Thursday, November 21, 2013

Menangani kebocoran privasi di media sosial


MAKLUMAT peribadi yang diletakkan dalam laman sosial boleh disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.


JIKA Piramid Giza di Mesir disenaraikan sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban di dunia, internet sewajarnya mendapat pengiktirafan yang sama kerana membolehkan komunikasi tanpa sempadan yang begitu efektif.
Internet menjadi pemangkin kepada perkembangan media sosial yang membolehkan kita bertukar-tukar maklumat, menambah kenalan, berkongsi gambar dan banyak lagi. Namun di sebalik fenomena media sosial ini, ramai yang masih tidak menyedari sejauh mana maklumat, gambar atau video yang dikongsikan boleh memberi impak kepada kehidupan seharian.
Sama ada sedar atau tidak, sebagai seorang pengguna laman media sosial, beberapa maklumat sering dikongsikan antaranya jantina, umur, nombor telefon, alamat e-mel dan lain-lain.
Namun, maklumat tersebut boleh menjadi tatapan umum, tidak terhad kepada kenalan sahaja. Sebagai contoh, pengguna menghantar status (termasuk gambar atau video) sebagai ‘public’ (umum) tanpa mengehadkan akses di bahagian Aturan Privasi.
Sesetengah maklumat boleh dilihat oleh umum secara automatik. Dalam keadaan ini, pengguna perlu mengubah sendiri aturan privasi bagi memastikan maklumat tersebut boleh diakses oleh kenalan sahaja. Laman media sosial boleh mengubah polisi privasi anda pada bila-bila masa sahaja.
Jika ini berlaku, kandungan yang dulunya dikongsikan dengan aturan privasi tertentu mungkin boleh dilihat umum sebaik sahaja polisi tersebut diubah oleh penyedia laman sosial
Disebabkan itu kenalan di dalam rangkaian sosial boleh memuat turun sesuatu gambar, mengambil cekupan skrin status mahupun mengepos semula yang melangkau segala aturan privasi yang telah ditetapkan.
Risiko kebocoran privasi
Maklumat peribadi yang dikongsikan dalam laman sosial boleh disalah guna oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Penggodam mudah mengumpul maklumat peribadi pengguna laman sosial sehingga dapat mengakses aset dalam alam maya seperti akaun bank.
FIKIR dengan akal waras sebelum meletakkan sebarang gambar atau maklumat peribadi dalam laman media sosial.


Sebagai contoh, dengan mengetahui umur, jantina, alamat e-mel dan nombor telefon, penggodam boleh menggunakan taktik menghantar e-mel yang menyerupai e-mel daripada institusi perbankan bagi mendapatkan butiran perbankan elektronik.
Butiran peribadi yang diperoleh juga boleh digunakan untuk meyakinkan mangsa dengan taktik menyamar sebagai wakil pihak bank bagi membuat pengesahan kad kredit, kad ATM dan fasiliti perbankan yang lain. Pengguna boleh tertipu kerana butiran yang dibacakan adalah tepat dan menyangkakan panggilan itu dibuat oleh pihak bank.
Sejak akhir-akhir ini, terdapat pelbagai video peribadi yang dikongsikan kepada jutaan pengguna internet yang lain. Video yang mungkin pada asalnya hanya dikongsikan oleh teman di dalam laman media sosial telah dikongsikan dan dimuat naik ke laman Youtube bagi tontonan umum.
Pemilik video tersebut pastinya berasa tertekan dengan situasi tersebut kerana tidak menyangka ia boleh tersebar luas.
Meminimumkan kebocoran privasi
Sebagai pengguna laman media sosial, kita bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang dikongsikan. Tip berikut boleh dijadikan panduan untuk mengehadkan perkongsian maklumat, video mahupun gambar daripada diakses oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Elakkan dari menetapkan status, memuat naik gambar mahupun video yang boleh mengguris perasaan individu lain. Tanya diri sendiri sama ada apa yang ingin dikongsikan itu boleh menyentuh peribadi seseorang, agama mahupun sensitiviti kaum.
Kongsikan gambar atau video hanya kepada teman rapat dan bukan sewenang-wenangnya kepada semua kenalan di media sosial. Tidak semua kenalan dalam laman media sosial itu dikenali di dalam dunia realiti.
Wujudkan kumpulan pengguna bagi memudahkan perkongsian media. Contohnya, gambar majlis perkahwinan saudara kita, dikongsikan hanya dalam kumpulan pengguna ‘keluarga’.
Sentiasa menganggap ada ‘mata dan telinga’ di sebalik ratusan ‘teman’ di rangkaian media sosial yang sentiasa menjadi ‘perisik’ dan memerhatikan aktiviti kita. Ia dapat membantu kita dalam membuat keputusan ‘perlu atau tidak’ untuk berkongsi sesuatu maklumat itu
Gunakan akal yang waras dan bukan emosi dalam mengepos status. Tiada gunanya memaki hamun atau memarahi mereka yang tidak ada di dalam rangkaian media sosial kita, sebaliknya ia menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan teman-teman kita. Ia juga mencerminkan keperibadian kita yang sebenar.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: