Thursday, November 21, 2013

Jaminan rasa, keaslian minuman



PANAS terik ketika pulang dari kelas harian, membuatkan tekaknya kering dan mendambakan tegukan air sejuk. Lantas dia menuju ke sebuah kedai serbaneka berhampiran untuk membeli minuman botol perisa kacang soya.
Ketika menikmati kesegaran minuman kegemarannya sejak kecil itu, Aishah Kamaruddin, 24, tertanya-tanya bagaimana proses pembotolan dilakukan.
“Setiap kali membeli minuman botol, pasti saya tertanya bagaimana ia diproses. Adakah minuman dalam botol itu akan memberi kesan terhadap tahap kesihatan seseorang dalam jangka masa panjang?,” katanya ketika ditemui Infiniti baru-baru ini.
Keraguan pelajar jurusan ekonomi di sebuah kolej swasta di ibu negara itu merupakan antara persoalan yang sering bermain di fikiran sesetengah pengguna yang prihatin terhadap kesihatan diri dan alam sekitar.
Kesedaran pengguna berhubung makanan sihat dan keselamatan makanan yang diproses pada hari ini menuntut pihak pengeluar untuk mencari alternatif baharu dalam menghasilkan makanan atau minuman seperti yang dapat dilihat dalam industri pembotolan.
Sehingga kini, pelbagai inovasi telah dilakukan dalam mencari solusi kepada penghasilan botol yang berkualiti dan selamat digunakan.

RASA minuman menjadi lebih enak dan menyegarkan selepas menggunakan teknologi isian sejuk aseptik.


Teknologi baharu
Salah satu syarikat yang komited dalam mengejar teknologi terkini dalam industri minuman tempatan ialah Yeo Hiap Seng (Malaysia) Berhad (Yeo’s). Baru-baru ini, syarikat itu telah memperkenalkan teknologi isian sejuk aseptik dalam penghasilan produk minuman dalam botol.
“Sebelum ini, ia telah dipraktikkan dalam penghasilan minuman kotak dan tin Yeo’s. Menerusi kajian yang dilakukan, kaedah sama boleh digunakan dalam produk botol,” kata Ketua Pegawai Operasi Yeo’s, Ong Chay Seng dalam pertemuan baru-baru ini.
Proses itu merupakan kaedah pembotolan produk yang telah dinyahkuman dalam suhu bilik terkawal. Ia dilakukan untuk mengekalkan nutrien minuman yang menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti kacang hijau dan soya dan bunga kekwa.
“Ramuan-ramuan tersebut diekstrak dengan air tulen yang telah dipanaskan. Hasilnya kemudian melalui proses rawatan suhu ultratinggi (UHT) selama 6 saat.
“Kebaikan proses ini ialah ia dapat menghapuskan mikroorganisma yang mungkin memudaratkan kesihatan pengguna. Minuman kemudian disejukkan pada suhu bilik,” ujarnya.

TEKNOLOGI yang diperkenalkan Yeo's dilihat berpotensi menjadi penanda aras dalam industri makanan dan minuman tempatan.


Chay Seng menambah, minuman tersebut kemudian dimasukkan ke dalam botol polietilena tereftalat (PET) yang disteril. Botol itu seterusnya ditutup ketat dengan penutup yang juga disteril.
Keseluruhan proses pembotolan minuman itu telah dijalankan dalam keadaan terkawal.
Peningkatan pengeluaran
Teknologi baharu itu nyata membawa Yeo’s maju setapak ke hadapan dan menjadi pelopor kepada proses pembotolan di Malaysia. Walaupun demikian, teknologi isian sejuk aseptik telah diterokai lebih awal di Thailand.
“Pemprosesan aseptik tersebut membantu meningkatkan jumlah penghasilan botol dalam sehari. Tujuh biji botol minuman dapat dihasilkan dalam sesaat. Jumlah itu bersamaan 500,000 botol sehari.
“Oleh itu, sebanyak 130 juta botol minuman dalam pelbagai perisa akan mampu dihasilkan dalam tempoh setahun,” kata Chay Seng.
Antara perisa minuman yang dikeluarkan Yeo’s menggunakan teknologi itu adalah teh kundur, susu soya hitam, susu soya, laici dan teh bunga kekwa yang juga merupakan antara minuman kegemaran rakyat di negara ini sejak 100 tahun lalu.
Jenama Yeo’s menjadi pilihan kerana ia tidak mengandungi pewarna tiruan dan sebarang pengawet tambahan. Produk minuman Yeo’s bukan sahaja menepati cita rasa masyarakat tempatan, malah berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Syarikat Yeo’s telah diasaskan oleh Yeo Keng Lian dan telah beroperasi sejak tahun 1900 di Singapura. Ia mula berkembang ke Malaysia pada tahun 1940 dan menjadi jenama terkenal sehingga kini.

KECANGGIHAN teknologi isian sejuk aseptik mampu menghasilkan sehingga 130 juta botol setahun.


Selain produk minuman, Yeo's juga mengeluarkan beberapa produk makanan antaranya makanan dalam tin seperti kari ayam, kicap soya dan daging rendang.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif I Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud, menyokong usaha Yeo’s yang memperkenalkan inovasi terbaharu dalam industri makanan dan minuman melalui kaedah pemprosesan terbaharu itu.
“Syarikat itu mengambil langkah proaktif dalam memastikan mereka sentiasa mengikuti perubahan semasa dengan menghasilkan produk-produk yang mengikut piawaian yang tinggi,” ujarnya.
Beliau menambah, teknologi yang diperkenalkan Yeo’s dilihat bakal menjadi penanda aras kepada industri makanan dan minuman di negara ini.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: