lagu Kalau Aku Kaya ketika hadir pada majlis pelancaran di Malaysian Petroleum Club, Kuala Lumpur baru-baru ini sangat mengujakan.
Ini kerana konsep dan idea yang disampaikan berbeza dengan apa yang cuba ditonjolkan oleh mana-mana klip video tempatan sebelum ini.
"Idea dan konsep klip video ini datang daripada kami sendiri kerana saya telah bertanya kepada ramai orang mengenai makna judul Kalau Aku Kaya dan jawapan yang diterima berbeza-beza.
"Bagi sesetengah orang kaya, ia dinilai dengan berapa banyak wang yang disimpan di dalam akaun bank, tetapi bagi kami, kaya itu lebih daripada nilai serta kebebasan untuk melakukan apa yang kita mahu serta pengalaman," ujar Altimet ketika disoal mengenai makna di sebalik klip video tersebut.
Altimet menambah, dalam klip video tersebut, Awi memilih untuk menunggang sebuah motosikal vintaj yang memberi gambaran bahawa harga untuk sesebuah benda tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.
"Jika Awi kaya, tidak semestinya dia akan memilih untuk menunggang motosikal yang berharga ratusan ribu ringgit kerana apa yang penting adalah nilai dan pengalaman yang tidak boleh dijual beli," kata Altimet selain menegaskan definisi kaya berbeza bagi setiap individu.
Tambah Awi: "Persepsi setiap orang itu berlainan tetapi bagi Awi sendiri, kaya itu tidak semestinya kita kena pilih barang yang paling mahal. Ini kerana apa yang penting adalah nilai.
"Jadi, konsep sebegini yang kami mahu penonton di luar ambil sebagai iktibar kerana kami mahu mereka memilih nilai lebih daripada harga."
Klip muzik tersebut menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Grik, Perak. Ia mengambil masa sebulan untuk disiapkan.
Lirik lagu yang bersahaja serta mempunyai elemen lucu telah memberi impak yang lebih baik kepada pendengar dan mereka merasa sangat dekat dengan lagu ini kerana agak relevan seperti 'Biar aku belanja, subsidi gula' dan 'Aku betulkan semua lubang atas jalan raya' bagaikan mengerti kesusahan masyarakat dengan situasi sekarang.
"Lirik ini dibuat bukan untuk menuding jari ke arah mana-mana pihak kerana konsepnya santai dan saya juga telah bertanya teman-teman saya yang peminat tegar kereta dan ramai merungut terpaksa tukar sports rim dengan kerap kerana jalan raya yang berlubang.
"Kami menjalankan pertanyaan rambang kepada seramai 40 orang kesemuanya, dan hasil jawapan mereka telah memudahkan saya untuk menulis lirik lagu ini," ulas Altimet lagi.
Awi yang dikenali dengan lagu Pulanglah dan Bila Aku Jatuh Cinta turut memberitahu, idea untuk membawa lagu Kalau Aku Kaya ke pasaran Indonesia sudah ada tetapi perancangan mengenainya masih pada peringkat awal.
"Konsep itu ada dan mungkin bahagian rap yang dinyanyikan oleh saya akan diubah suai menjadi bahasa Inggeris," tambah Altimet yang pernah terkenal dengan lagu Kalau Berpacaran hasil kolaborasi bersama Ana Raffali dan Sohaimi Meor Hassan.
Klip video ini akan disiarkan kepada umum pada 7 November ini di saluran MTV di Astro (713) dan akan dimuat naik di YouTube dalam masa terdekat.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: