|
SINAR mentari tidak pernah lekang daripada pandangan mata sepanjang tujuh hari berkampung di ibu kota yang paling padat penduduk, Tashkent, Uzbekistan.
Benar, jadual yang padat bagi meraikan Minggu Kesenian Style.Uz dan Forum Filem Antarabangsa Tashkent bermula 19 hingga 24 Oktober lalu bagai tidak terasa penatnya.
Hal yang sama diakui sendiri oleh pelakon filem Pecah, Miera Leyana yang pertama kali menjejakkan kaki di bumi bertuah Uzbekistan.
“Cuaca yang menyamankan telah membuatkan kita lupa sebentar hiruk-pikuk kota Kuala Lumpur. Walaupun matahari bersinar sepanjang masa, udara sejuk yang bertiup sepoi-sepoi bahasa mengubat tekanan bekerja tanpa henti sepanjang tahun ini,” tutur Miera sambil menghirup secangkir teh tradisional di sudut hotel yang dinamakan chaikhana.
Sambil melontarkan pandangan ke laluan Jalan Dedeman, menyaksikan pejalan kaki pulang usai bekerja lewat pukul 6 petang, tambah Miera, ketenangan sebegini yang selama ini sering dicari-cari olehnya untuk bersantai, berehat dan bermuhasabah sejenak.
“Lihat sahaja seni bina Islam di tengah-tengah pusat bandar, contohnya Kompleks Hizrati Imam, sudah membuatkan hati tersentuh dek keagungan dan kemasyhuran perkembangan Islam sekitar abad ke-15 dulu.
“Unik, gah dan menyimpan sejarah menarik untuk diterokai sebenarnya.
“Alangkah indah kalau saya diberikan lebih banyak ruang masa untuk meneroka segenap isi ruang kota ini,” ujar pemilik nama sebenar Miera Leyana Kasmi, 21.
|
Penerbangan menaiki Uzbekistan Airways mengambil masa kurang lapan jam dari kota Kuala Lumpur dan sela masa waktu tempatannya cuma lewat tiga jam.
Ironi Uzbekistan digelar City Of Sun memandangkan sang mentarinya tidak pernah segan-silu menampilkan diri sepanjang tahun biarpun peralihan musim.
Kata Miera, dia dimaklumkan oleh penduduk tempatan bahawa panorama pada musim salji sekitar yang bakal menyusul pada bulan Januari tidak lama lagi, sangat menakjubkan.
“Bayangkan, masjid serta madrasah di sini yang berwarna coklat bakal dilitupi salji putih sepanjang musim sejuk nanti. Ketika itu, kata penduduk di sini, pemandangannya sungguh luar biasa,” kongsi Miera.
Meskipun sukar pada mulanya untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan penduduk tempatan terutama ketika berjual beli memandangkan kebanyakan mereka menggunakan bahasa Uzbekistan dan Rusia sebagai perantara, perkara itu menjadi ‘alah bisa tegal biasa’.
“Mula-mula memang sukar untuk berkomunikasi kerana mereka tidak mahir menggunakan bahasa Inggeris sebagai perantara melainkan pelajar yang menuntut di universiti di sini.
“Namun, lama-kelamaan apabila sering menggunakan isyarat badan, perkara itu bukan alasan untuk tidak membeli-belah di sini.
“Perkara yang menarik perhatian saya adalah cenderamata dan fabrik kapas yang ditenun cantik di sini.
“Coraknya seakan-akan sama dengan kain pua kumbu dari Sarawak tapi motif dan warnanya lebih meriah dan terang membezakan fabrik-fabrik di sini,” katanya.
|
Cuaca nyaman
Tarik perhatian
Sempena acara karpet merah Forum Filem Antarabangsa Tashkent yang berlangsung pada 19 Oktober lalu, Miera dan Fathia diberikan kesempatan mewakili Malaysia dan negara di Asia Tenggara untuk melewati permaidani acara paling berprestij itu.
Menariknya, Miera dan Fathia masing-masing berjaya mencuri tumpuan beberapa produser dan selebriti terkenal Uzbekistan dan Rusia untuk disunting membintangi karya terbaharu mereka.
Miera telah ditawarkan untuk mendukung peranan utama dalam sebuah filem berjudul Jealous arahan Said Muxtozor, seorang pengarah dari Rusia yang akan memulakan penggambaran tahun depan.
Fathia pula mendapat perhatian luar biasa daripada selebriti tempatan yang menyangka dia adalah sebahagian penduduk tempatan Uzbekistan, selain ditawarkan untuk tampil dalam sebuah klip video penyanyi tersohor negara itu, Atarbek Dotsent Maxashev yang akan menjalani penggambaran di Kuala Lumpur.
“Ini kali kedua saya menjejakkan kaki ke Uzbekistan. Kali pertama ketika festival Asrlar Sadosi pada bulan Mei lalu dan situasi yang sama berlaku kepada saya. Mereka tetap anggap saya penduduk tempatan Uzbekistan.
“Sampailah saya perlu menerangkan kepada mereka bahawa saya berasal dari Malaysia dan tidak boleh bercakap bahasa Uzbekistan, kemudian barulah mereka mula bertanyakan asal-usul saya,” cerita pemilik nama penuh Nur Fathia Abdul Latiff, 25, bersungguh-sungguh.
Makam bersejarah
Melihat pada faktor sosiobudaya dan ekonomi penduduk di Uzbekistan, kata penuntut jurusan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, ia tidak jauh berbeza dengan Malaysia.
“Uzbekistan adalah sebuah negara Islam yang membangun lebih kurang Malaysia juga, mereka ada kawasan perkampungan dan bandar yang sedang pesat membangun.
“Cuma yang berbeza daripada kita adalah budaya, cara hidup, pemakaian, dan makanan mereka. Negara ini banyak menghidangkan makanan berasaskan sayuran dan buah-buahan.
“Daripada saya seorang yang bukan penggemar sayuran tiba-tiba menjadi pencinta sayur. Malah, hidangan di sini juga mempunyai rasa yang berbeza dan lebih rasa rempah-ratusnya,” kata Fathia yang menggemari hidangan seakan Nasi Bukhari yang diberi jolokan Bloaf.
|
Delegasi juga dibawa melawat ke wilayah sebelah barat Uzbekistan iaitu Samarkand menggunakan penerbangan domestik yang mengambil masa 45 minit dari Tashkent.
“Samarkand menyimpan sejarah dan rahsia lampau yang sangat unik. Di sini terletaknya makam pahlawan paling disegani di Uzbekistan, Amir Temur serta makam perawi hadis dan sahabat Rasulullah SAW, Imam Bukhari.
“Syukur Alhamdulillah saya diberikan peluang untuk melawat ke lokasi-lokasi ini.
“Cantiknya tempat ini memang sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata, malah ketika lawatan hati tiba-tiba menjadi sayu dan sebak,” ujar Fathia.
Benar kata orang, jauh berjalan luas pengalaman. Umpama sebuah hikayat suatu ketika dulu yang semakin lama disimpan semakin tinggi nilainya, begitu juga darjat sebuah pengalaman.
Manis, menyentuh hati dan merengkuh emosi. Itulah uniknya Uzbekistan!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: